December 20, 2012

Lawatan Kerja Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor Ke Bangi

BBB, 05 Safar 1434 = 19 Disember 2012 (Rabu):


Insya Allah, jika tidak ada aral melintang Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor akan turun membuat Lawatan Kerja ke Bandar Baru Bangi. Dato` Menteri Besar akan melawat Tapak Masjid Al-Umm, di Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi dan melawat Tapak Sekolah Rendah Agama (SRA), Sungai Tangkas Bandar Baru Bangi. Bagi kedua-dua lawatan secara berturut-turut pada 6hb. Januari 2013 itu Dato` Menteri Besar akan bersama rakyat dalam Majlis Mesra dan Kenduri Kampung di kedua-dua tapak berkenaan.



Tapak bagi Masjid Al-Umm sebenarnya telah diperuntukkan sejak Bandar Baru Bangi mula dibangunkan (1975), terletak di Seksyen Satu Bandar Baru Bangi. Oleh kerana adanya Surau Sementara (Al-Umm) dan wujudnya Masjid di UKM, maka tapak ini tidak dibangunkan. Berikutnya Masjid Al-Hasanah didirikan (2001). Kini dengan pertambahan penduduk, sebuah Masjid bagi Bandar Baru Bangi tidak dapat menampung keperluan mendirikan solat Jumaat. Beberapa surau di bawah Kariah Masjid Al-Hasanah, terpaksa ditingkatkan kepada surau mendirikan Jumaat. Oleh kerana tapak yang ada untuk Masjid, maka diusahakan bagi membina masjid di atas tapak seluas 2 ekar itu. Dari usaha yang dilakukan tanah ini telah digezetkan secara rasmi sebagai Tapak Masjid Al-Umm (Nama ini adalah sempena Surau Pertama di Bandar Baru Bangi - Surau Al-Umm). Keizinan dan JAIS bagi mendirikan Masjid dan memungut derma telah didapati. Bahkan Majlis Pelancaran Tabung Masjid Al-Umm telah diadakan pada 19 Mei 2012 yang lepas. Manakala tapak bagi didirikan Sekolah Agama Sungai Tangkas, adalah diusahakan sejak tahun lepas. Sebidang tanah berhampiran dengan Surau Al-Hidayah, Sungai Tangkas dikenal pasti dan dipohon dari Pejabat Tanah Hulu Langat dan JAIS bagi mendirikan Sekolah Rendah Agama sejak tahun lepas 2011. Al-Hamdulillah permohonan ini mendapat kelulusan dari pihak-pihak berkenaan. Sekolah Rendah Agama Sungai Tangkas akan menampung anak-anak dari penduduk Kampung Sungai Tangkas, Taman Universiti, anak-anak pekerja Kampus Malaysian-German Institut (GMI) dan beberapa taman yang sedang dibangunkan berdekatan dengan GMI tersebut. Oleh kerana pembangunan bagi Masjid Al-Umm bermula begitu juga pembangunan bagi SRA Sungai Tangkas, maka Adun Bangi berusaha menjemput Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor membuat Lawatan Tapak bagi kedua-dua tapak berkenaan. Al-Hamdulillah lawatan bagi kedua-dua tapak berkenaan disetujui, iaitu pada 6 Januari 2013 (Ahad).


Bagi mempastikan persiapan tapak-tapak berkenaan, maka pada 18 Disember (Selasa) kelmarin Adun selaku Pengerusi Pembangunan Masjid Al-Umm dan beberapa AJK membuat lawatan bersama dengan pihak kontrektor membersih tapak dan pada pagi ini (Rabu), kerja-kerja pembersihan bagi Lawatan Kerja Y.A.B. Dato` Menteri Besar dimulakan. Tapak ini tidak begitu jauh dari Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Bangi. Sementara itu pada pagi ini juga Adun bersama saudara Shahrum Pegawai di Pejabat Adun membuat lawatan ke Tapak SRA Sungai Tangkas. Sebelumnya Adun hubungi Tuan Haji Abdul Hadi Husin, Ketua Kampung Sungai Tangkas untuk turun bersama. Kehadiran kami ke Tapak SRA, Sungai Tangkas disambut oleh saudara Mohd Azam Fairuz selaku Site Supervisor bagi Syarikat yang membangunkan SRA, iaitu Syarikat MAMFOR. Kami melihat tapak yang sebenarnya sudah mula dilakukan pembangunan sejak November 2012. Adun bersama Tok Hadi Ketua Kampung dijemput oleh saudara Mohd Azam ke Bilik Operasi dan mendapat taklimat, bahawa tapak bagi SRA Sungai Tangkas adalah seluas 2 ekar. Peruntukan bagi pembinaan Sekolah ini dari Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM5.2 juta. Di atas tapak akan didirikan 2 bangunan empat tingkat dengan 30 bilik darjah, satu surau, satu pusat sumber, satu bilik mesyuarat, satu bilik guru dan satu Pejabat Guru Besar.


Bersyukur kepada Allah, dengan pembangunan yang dapat disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor, insya Allah Penduduk Bandar Baru Bangi akan dapat sebuah lagi Masjid dan Penduduk Sungai Tangkas mendapat sebuah SRA bagi kepentingan pendidikan agama anak-anak Kampung Sungai Tangkas.


Kita menunggu Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor berkunjung ke Bangi bagi membuat Lawatan Kerja bagi kedua-dua tapak – Masjid Al-Umm dan SRA Kampung Sungai Tangkas pada 6hb. Januari 2013 nanti insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment