February 3, 2013

Serbuan Mesra Terhadap Kunjungan TG Dato` Nik Aziz Ke Bangi. Pengakhiran Dengan Solat Zohor & Tazkirah

BBB, 21 Rabiul Awwal 1434 = 2 Februari 2013 (Sabtu):


Maklumat tentang kunjungan TG Dato` Bentara Setia Nik Abdul Aziz bin Nik Mat ke Restoran Berlauk, Seksyen 7, BBB memang telah diberitahu dan dijemput Adun bersama pada tengahari hari ini, tetapi dimaklumkan kehadiran adalah terhad dan tertutup, kerana ianya adalah urusan peribadi pihak restoran dimiliki Encik Din Anak Kelantan. Beliau menjemput TG khusus untuk menjamu selera di Restoran Berlauk yang terletak di bahagian depan kedai-kedai di Seksyen 7, BBB itu.



Jam 11.00 Adun memohon diri dari Majlis Karnival Al-Qur`an di Masjid Kajang kerana mau bersedia ke Restoran Berlauk. Y.B. Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat juga akan sama ke sana. Adun bersama saudara Azizi berkejar pulang ke Pejabat Adun di BBB dan setelah membuat persediaan – termasuk membawa cenderahati untuk disampaikan kepada TG, kami pun bertolak ke Restoran Berlauk di Seksyen 7, BBB. tiba jam 12.15 tengahari adalah didapati bahawa pertemuan walaupun tertutup, tetapi maklumat jadi terbuka, maka Restoran dan kawasan berdekatan penuh dengan kenderaan dan orang ramai memenuhi ruang dan kawasan berkenaan.

Di Restoran Belauk menunggu antaranya Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, Tuan Haji Mazwan Johar Timbalan YDP, Tuan Haji Razali YDP Pas Hulu Langat, Y.B. Dr. Che` Rusli Che` Mat Ahli Parlimen Hulu Langat turut tiba memenuhi ruang bersama orang ramai terutama dari kalangan pendukung Pas bagi Kawasan Serdang dan Hulu Langat. Adalah difahamkan TG dalam rangka menghadiri Majlis Makan Malam Pusat Dakwah Serantau (PDS) malam ini bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam. Namun semenjak semalam TG telah datang memenuhi program di Lengging, Negeri sembilan dan bermalam di sana pada malam tadi. Pagi ini setelah memenuhi beberapa program TG akan hadir ke Restoran Belauk di sini yang lebih bersifat `Jemputan Peribadi`.

Tuan Guru dan konvoi didahului beberapa pengiring motorsikal berkuasa tinggi tiba tepat jam 12.30 tengahari menyambutnya di pintu kereta Adun Bangi dan Dr. Che Rusli Che Mat dan pemimpin-pemimpin setempat dan diserbu hadirin untuk sama menyelamat datang dan kemungkinan dapat bersalam. Di tengah-tengah kesesakan TG terus diiring ke meja makan ke dalam yang telah disediakan. Beliau duduk dan diapit oleh Adun Bangi di sebelah kanan dan Ahli Parlimen Hulu Langat di sebelah kiri. Sama duduk di meja makan pimpinan tempatan yang hidangan lebih bersifat hidangan Kelantan. Adun bercakap dengan Tuan Guru berkenaan kemungkinan pembubaran Parlimen. Tentang Selangor bercadang membubar Dewan Negeri Selangor dan pendirian Kerajaan Negeri Kelantan. Y.B. Dr. Che Rusli Che Mat menimbulkan juga persoalan Kajang dan Bangi yang dulu di bawah satu Dun dan kini Kajang di bawah Hulu Langat dan Bangi di Bawah Serdang termasuk tentang pengundi-pengundi di kawasan dan Dun-Dun berkenaan. Begitu juga berhubung dengan Pakatan yang bekerjasama dengan baik dan sokongan yang diharap dari semua kaum. Sementara itu ada antara bapa yang membawa anak-anak kecil untuk mendapat sentuhan dan doa` dari TG. Sebelum makan TG bertanya tentang lokasi TG berada dan berkata,

``Bila keluar, kadang-kadang kita tak sedar ke mana orang bawa, ikut saja.`` Adun berkata, ``Di sini adalah adalah antara kawasan utama Bangi.``


Pada kesempatan ini Adun Bangi yang memang membawa dua buah buku – Bangi Bandar Ilmu dan Gagasan Bangi, menunujukkan dua buku berkenaan kepada TG dan memberitahu TG tentang kandungan secara ringkas. Adun sengaja menghadiahkan buku kerana TG memang suka membaca dan suka kepada buku. Adun teringat pada awal kemenangan Pakatan 2008 dan TG datang ke Bangi bagi satu ceramah di Stadium Seksyen 15 dan singgah rehat di rumah Adun bersama keluarganya. TG mengambil kesempatan memilih buku-buku yang ada di dalam almari buku Adun. Antara buku pilihannya ialah buku Al-Falsafah al-Insaniyyah. Beliau asyik membaca buku berkenaan, tetapi berada dalam masa singkat tentulah TG tidak dapat membaca kesemuanya. Oleh kerana beliau berminat terhadap buku berkenaan, semasa hendak bertolak ke Stadium, Adun menghadiahkan buku berkenaan yang Adun beli di Makkah tahun 1994 itu. Jadi pada kesempatan ini Adun hadiahkan kedua-dua buku – Bangi Bandar Ilmu berkulit keras dan mewah dan Gagasan Bangi kepada TG secara rasmi.

Bila hidangan siap disusun dan sebelum doa dibaca TG, Adun dan Ahli Parlimen Dr. Che Rusli mengurangkan nasi yang ada di dalam pinggang, kerana diletak begitu banyak. Adun juga kurangkan nasi dalam pinggang TG, atas permintaannya.`` Sebelum makan TG menyebut, ``Bila berjalan tak disertai orang rumah (isteri) selalu lupa makan ubat yang diatur oleh Dr. Kalau dia bersama dia akan kawal makan dan ubat menurut arahan dan aturan. Kami makan bersama. Tuan Guru nampaknya suka makan Gulai Kuning Siput yang dihidang dan disediakan kepadanya. Berkali-kali TG menceduk dan menghisap siput-siput berkenaan hingga berbunyi hisapannya. Beliau juga memilih ikan, ulam dan buah tembikai. TG juga disua dengan gulai kawah. Beliau mengambilnya lantaran disua, tetapi tidaklah menjadi tumpuan. Adapun Adun mengambil lauk yang terdekat seperti singgang ikan kembung (pindang), ikan goring, ikan rebus serta ulam kacang dan timun. Pada dasarnya kami hanya makan sedikit sahaja.


Tuan Guru berada lebih kurang setengah jam di Restoran Berlauk. Bila hendak bertolak orang ramai yang datang untuk bertemu atau melihat TG memenuhi restoran. Tetapi sebelum bertolak Encik Din dan keluarganya mengabadikan kunjungan TG dengan bergambar khas sekeluarga.


Kemudian orang ramai memberi ruang dan TG diiring keluar ke keretanya di tengah kesesakan dan bersalam. Konvoi kereta TG diiriungi motorsikal berkuasa tinggi itu bergerak ke Masjid Al-Hasanah yang tidak begitu jauh – untuk solat Zohor. Adun bersama saudara Azizi turut bertolak ke Masjid dan tiba di sana sebelum masuk waktu zohor. Ketibaan TG di Masjid juga diserbu orang ramai yang mengetahui kehadirannya, walaupun tidak rasmi. Adun bersama di saf pertama bersama TG di Masjid dan berkesempatan solat Tahiyyatul Masjid sebelum masuk waktu zohor, sementara orang ramai memenuhi masjid. Suara anak-anak menangis juga kedengaran. Mereka membawa anak-anak dengan mengharapkan dapat belaian, sentuhan atau mungkin doa dari TG. Selepas azan Nazir Masjid Tuan Haji Napiah bin Shahrani mengumumkan kepada orang ramai tentang kehadiran TG dan beliau sudi menyampaikan tazkirah ringkas. Solat zohor diimami TG sendiri.

Selepas Solat zohor TG terus menyampaikan tazkirah. Beliau menyebut istilah-istilah yang berdekatan dengan tazkirah seperti ta`lim dan tazkiah, Menurutnya tazkirah penting. TG menyebut adalah menjadi kebiasaan bagi TG menyampaikan tazkirah selepas solat Subuh di suraunya di Pulau Melaka. Menurutnya tazkirah yang disampaikan adalah ringkas, kerana meraikan para jamaah yang berkerja – termasuk pegawai-pegawai untuk ke pejabat dan tempat kerja masing-masing. Selepas 10 minit tazkirah TG diiring membelah kesesakan orang ramai hendak menemui dan bersalam dengannya. Dari Masjid Al-Hasanah TG bertolak dengan konvoi dan pengiring-pengiring ke tempat rehatnya di Golden Palace di Balakong.

Sekian.

No comments:

Post a Comment