November 15, 2012

Sambutan Hijratur-Rasul S.A.W. 1434 Peringkat Negeri Selangor - Tuanku Sultan Selangor Rasmikan

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, 01 Muharram 1434 = 15 Nov. 2012 (Khamis):


Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah petang ini melancarkan Sambutan Hijratur-Rasul S.A.W. di dalam majlis yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini. Tuanku Sultan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1434 dan berharap umat Islam menyambutnya dengan penuh azam. Tuanku amat prihatin terhadap bangsa Melayu yang amat rapat dengan Islam, bahkan menurut Baginda, takrif Melayu menurut perlembagaan perkara 160 (2) ialah mereka yang mengamal budaya Melayu, berbahasa Melayu dan beragama Islam. Baginda menyeru orang Melayu mengelak dari elemen yang boleh membawa kepada syirik. Baginda berharap dengan semangat Hijrah lebih memperkukuhkan kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

Terdahulu dari itu menjelang tibanya Maghrib, jamaah dipimpin oleh Imam bertugas berzikir lafaz Munajat `Hasbi Rabbi Jallallah` dan `Ilahi lastu ahlan lil-Firdausi` diikuti Do`a Akhir Tahun dan selepas muazzin azan do`a awal tahun dibacakan dan diikuti dengan solat Maghrib.


Kemudian jamaah berpindah ke bahagian bawah masjid bagi mengikuti acara Sambutan Hijratur-Rasul. Bermula dengan Tilawah Al-Qur`an dan ucapan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebelum Tuanku Sultan Selangor berucap yang menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, kita seharusnya bersyukur kerana dilanjutkan Allah umur kita hingga berkesempatan dengan awal Hijrah 1434. Menurut Dato` Mohamad Khusrin Munawi Setiausaha Kerajaan itu, ``Hijrah adalah sebagai satu strategi yang mengubah peradaban dunia dan menjadi inspirasi Umat Islam di dalam menghadapi kehidupan dunia-akhirat secara positif. Hadir sama Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor, Exco-Exco, Orang-Orang Besar, Adun-Adun dan pegawai-pegawai.


Sebelum Majlis Penghargaan disampaikan ceramah oleh Penceramah Jemputan Ustaz Muhammad Abdullah mengupas konsep Hijrah yang membawa lima perubahan iaitu perubahan system kepercayaan, cara melihat dunia, cara melihat hidup, cara melihat diri dan cara melihat manusia yang dipadankan dengan Rukun Islam yang lima itu.


Duli Yang Mulia Tuanku kemudian menyampaikan Anugerah Tokoh Hijratur-Rasul 1434 bagi peringkat negeri Selangor ialah Yang Berbahagia Dato` Haji Johdi bin Dato` Doha. Anugerah juga diberi kepada PERKIM Negeri Selangor bagi peringkat Institusi, Tokoh Dakwah ialah Prof. Taufik Yap Hon Hin, manakala pada peringkat Aktivis Masyarakat ialah Tuan Haji Haron bin Hassan, bagi Keluarga Mithali ialah pasangan Ir. Hj. Mohd. Yaa`kob Zakaria dan isterinya Puan Rosnah bt. Jamal. Hadiah-hadiah pencapaian akademik pada peringkat Sekolah bagi pelbagai keputusan peperiksaan juga disampaikan termasuk seorang pelajar dari Sekolah Integrasi Bangi iaitu Adik Wan Imran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment