January 18, 2013

Pentingnya Pemuliharaan Warisan

(Ilham Dari Ceramah Ms. Alice Chiu Ahli Pemuliharaan Taiwan)





Pemuliharaan adalah kerinduan
Pada mengembalikan gemilang silam
Yang segalanya berubah
Dilanda kekinian.

Anak zaman
Terlalu banyak merasa kehilangan
Kehijauan sawah bendang
Bertukar kawasan perusahaan
Kejernihan air larian sungai
Keruh pekat beracun
Membunuh hidupan
Hilang manis pengalaman
Membelah hutan mendaki perbukitan
Memungut durian di perdu gugur
Mengait manggis di hujung dahan
Duku langsat memutih di batang
Melonggok di dangar buah-buahan
Untuk diangkut keluar ke pekan
Namun segalanya dalam kenangan.


Kenangan dihanyut zaman
Rumah gedang di tanah kehijauan
Atau di pinggir bukit di tepi larian
Banyak dengan pokok buah-buahan
Riang damai generasi keturunan
Kini segalanya dilanda perubahan
Kampung bertukar pekan
Bandar bertukar kota
Kehidupan pantas mencemaskan
Dari kediaman tanah luas ke sempit ruang
Berumah kotak berteres memanjang
Atau meninggi tegak mencecah awan
Anak manusia resah kesempitan
Simpang siur kehidupan dan kenderaan.



Terlalu banyak kehilangan
Makin menebal kenangan
Pada kawan sepersekolahan
Pada sahabat sepengajian
Pada institusi melahirkan
Pada teman sepekerjaan.

Mengekalkan semua luar kemampuan
Di sini peranan institusi konservasi
Bernama muzium dan warisan
Mengekalkan rindu kenangan
Dengan objek-objek pilihan
Untuk dihayati dalam kenangan.

Shafie Abu Bakar,
Shah Alam
05 Rabiul Awal 1434
17 Januari 2013

No comments:

Post a Comment