November 23, 2012

Menutup Kem Remaja Bangi 2012

Pekan Bangi, 04 Muharram 1434 = 18 November 2012 (Ahad):


Jam 5.00 Petang ini Adun bersama saudara Azizi ke Surau Al-Ibtidaiyyah, Pekan Bangi bagi menutup Kem Remaja Bangi 2012 yang berlangsung dari 15 – 18 November 2012. Kegiatan adalah berindukkan Surau. Seramai 96 remaja yang umur antara 10 – 18 tahun mengambil bahagian. Remaja-remaja berkenaan bukan saja dari Pekan Bangi tempat diadakan kem, tetapi dari Bandar Seri Putra, Kajang, Bandar Baru Bangi, Cheras dan Putrajaya. Menurut Tuan Haji Sukaimi Rasmi Penasihat bagi Kem Remaja berkenaan,
``Kem Remaja ini bagi mengisi masa lapang remaja di dalam tutup Sekolah, agar mereka bergiat dalam perkara yang memberi faedah bagi mereka.``Menurut Tuan Haji Sukaimi lagi,
``Objektif Kem Remaja ini ialah, bagi mengeratkan hubungan penduduk setempat dengan remaja, memupuk semangat bermotivasi dan berakhlak mulia, melahirkan remaja soleh dan solehah dan mengikis sifat negative menjadi positif.`` Ahli Jawatankuasa antaranya En. Zol Nor Pengarah Satu, Hjh. Suraya Harun Pengarah II, Md. Ruslan Abd. Manap Timbalan Pengarah dan AJK yang lain.


Menurut Sdr. Zol Nor, ``Program dijalankan di Surau Al-Ibtidaiyyah, aktiviti luar dijalankan di Bukit Rupa, Hutan Simpan Kekal UKM. Peserta lelaki bermalam di dalam khemah yang disediakan dan peserta perempuan ditempatkan di Tadika Al-Husna berdekatan Surau.`` Tambah Sdr. Zol Nor lagi, `` Antara pengisian bagi Kem Remaja ini ialah tazkirah, kuliah, solat berjamaah, membaca Al-Qur`an, bengkel, motivasi, jungle tracking. Riadah, gotong royong. Mengenal alam, permainan minda dan kerja secara berpasukan.


Peserta-peserta juga dilatih dengan kemahiran-kemahiran bagi kegunaan biasa dan harian contoh seperti teknik penyambungan paip dan letrik, menanam pokok, teori dan praktikal teknologi simen dan kayu, latihan masakan dan menjahit, klinik badminton. Bagi menjayakan kem remaja ini mereka dibimbing oleh tenaga yang mahir di dalam berbagai bidang di atas. Mereka mendapat kerjasama erat dari penduduk setempat.


Ketibaan Adun Bangi pada jam 5.00 petang ialah bagi menutup Kem Remaja. Majlis diadakan di dalam surau yang penuh dengan peserta dan juga ibu bapa yang datang menyaksikan upacara dan yang datang dari jauh bagi menjemput anak-anak mereka setelah empat hari mengikuti kem berkenaan.


Pada Majlis penutup Kem Remaja Adun mengucapkan syabas kepada AJK kerana dapat mengadakan Kem Remaja dalam masa 4 hari dan dapat menarik peserta hampir 100 orang. Kem ini kata Adun, amat wajar diadakan bagi mengisi masa lapang remaja dan mendidik mereka dengan nilai-nilai positif, bahkan dilatih dengan berbagai-bagai kemahiran yang dapat digunakan di dalam kehidupan keluarga di rumah. Menurut Adun, disamping melatih dan membimbing mereka dengan berbagai kemahiran, mereka juga dilatih secara kerja berpasukan dan bertanding secara sihat. Dengan penyertaan di dalam kem remaja ini juga dapat dicungkil bakat-bakat remaja seperti dalam bidang sukan dan kemahiran. Adun berharap dengan mengikuti kem ini dapat memupuk nilai positif, beribadat secara berjamaah, semangat bekerja dan pergaulan sihat antara remaja dan menghormati pembimbing dan motivator.


Pada Majlis ini Adun menyampaikan sijil, cenderahati yang dimenangi secara individu dan secara pasukan dan kumpulan diberi nama dengan nama sahabat-sahabat dan tokoh-tokoh Islam terkenal. Adun juga menyampaikan Cenderahati dan hamper kepada Peserta remaja Lelaki Terbaik iaitu; Wan Muhammad Azimuddin bin Wan Ahmad. Manakala Peserta remaja Perempuan terbaik ialah:Nor Zafirah bt. Nur Fadhli.

Sekian.

No comments:

Post a Comment