January 8, 2013

Ucapan Pengerusi Pembangunan Masjid Al-Umm Sempena Lawatan Kerja Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor Ke Tapak Masjid Al-Umm



Assalamu alaikum wmt. wbt.

Al-hamdulillah was-Salatu wassalamu `ala Rasulillah wa `ala alihi wa sahbihi wa man walah


Firman Allah:
Bermaksud:
Sesungguhnya yang memakmurkan Masjid Allah, ialah orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka dari kalangan yang mendapat pertunjuk ( AT-Taubah: 18).
Tuan Pengerusi,
Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor
Y.B. Puan Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang,
Y.B. Tuan Dr. Che` Rusli Che Mat, Ahli Parlimen Hulu Langat
Y. Bhg, Dato` Haji Mohd Amin bin Ahmad Ahya, Pegawai Daerah Hulu Langat,
Ybhg. Dato` Hasan Nawawi YDP, MPKj,
Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj
Tuan Haji Yusof bin Bachik Ahli MPKj
Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung Mukim Kajang dan Dun Bangi.
Pengerusi-pengerusi surau dan AJK Masjid dan surau-surau, hadirin dan hadirat sekalian.


Pertama sekali kita bersyukur kepada Allah kerana dengan keizinanNya kita berjaya mengadakan majlis – insya Allah diberkati Allah pada hari ini. Setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim, kerana sudi datang bagi Lawatan Kerja ke Tapak Masjid Al-Umm beserta Mesra Rakyat Dan Kenduri Kampung.


Y.A.B. Dato` Menteri Besar dan dhif-dhif yang dihormati sekalian.

Tapak Masjid seluas 2 ekar di sini disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak mula tapak Bandar Baru Bangi diteroka (1975), namun oleh kerana adanya Masjid UKM (1980an) dan kemudian adanya Masjid Al-Hasanah (2001), maka tapaknya tertangguh dari penggunaan untuk mendirikan masjid. Pernah diusahakan bagi mendirikan surau sahaja bagi menggantikan Surau Al-Umm – surau terawal d Bandar Baru Bangi (1978) dan keizinan telah diberi oleh pihak JAIS dengan surat bertarikh 30 Ogos 1996. Tetapi kemudian diubah pula kepada permohonan kepada Tapak Masjid dan diluluskan oleh JAIS surat bertarikh 24 Mei 2008. Pewartaan Tapak Masjid ini juga dipohon dan mendapat kelulusan Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar selangor - surat dari Pejabat Tanah 1 September 2009 dan dari pihak Jais bertarikh 17 November 2009.


Langkah paling penting bagi mendirikan Masjid Al-Umm yang namanya diambil dari Surau Al-Umm sebagai penerusan ialah apabila Adun Bangi – Dr. Shafie Abu Bakar memanggil mesyuarat kali pertama bagi menubuhkan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm pada 4 Februari 2010 bertempat di Surau Al-Umm..

Bagi mesyuarat penubuhan AJK Pembangunan Masjid Al-Umm ini Adun Bangi menjemput 30 orang yang mewakili surau-surau di sekeliling tapak Masjid Al-Umm, iaitu Surau Al-Umm, Surau An-Nur, Surau Al-Ehsan, Surau Damai dan Surau Al-Mawaddah. Turut dijemput ialah YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi pada masa itu, iaitu Dr. Tajul Ariffin Noordin. Mesyuarat inilah menubuhkan AJK Pembinaan Masjid Al-Umm yang antara keputusan diambil bahawa Kos bagi pembinaan Masjid ini (Mesyuarat mencatat) ialah RM10 juta. Antara AJK yang dipilih ialah ADUN Bangi Dr. Shafie Abu Bakar selaku Pengerusi, Tuan Haji Mohd Ghazali Abbas Pengerusi Surau An-Nur sebagai Timbalan Pengerusi, Tuan Haji Hussein Yunus selaku Setiausaha dan Tuan Haji Mohd Nor selaku Bendahari. Turut dilantik ialah lapan AJK selaku AJK Induk.

Sejak perlantikan AJK telah bekerja terutama memungut derma yang mendapat keizinan dari JAIS. Antara Program penting yang telah diadakan ialah Majlis Pelancaran Tabung Masjid Al-Umm yang berlangsung pada 19 Mei 2012. Buat masa ini pihak AJK hanya memfokus bagi mendapat derma dari orang ramai bagi menghimpun dana bagi Masjid Al-Umm. Jumlah terhimpun setakat ini baru menjangkau RM1.2 juta. Dengan jumlah ini tentulah masih jauh bagi target asal bagi mendapat dana sebanyak jumlah yang ditetapkan pada asal iaitu RM10 juta.

Kami menjemput Y.A.B. Dato` Menteri Besar melawat Tapak Masjid Al-Umm, Mesra Rakyat dan Kenduri sebagai serampang banyak mata.


Pertama adalah diharap dengan kunjungan Y.A.B. Dato` Menteri Besar memberi rangsangan kepada hadiran dan masyarakat untuk menghulur derma bagi meningkatkan jumlah tabungan bagi dana Masjid Al-Umm.
Kedua majlis hari ini juga adalah sebagai makluman dan menjawab pertanyaan jika ada, apakah yang dilakukan oleh AJK selama ini, jawapannya bahawa kami bekerja hingga ke tahap yang disaksikan pada hari ini bagi menjayakan hasrat mendirikan Masjid Al-Umm. Ketiga pada kebiasaannya apabila tanda-tanda pembangunan wujud dan tampak lebih meyakinkan penderma-penderma dan menggerakkan mereka untuk segera menderma Keempat, walaupun selama ini kita telah mengiklankan peluang untuk menderma bagi Masjid Al-Umm, mungkin kurang perhatian atau terlepas pandang. Jadi Majlis pada hari ini adalah sebagai publisiti agar maklumat peluang menderma kepada Masjid Al-Umm tersebar luas.
Kelima Lawatan Y.A.B. menjadi sejarah yang penting bagi pembinaan Masjid Al-Umm yang terus dikenang generasi akan datang.
Dengan mekanisme Majlis Lawatan, derma dan bantuan, kami harap Masjid Al-Umm dapat didirikan dalam masa yang lebih cepat.

Kami berharap selepas Kunjungan Y.A.B. Dato` Menteri Besar membuka ruang bagi kami mengambil pendekatan yang lebih agresif dan efektif di dalam mengumpul dana seperti mengadakan Hari Keluarga Masjid Al-Umm, Larian KASIH (Kayuhan Amal Sihat), Karnival Masjid, Jualan Amal Masjid, Sukanika Masjid, Ceramah, Forum, Jualan Meja, jualan barang seperti Buku Mengenai Masjid Al-Umm dan sebagainya.
Adalah diharapkan dengan penghebahan dan kegiatan-kegiatan yang akan diadakan secara berterusan menggerakkan orang ramai untuk menderma. Sesungguhnya Masjid Al-Umm bila siap kelak akan menjadi Masjid Kedua di Bandar Baru Bangi. Masjid ini akan menjadi `Landmark` dan pusat ibadat, keilmuan dan kegiatan kemasyrakatan di Bandar Baru Bangi yang jumlah penduduknya melebihi 120,000 orang. Semua pihak dialu-alukan bagi memberi saham bagi pembinaan Masjid Al-Umm.

Adalah diharapkan juga apabila siap Masjid Al-Umm, ianya menjadi induk bagi penyemarakan perkembangan ilmu di Wadi Ilmu di sini yang di keliling perbukitan Bangi. Dalam lingkungan perbukitan di sini terdapat surau-surau, iaitu Surau An-Nur, Al-Ehsan, Damai, Al-Mawaddah dan Al-Ittihad sebagai rangkaian mutiara keilmuan bagi pengajian tahfiz, pondok atau kolej moden berindukkan Masjid Jami` Al-Umm. Tiap-tiap surau diharap mempunyai pengkhususan pengajian yang pelajar-pelajar bergerak dari surau-surau mengikuti jadual pengajian-pengajian yang terdapat di surau-surau. Pelajar-pelajar akan dinilai dan diberi pengiktirafan dengan diberi ijazah, diploma dan sijil. Pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian disediakan kemudahan tempat tinggal dan kemudahan-kemudahan yang lain.

Semoga dari Wadi Ilmu Bangi ini bersemarak berkembang ilmu pengetahuan. Pelajar-pelajarnya bukan sahaja bersifat tempatan, tetapi dari luar negeri dan Negara.

Selaku Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm, saya mengucapkan terima kasih kepada Y.A.B. Dato` Menteri Besar kerana sudi hadir Membuat Lawatan Tapak, Majlis Mesra dan Kenduri Kampung. Terimakasih kepada Jabatan-Jabatan terutama MPKj, JKR, Pejabat Daerah, Polis  & PAID Hulu Langat. Terima kasih kepada semua penderma – termasuk surau-surau, masjid-masjid dan semua AJK yang selama ini telah bekerja keras, khususnya bagi menjayakan Majlis pada hari ini.

Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan amalan orang yang membuat kebajikan (At-Taubah: 120).

Sekian.

Dr. Shafie Abu Bakar
Adun Bangi.

23 Safar  1434
06 Januari 2013.

No comments:

Post a Comment