December 18, 2012

Hari Keluarga & Sukaneka Citra

Kajang Utama, 02 Safar 1434 = 16 Disember 2012 (Ahad):


Jam 10.00 pagi ini Adun Bangi dijemput untuk merasmikan Program Hari Keluarga Dan Sukaneka Perumahan Flat Citra, di Kajang Utama. Kawasan ini terdiri dari 6 buah flat yang mempunyai sebanyak 600 unit kediaman dengan penduduk lebih kurang 2,000 orang. 60% dari penduduknya adalah Melayu dan 40 % India. Flat ini ditadbirkan oleh Jawatankuasa Penduduk Citra (JPC) yang diketuai oleh saudara Razali bin Khamis yang terletak di bawah Perbadanan Pengurusan Flat Citra (Pengerusi Perbadanan ialah Puan Zuhaina Abu Hassan). Kehadiran Adun disambut oleh saudara Razali bin Khamis. Turut sama dalam majlis ialah Tuan Haji Ibrahim Martibi Ketua Rukun Tetangga, Kajang Utama, Sarjan Ahmad Ketua Balai Polis Bandar Teknologi, Wakil Syarikat Perkasa yang mengurus pembinaan pembentungan, Wakil Syarikat Suhati bahagian Paiping bagi pembentungan yang sedang dibangunkan oleh pihak Syabas, juga hadir memriahkan suasana ialah ibu bapa dan anak-anak. Saudara Abu Bakar turut tiba kemudian setelah menghadiri program yang lain.


Dalam perebualan dengan tamu, Adun diberitahu oleh En. Razali bahawa Program Hari Keluarga Dan Sukanika hari ini yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk adalah mendapat tunjangan kewangan daripada pihak Perkasa, yakni Syarikat yang sedang mengendalikan kolam takongan Indah Water di Kajang Utama tidak jauh dari padang yang sedang digunakan bagi Hari Keluarga dan Sukaneka hari lni– Syarikat ini menderma sebanyak RM1,000, manakala Syarikat Suhati yang mengendalikan paip bagi peningkatan pembentungan yang sedang dilakukan menderma sebanyak RM500.


Walaupun Adun tiba sesudah lama program bermula, tetapi Adun diminta berucap dan merasmikan Hari Keluarga dan Sukaneka. Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan mengucapkan syabas kepada AJK yang diketuai oleh En. Razali yang berjaya mengadakan Hari Keluarga dan Sukaneka. Program pada hari ini dapat mengisi masa lapang anak-anak dalam masa cuti Sekolah. Selain daripada itu mengeratkan hubungan kekeluargaan. Adun juga mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Perkasa dan Suhati yang menderma bagi menjayakan Hari Keluarga dan Sukaneka hari ini. Adun berpendapat sewajarnya syarikat-syarikat berkenaan menderma, lantaran penduduk tidak membantah terhadap projek penaikan taraf pembentungan di tempat mereka yang banyak menghalang dan menyusahkan mereka. Misalnya halangan kerana mengorek jalan dan meriosakkan jalan, berlakunya ketiadaan air kerana paip pecah dan Adun terpaksa turun menyelesaikan masalah dengan syarikat dan wakil-wakil penduduk dan sebagainya. Adun menyebut bahawa kawasan perumahan Citra ini tidak asing bagi Adun, kerana sering datang apabila mengadakan sambutan-sambutan dan bantuan-bantuan. Beberapa pelajar di sini juga mendapat bantuan dari Adun, bukan saja kerana cemerlang di dalam bidang pelajaran, tetapi beberapa daripada mereka dapat menyambung pengajian di universiti dan kita memberi bantuan. Antara mereka memohon membeli computer dan kita membantu. Kita berharap ramai lagi anak-anak dari perumahan Citra berjaya di dalam pelajaran mereka.

Semasa berucap dan sebelumnya berbagai-bagai program berjalan. Misalnya untuk kategori kanak-kanak seperti tiup belon,, Gula dalam tepung, bola ping pong dalam sudu, pundi kacang, isi air dalam botol. Untuk anak-anak yang lebih dewasa (13 tahun ke atas) mereka bertanding permainan lari atas tempurung, lari dalam gelung dan cabutan bertuah. Manakala acara sukaneka bagi ibu bapa ialah seperti, Air dalam belon, masukkan benang dalam jarum, mencari harta karun dan kemuncak ialah Tariktali antara Ahli Jawatankuasa Penduduk Citra dengan penduduk. Hadiah-hadiah disampaikan secara berperingkat. Adun turut menyampaikan hadiah-hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang.


Semasa menghadiri majlis ini juga AJK membawa Adun melihat Pondok Pejabat yang sedang didirikan oleh Persatuan Penduduk untuk digunakan sebagai Pusat Pentadbiran. Pondok ini dibina secara sedikit demi sedikit, kerana kekurangan dana. Mereka memohon peruntukan dari Adun bagi menyiapkannya. Adun berjanji akan membantu dan mengharapkan pembinaan diteruskan. Adun menunggu surat permohonan dibuat. Acara Hari Keluarga dan Sukaneka ini berterusan sehingga jam 1.00 tengahari. Adun memaklumkan semasa minum, bahawa Adun tidak dapat menunggu program hingga selesai, kerana Adun mempunyai jemputan-jemputan kahwin mulai jam 12.00 tengahari dan memohon diri sebelum selesainya program.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment