February 8, 2013

Kenyataan Media: Meraikan Dua Sasterawan Negara Anak Selangor

-->
Shah Alam, 26 Rabiul Awwal 1434 = 07 Februari 2013 (Khamis):

Selaku Pengerusi Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) Adun menghadiri Sidang Kenyataan Media di atas bertempat di Bilik Mesyuarat Daeng Pirani, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, jam 10.00 pagi. Hadir bersama sidang tersebut ialah Puan Azlinda Azman Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Puan Rossilawati bt. Shariff dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Pegawai-pegawai PADAT saudara Aris, Subli, Shahrulniza AJK-AJK Dr. Ibrahim, En. Abu Hasan dan Pemberita-pemberita saudara Rusli dari Berita Harian dan saudari `Ji` (Rusilawati) dari Sinar Harian.



Tujuan Sidang bagi memaklumkan bahawa pihak PADAT dengan kerjasama DBP akan mengadakan Majlis bagi meraikan Sasterawan Negara Anak Selangor pada 15 Februari 2013. Sasterawan Negara Anak Selangor dimaksudkan ialah SN Dato` Dr. Anwar Ridhwan (2010) dan SN Dato` Dr. Ahmad Kamal Abdullah  - Kemala (2011). YAM Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Al-Haj Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Mewakili DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan menyampaikan Wathikah kepada dua orang Sasterawan Negara tersebut jam 8.00 malam di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian (PKPS), Shah Alam.
                                         

Sempena dengan Majlis keraian ini sebuah buku kombinasi karya-karya kedua-dua SN akan diterbitkan berjudul Pencari Kesempurnaan oleh SN Dato` Dr. Anwar Ridhwan dan Dakaplah Bulan Putih oleh Dato` Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Buku ini setebal 600 halaman. Buku ini akan dilancarkan oleh YAM Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga akan menyampaikan Wathikah dan Cenderamata Penghargaan. Sebelum daripada itu Pengerusi PADAT YB Dr. Shafie Abu Bakar akan menyampaikan ucapan alu-aluan dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr. Awang Sariyan akan menyampaikan ucapan Ketokohan kedua-dua SN Anak Selangor. Fragmen dari karya-karya kedua Tokoh SN juga akan disampaikan secara lakon pada malam itu.

Pada hari kedua, iaitu 16 Februari 2013 (Sabtu), mulai jam 8.00 – 12.30 tengahari akan diadakan sesi yang bersifat akademik, iaitu membicarakan karya-karya kedua-dua SN Anak Selangor, iaitu bertempat di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam. YB Dr. Shafie Abu Bakar akan menyampaikan ucapan alu-aluan bagi sesi Bicara Karya SN, manakala YB Dr. Ahmad Yunus bin Hairi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan Negeri Selangor akan menyampaikan Ucapan Perasmian.

Dua tokoh terkenal di dalam bidang sastera menjadi panel membicarakan karya-karya kedua-dua SN, iaitu  Ybhg. Prof. Dr. Kamarudin Said dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi dan Ybhg. Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Manakala yang menjadi moderator juga seorang sasterawan muda terkenal, iaitu Tuan Syed Mohd Zakir bin Syed Othman – Anak Sasterawan Negara (S. Othman Kelantan).

                                       

Baik pada malam perasmian dan Hari Bicara Karya SN akan diadakan Pameran karya-karya kedua-dua SN. Pada kedua-dua hari berkenaan pihak DBP akan mengadakan Pameran dan Jualan buku yang dilancarkan – Pencari Kesempurnaan & Dakaplah Bulan Putih dengan harga potongan istimewa. Buku-buku lain hasil kedua SN dan terbitan DBP turut dijual. Orang ramai dijemput hadir.

Sekian.

No comments:

Post a Comment