February 7, 2013

BR1M Bukti Juara Pentadbiran Atau Rasuah PRU13 Mendatang ?

BBB, 25 Rabiul Awwal 1434 = 06 Februari 2013 (Rabu):



Malam tadi sepulang Adun dari Shah Alam kerana menghadiri mesyuarat kelihatan begitu banyak motokar parking di kawasan lapang dihadapan rumah Adun bagai kehadiran pengunjung-pengunjung ke pasar pagi Sabtu atau Ahad ke sini pada hujung minggu. Tertanya hati kecil Adun, mengapa gerangan begitu ramai yang datang ! Mereka keluar dari arah Sekolah. Selepas jam 10.00 malam ruang parking kosong. Sebelumnya Adun bertanya isteri ada program apa begitu banyak kenderaan. Jawab isteri, ``Orang datang mengambil wang BR1M 2.0.`` Tanyaku lagi, ``Mengapa dibuat waktu malam ?`` Jawab isteriku,``Waktu siang orang bekerja. Lagi pula waktu malam orang tidak perasan siapa yang datang!``

Kebetulan semasa bercakap Adun menghadapi sarapan pagi sambil membuka akhbar Sinar Harian dan terbaca halaman 40.

``BR1M bukan rasuah PRU13``!


Berita adalah berhubung dengan kenyataan Ahli Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon memberitahu bahawa pihaknya menolak dakwaan segelintir pihak yang menganggap penyerahan bantuan itu sebagai rasuah bagi memperoleh undi pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Dari kenyataan di atas dapatlah dibaca kenyataan tersirat, bahawa ada keraguan bukan saja dari kalangan awam, tetapi juga di dalam hati kecil Datuk Noriah atau sekurang-kurangnya beliau tidak dapat menolak atau menafikan dakwaan bahawa pemberian BR1M adalah berunsur rasuah, kerana terdapatnya segelintir pihak, bahkan banyak yang berpendapat BR1M adalah rasuah. Dalaman beliau sebenarnya digoda oleh pendapat yang mengatakan BR1M adalah rasuah, walaupun pada permukaan beliau menafikan.

Baik BR1M 1.0 mahupun BR1M 2.0 yang melibatkan sejumlah besar harta Negara dan rakyat – Bukan duit Umno atau BN, gagal ditadbirkan secara terbaik yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

BRIM melibatkan penerima dan peruntukan:

BR1M
TAHUN
PENERIMA
PERUNTUKAN
1.0
2012
4.2 juta orang
RM2.1 bilion
2.0
2013
4.3 jut (isi rumah)
2.7 juta (bujang)
RM3 .0 bilion
JUMLAH
8.5 juta
RM5.1 bilion



Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, ``Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah juara di dalam mentadbir Negara dan mengurus ekonomi.`` Sebenarnya untuk membahagi atau menghabisi apa yang ada tidaklah payah dan tidak memerlukan watak juara, tetapi menggunakannya sebaik mungkin bagi faedah rakyat memerlukan bijaksana.

Datuk Seri Najib yang memandang hanya lapisan permukaan gagal melihat implikasi `Menabur wang ke langit terbuka` yang ke mana jatuhnya tidak dikira dari segi manfaat terutama jangka panjang bagi rakyat dan Negara.

Apa yang dapat dilihat ialah kemiskinan idea dan kreativiti kepimpinan BN dalam mengguna dan menjanakan RM5.1 bilion wang rakyat bagi faedah rakyat dan Negara. Tindakan pihak pimpinan BN boleh dipersoalkan dari segi `Amanah` harta rakyat dan Negara, apakah tindakan `Menabur Wang Di Atas Angin` adalah cara dan kaedah terbaik bagi memberi pulangan terbaik bagi faedah rakyat dan negera? Sesungguhnya belum ada Negara dan pimpinan yang bertindak `Menabur Wang Di Atas Angin` kepada rakyat. Adalah amat sinis dan tajam serta menikam diri bila Datuk Seri Najib mengatakan, ``BR1M merupakan bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah JUARA dalam mentadbir Negara dan mengurus ekonomi.`` Tentu ramai lagi yang tersenyum dengan kenyataan ini. Lebih daripada itu banyak persoalan dapat ditimbulkan.

Mengapa tiba-tiba bila dekat dengan pilihanraya ke-13 ini baru timbul rancangan mengagih wang, sedang sebelum dari ini pendekatan sedemikian tidak dilakukan pimpinan terdahulu? Di luar Negara kita tidak mendapat maklumat kerajaan membahagikan kewangan Negara secara langsung kepada rakyat.

Apakah tidak ada masalah yang patut diutamakan dalam mana kita mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang, melonjaknya harga rumah di luar kemampuan rakyat jelata untuk memilikinya walaupun bernama rumah murah atau mampu milik. Tiadanya biasiswa bahkan pelajar-pelajar makin terbeban dengan hutang bila memasuki pengajian tinggi dan makin sempitnya peluang mereka untuk mendapat pekerjaan, bahkan sebahagian daripada mereka terpaksa menganggur. Dari segi pengangkutan dan perhubungan mereka terbeban dengan harga petrol, bayaran tol yang membebankan, ketidakcukupan kenderaan awam. Tidakkah lebih wajar dengan wang sebanyak RM5.1 bilion itu digunakan bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat jelata?

Banyak juga yang mempersoalkan jika Negara berhutang hampir RM50 bilion, tidakkah dengan penaburan Wang Atas Angin itu akan lebih lagi membebankan setiap rakyat menanggung hutang?

Ada yang berpendapat tindakan pihak Kerajaan BN memberi wang mentah, kerana selama ini Kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib gagal mewujudkan pembangunan dan kemajuan yang beimpak tinggi yang jelas kejayaannya di mata rakyat yang menyebabkan mereka tidak mempertikaikan kewibawaan kepimpinan dan kenegarawannya. Hal ini tidak terjadi, kerana kemiskinan idea dan kreativiti, sebab itu amalan tradisi yang cenderung kepada rasuah atau dipersoalkan dari segi rasuah menjadi pendekatan. Rakyat perlu membuat penilaian secara sirius yang manakah kepimpinan berwibawa dan bijaksana di dalam mengendalikan secara terbaik harta Negara.

Dimanakah suri teladan jika mulut bercakap mahu hapuskan rasuah, sedang praktiknya bertentang?

Yang jelas tercipta sejarah, bagi menghadapi PRU Ke-13 BN adalah JUARA membelanjakan secara rasuah lebih dari RM5 bilion bagi membeli hati rakyat. Kita berharap rakyat menyedari hati mereka tidak semurah itu untuk dijualbeli.

Sekian.

No comments:

Post a Comment