January 7, 2018

BANGI YANG MEWANGI


BBB, 18 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 06 Januari 2018M. (Sabtu):
Sejak lokasi Bangi dihebahkan mulai 1972 itu sebagai tapak kampus rasmi UKM, maka nama Bangi – termasuk kawasan kampus dan kawasan bakal  menjadi Bandar Baru Bangi yang sebelum ini tidak  diketahui, maka ianya mewangi dan mulai terkenal di seluruh negara. Peta Bangi yang seluas 5118 ekar itu, secara kasarnya berbentuk D (huruf besar D). Pada bahagian kanannya bersempadankan jalan raya lama dari Kajang ke Pekan Bangi (Bangi Lama) yang agak sempit dan berliku-liku, khususnya ke Pekan Bangi. Sebahagian besar di sebelah kanan ini bersempadankan kawasan Kampus UKM, Sungai Tangkas dan pada bahagian atasnya ialah Jalan Reko, manakala pada bahagian tengahnya  ialah bersempadankan Kampung Sungai Merab (sebahagian Sungai Merab termasuk  di dalam kawasan Bandar Baru Bangi). Kawasan ini kemudiannya dibelah oleh lebuhraya (Plus) Kuala Lumpur –Seremban, manakala pada sebelah kirinya bersempadankan kawasan Sepang. Kawasan yang berasal dari ladang kelapa sawit ini pada umumnya adalah tanah rata, tetapi mempunyai beberapa bukit, seperti Bukit Bandar Baru Bangi (termasuk Bukit Mutiara). Terdapat sebatang sungai, iaitu Sungai Reko yang hulunya dari kawasan Kajang mengalir mensempadankan antara Kampus UKM dengan kawasan Bandar Baru Bangi. Sungai berkenaan mengalir ke sungai Langat yang hulunya ialah Hulu Langat (Pangson – kawasan rekreasi Hulu Langat) dan sungai ini bermuarakan Kuala Langat.
Semasa kawasan estate  ini diambilalih oleh pihak kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, perkampungan atau kawasan yang ada ialah Pekan Bangi dan Kampung Teras Jernang, pada bahagian selatan Bangi, manakala pada bahagian kirinya, ialah Kampung Sungai Merab membawa kepada Sungai Ramal Dalam, Sungai Ramal Luar, Sungai Chua dan Pekan Kajang (masa itu Kajang masih bertaraf pekan yang tidak begitu teratur). Sempadan di bawah dari Kajang, ialah Jalan Reko yang kampung lama di sini ialah West Country – Penempatan pekerja estate yang nama kampung ini mengambil nama syarikat bagi estate berkenaan. Penduduk di sini pada peringkat permulaan kebanyakannya kaum India, iaitu pekerja bagi estate West Country. Berdekatan dengan West Country ini ialah kampung  Sungai Tangkas yang menjadi kawasan penempatan orang asli yang dipindah dari kawasan kampus UKM dan penduduk yang baru. Oleh kerana Bandar Baru Bangi berasal dari kawasan ladang kelapa sawit, maka pada bahagian tengah kawasan yang menjadi Bandar Baru Bangi tidak ada perkampungan asal (kawasan kelapa sawit). Jadi bagi kawasan Bandar Baru Bangi tidak ada penduduk yang boleh mendakwa sebagai orang asal, mereka semuanya penghuni baru dari luar Bandar Baru Bangi.
Mulai tahun 1972 kawasan kampus UKM dan kawasan Bandar Baru Bangi mulai menjadi kawasan yang dilawati orang ramai, khususnya apabila kedua-dua kawasan berkenaan diteroka. Bagi kawasan kampus, lawatan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin seperti oleh Dato`  Razak bin Hussein selaku Canselor UKM dan turut melawat tapak UKM ialah Tuanku  Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Selangor bersama Menteri Besar Selangor pada masa itu, iaitu Dato` Haron Idris. Turut melawat peringkat permulaan rombongan kakitangan UKM dan pelajar-pelajar.
Turut datang ke Bandar Baru Bangi ialah para spekulator yang mencari peluang ekonomi. Umpamanya mereka yang sedar lebih awal berlumba-lumba membeli tanah-tanah berdekatan dengan kawasan kampus dan Bandar Baru Bangi yang pada peringkat permulaan ini masih murah. Agak ironi mereka yang banyak membeli tanah dan menjualnya kebanyakannya orang dari Fakulti Islam dan bukannya dari Fakulti Ekonomi UKM. Menekala sebahagian pula mengambil kesempatan pergi menemui tenaga-tenaga pengajar dan pekerja-pekerja UKM di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur menawarkan tanah-tanah untuk dijual. Setengah mereka mengambil peluang membeli dengan harga yang masih murah, tetapi sebahagian lagi berhati-hati, takut terjebak akibat  penipuan.
Pada peringkat permulaan, untuk datang ke Bangi agak sukar. Sebelum kampus UKM dibuka, masih tiada lebuhraya seperti sekarang, jalan ke Bangi, ialah melalui jalan  Kuala Lumpur ke Cheras dan Kajang  yang masih sempit  dan dari Kajang sampai ke tapak UKM. Untuk ke kawasan Bangi, sama ada masuk melalui kampung West Country, di jalan Reko dan melalui jambatan kayu yang uzur dan menyusuri jalan tepi estate kelapa sawit atau getah – jalan tanah merah ke kawasan tapak Bandar Baru Bangi, atau masuk melalui jambatan kayu Teras Jernang, ke kawasan tapak Bandar Baru Bangi. Pada masa itu belum ada jambatan konkrit pada hadapan kampus UKM, bahkan jambatan ini belum dibina pada permulaan kampus UKM diguna (Oktober 1977).
Perlu diingat pada permulaan kampus tetap UKM diumumkan belum ada lebuh raya (belum siap) antara Kuala Lumpur dan Bangi, untuk ke Seremban masih menggunakan jalan lama – Kajang –Seremban, belum ada rancangan untuk membuka KLIA dan masih belum ada  rancangan untuk membuka Putrajaya. Jadi pada peringkat permulaan Bangi dan Kampus UKM masih sunyi jauh  di Selatan negeri  Selangor.
Namun ada beberapa isu yang menghebohkan Bangi, misalnya Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) yang dipimpin oleh saudara Ramli Ibrahim yang penulis adalah AJK,  menuduh pemimpin tertentu pada peringkat negeri Selangor mengeksploitasi balak-balak yang ada di kawasan kampus UKM, sehingga dikatakan menggondolkan kawasan hutan dan merosakkan kawasan kampus. Sebenarnya balak yang di tebang dari kawasan tapak bila dibersihkan semestinya dikeluarkan dan tidak benar semua balak ditebang, kerana balak-balak masih kelihatan hingga kini di kampus UKM).
Kesimpulannya dengan adanya kampus UKM dan tapak bagi Bandar Baru Bangi membuka ruang bagi kemajuan bukan saja bagi Bangi, tetapi kawasan sekitaran.

Sekian. 

No comments:

Post a Comment