November 19, 2012

Pertumbuhan Sekolah-Sekolah Islam Swasta Di Bawah NGO-NGO Di BBB

BBB, 03 Muharram 1434 = 17 November 2012 (Sabtu):


Telah dibicarakan bahawa Bangi menjadi pilihan dan tapak yang subur bagi pergerakan NGO Islam bagi memperkembangkan idealisme mereka seperti ABIM, IKRAM, Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan sebagainya. Antara mekanisme bagi memperkembangkan idealisme masing-masing ialah melalui pendidikan. Lantaran itu NGO-NGO Islam ini menubuhkan pengajian masing-masing. ABIM dengan Sekolah ABIM, IKRAM dengan Sekolah Al-Amin, Persatuan Penduduk BBB dengan LEPAI dan kini mempunyai Kompleks Pendidikan Islamnya. Satu kelompok lagi yang agak baru dikenali dengan jenama ILMUAN yang ditubuhkan sejak 2007 yang keahliannya dan kepimpinannnya dari kalangan intelektual dari berbagai universiti di Negara ini juga mengambil pendekatan bagi menyebarkan idealismenya ialah melalui pendidikan. Ilmuan juga menubuhkan pengajian pada peringkat rendah sejak 2010 yang lepas dan Bangi menjadi pilihan utama dan terawal bagi penubuhan Sekolah yang ditubuh oleh ILMUAN. Sekolah yang ditubuhkan ialah pada peringkat rendah dan dikenali dengan Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Ilmuan (SERITI). Sekolah ini ditadbir oleh Lembaga Pentadbir yang terdiri dari ilmuan dari berbagai universiti. Sekolah ini pada permulaan bertempat di Kompleks Perniagaan Diamond di belakang Pejabat Daerah. Kini berpindah ke Paragon Point, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.


Pada pagi ini Adun menerima jemputan bagi merasmikan Hari Ihtifal dan Kecemerlangan Murid SERITI. Menurut Guru Besarnya, Encik Ismail Ilyas SERITI sekarang mempunyai 197 murid dengan 16 orang guru. Menurutnya Sekolah mempunyai pelajar dari darjah satu hingga 6. Sekolah menggunakan kurikulum secara integrasi antara Attribute Base Education, JAIS, Kementerian Pelajaran (KSSR) dan Tahfiz. Bayaran bulanan bagi setiap murid ialah RM320/= sebulan.Sekolah adalah bersifat harian dan tidak disediakan tempat tinggal atau asrama. Pelajar menduduki peperiksaan PSR dan UPSR.


Menurut Encik Ismail, guru-guru diambil yang fresh dan dilatih oleh pihak Sekolah. Untuk darjah satu diutamakan bekas-bekas guru PASTI yang mempunyai pengalaman antara 4 – 5 tahun.


Menurut Guru Besar, ``Setakat ini SERITI hanya ditubuhkan di Bandar Baru Bangi dan belum ada cawangan ditubuhkan di mana-mana, tetapi dijangka pada 2013 akan ditubuhkan pada peringkat Menengah yang Sekolah berkenaan akan dikenali dengan Sekolah Menengah Integrasi Tahfiz Ilmuan (SMITI).


Pada majlis ini Adun dijemput berucap, Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan yang seingat Adun ini adalah pertama kali dijemput kekegiatan Sekolah ini. Adun mengucapkan tahniah kepada SERITI yang berjaya mengeluarkan pelajar pada peringkat UPSR dan pada tingkat-tingkat yang lain. Adun percaya murid-murid diajar bukan saja dari segi akademik, tetapi ko-kurikulum, pembinaan syakhsiah, akhlak dan keyakinan diri. Jika dilihat pada hari ini pelajar-pelajar antara yang mengendalikan majlis. Apa yang penting dan menjadi faktor untuk maju, pihak pentadbir perlu menghasilkan murid yang bermutu dari segi akademik, akhlak dan keyakinan diri. Jika ini dapat dijaya dan buktikan, maka ramai dari ibu bapa akan menghantarkan anak-anak mereka belajar ke sini. Mereka tidak kisah sangat dari segi bayaran, jika kita dapat meyakinkan ibu bapa tentang mutu pendidikan yang pihak SERITI dapat tawarkan. Jika sudah mendapat kepercayaan dan terkenal, maka Sekolah ini akan menjadi rebutan bagi ibu bapa menghantar anak-anak mereka belajar. Adun berharap SERITI akan menjadi Sekolah terkenal jika tidak di Malaysia atau Selangor, sekurang-kurangnya pada peringkat Bangi. Kepada ibu bapa Adun menyebut bahawa anak adalah permata hati ibu bapa dan adalah menjadi harapan ibu bapa bagi kejayaan anak-anak. Adun mengingatkan kejayaan Sekolah dan anak-anak adalah bersama dengan peranan ibu bapa, sebab itu Adun berharap ibu bapa memberi kerjasama yang erat bagi memajukan Sekolah dan anak-anak kita. Pihak Adun berjanji akan memberi kerjasama yang sesuai bagi kemajuan Sekolah. Pihak Kerajaan Negeri Selangor sama memberi sumbangan terhadap Sekolah. Saya mendapat maklumat untuk tahun ini Sekolah ini juga membuat permohonan. Insya Allah peruntukan dipohon dalam jumlah tertentu akan disampaikan dalam masa terdekat.

Selepas dari menyampaikan ucapan, Adun dijemput menyampaikan hadiah dan anugerah kepada pelajar cemerlang dan berjaya.

Didoakan kepada Allah, semoga Sekolah akan terus maju jaya – Insya Allah.

Terima kasih – Sekian.

No comments:

Post a Comment