January 3, 2013

Sekali Lagi Ke Ladang West Country Penguasa Datang!

West Country, Seksyen 5, BBB, 20 Safar 1434 = 03 Januari 2012 (Rabu):



Sedang Adun sibuk mengurus persiapan tapak Masjid Al-Umm, Adun dihubungi saudara Ari Krishnan Ketua Antara Kaum Dun Bangi, bahawa pihak berkuasa turun lagi pada hari ini ke Ladang Ternakan dan Pertanian West Country, Seksyen 5, BBB dan meminta Adun segera turun agar perobohan terhadap kandang Lembu dan Kambing tidak berlaku. Adun segera menghubungi pengiring-pengiring saudara Azizi, saudara Amir Othman, saudara Amir Udin dan dilokasi disertai sama oleh saudara Abu Bakar. Namun tiba dilokasi, jumlah pihak Penguasa yang datang tidaklah seramai pada hari Khamis minggu lepas (Khamis 27 Disember 2012) seramai 28. Jumlah mereka sekitar 15 orang dengan menggunakan beberapa kenderaan.

Bila Adun tiba dan memberi salam, secara bergurau Adun berkata, ``Tuan-tuan Penguatkuasa memang menepati janji. Cukup seminggu sebagaimana tempoh diberikan pada minggu sudah, tuan-tuan datang untuk meroboh kandang-kandang !`` Semua ketawa. Adun menambah, ``Sebenarnya diluar jangkaan, kerana Adun telah menghantar surat kepada Exco-Exco Y.B. Dr. Yaakob Sapari, Y.B Ronnie Liu, Y.B.Elizabeth Wong dan Y.B. Dr. Xavier pada 31 Disember 2012 dan salinan dihantar pada hari yang sama kepada Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat, YDP MPKj, JPS dan JKR.



Permohonan dalam surat tersebut agar diusahakan kaedah bagi peningkatan kualiti penternakan, pertanian dan perusahaan kaum India di West Country dan usaha mendapat keizinan penggunaan tanah secara sementara (tol) dari JPS dan Pejabat Tanah. Atas hasrat ini cadangan untuk merobohkan diminta ditangguh, sebaliknya cadangan pembaikan diharapkan. Dengan permohonan-permohonan di atas kami tidak jangka diteruskan cadangan perobohan.

Selepas penerangan dan menunjukkan surat-surat cop penerimaan dari Pejabat-Pejabat Exco dan cop penerimaan Jabatan-Jabatan, Adun dimaklumkan oleh ketua Pasukan yang datang, iaitu En. Ahmad Ramadzan bin Mubin, ``Kami adalah dari LUAS (Lembaga Urus Air Selangor) datang bertujuan untuk menyampaikan notis yang butir-butirnya adalah: Sila ambil perhatian bahawa tuan/puan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen/Peruntukan Enekmen Lembaga Urus Selangor 1999.
Peraturan-peraturan (pengkompaunan kesalahan) Lembaga Urus Air Selangor 2006. Butir-butir kesalahan: Membina struktur / kandang dalam 50 meter reserve Sungai Langat tanpa kebenaran Pegawai LUAS.
Tempat kesalahan Dilakukan: Sg. Langat Tarikh kesalahan dilakukan 03/1/2013 waktu 10.15 pagi
Dengan ini tuan dikehendaki dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini disampaikan hendaklah menjalankan apa-apa kerja atau melakukan apa-apa yang perlu bagi maksud itu iaitu:
Mengalihkan/mengeluarkan dan meroboh struktur kandang keluar daripada 50 meter simpanan Sungai Langat.



Sila ambil perhatian jika tuan/puan tidak mematuhi mana-mana kehendak notis ini dalam tempoh yang dinyatakan itu, tuan/puan adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan dikenakan tindakan kompaun.

Penerima notis ialah saudara Ari Krishnan.

Apabila Adun tanya, tidakkah mereka menerima maklum berhubung dengan surat Adun kepada Exco-Exco dan salinan kepada jabatan-jabatan, nampaknya mereka tidak tahu dan mohon surat dalam fail Adun itu disalin secara foto.

Kami memberitahu bahawa pendekatan kami ialah mencari penyelesaian dan kebaikan dan bukan menghukum.

Adun maklumkan Adun akan memanggil pihak Jabatan-Jabatan berkenaan dalam masa terdekat untuk berunding dan mencari penyelesaian terbaik bagi kebaikan semua. Tidak berlaku sebarang kekecohan. Masing menjalanklan tugas dan memahami keadaan. Selepas meninjau kawasan setempat masing-masing keluar dari kawasan ternakan dan pertanian.

Sekian.

No comments:

Post a Comment