November 27, 2012

Isu-Isu Dibangkit Adun Bangi Di Dewan Negeri Selangor & Cadangan-Cadangan


Dewan Negeri Selangor, 12 Muharram 1434 = 26 November 2012 (Isnin):

Hari ini Adun Bangi berpeluang membangkitkan banyak isu, antaranya:

a) Polisi Mengenai Sejarah & Warisan Selangor Di Kuala Lumpur

Bercakap di dalam Mesyuarat Jawatakuasa Dewan Vot B02 Pelbagai Perkhidmatan 2,900, Butiran 505000 (42,000 Perbelanjaan Dalam Negeri) pecahan 2 dalam mana Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan yang diberi peruntukan 2012 sebanyak RM8,500,000 dan pada tahun 2013 RM8,600,000. Adun memohon agar dibuat polisi, meskipun Kuala Lumpur (W.P) diserahkan kepada Kerajaan Federal pada 1974, bahawa Selangor mempunyai hak terhadap sejarah dan warisan di Kuala Lumpur sebagai sebahagian dari sejarah dan Warisan Selangor, Sejarah dan Warisan di Kuala Lumpur adalah warisan Selangor (kecuiali hasil warisan selepas penyerahan) baik dari segi politik, pentadbiran, ekonomi, perhubungan, perusahaan dan sebagainya. Selangor hendaklah bekerjasama dengan Wilayah Persekutuan dalam memulihara bahan sejarah, warisan dan permuziuman dan sama menmgambil manfaat daripadanya. Kerjasama juga harus dibuat bagi memperkenal dan mempromosikan bahan-bahan warisan yang menarik minat pelancong agar mereka sama datang ke Selangor.

Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim menyokong cadangan, bahkan menambah kajian perlu dibuat dalam konteks Selangor berhubung dengan Kelab Sultan Sulaiman yang menjadi venue perhimpunan politik perjuangan kemerdekaan, termasuk juga perlu sama diberi perhatian terhadap Kampong Baru.

b) Penggunaan Tanah Di Selangor

Adun membuat soalan tambahan kepada Tuan Speaker dalam sesi Menjawab Soalan Adun-Adun berhubung dengan keperluan bagi mengambil tanah untuk kepentingan awam seperti Sekolah dan pembinaan MRT yang melibatkan pengambilan tanah terutama milik individu yang tidak mempunyai tanah lain. Apakah tindakan kerajaan. Menurut Y.A.B. Dato` Menteri Besar, Kita perlu adil didalam soal memberi kemudahan kepada rakyat dan menjaga hak individu, antaranya jika tidak boleh dielak dari kegunaan tanah ialah dengan membayar pampasan dan menggantinya di tapak yang lain.

c) Perlu Kepada Muzium Padi Tersendiri

Adun juga memberi penjelasan atas permohonan Adun Sekinchan (Y.B. Ng Suee Lim) mahu didirikan Muzium Padi di Sekinchan. Adun memaklumkan bahawa di Sabak Bernam yang mana Sekinchan adalah di bawah Sabak Bernam, sudah ada Muzium Pertanian maka muzium di sini dapat dipeluaskan penggunaannya termasuk pameran mengenai Padi Sekinchan (sudah ada pameran bahagian padi biasa), manakala Sawah Padi di Sekinchan boleh dijadikan Muzium Hidup. Berhubung dengan cadangan mewujudkan Galeri Padi boleh dipertimbangkan. Pihak PADAT akan turun membuat kajian kewajaran dan kesesuaian. Tertakluk juga pada kewujudan tapak yang sesuai, antaranya bagi tarikan kehadiran pelancong.

d) Kenaikan Gaji – Elaun Nazir, Jawatan Pekerja PADAT, Guru Agama dan Penguatkuasa

Ketika dibincangkan tentang gaji - Vot BO9, tentang elaun Adun lebih rendah dari elaun Ahli Majlis Perbandaran, Adun mencadangkan agar elaun kehadiran bersidang Adun-Adun dibayar secara terus, tidak perlu dibuat tuntutan, kerana kehadiran mereka diambil setiap hari dan diketahui dari tempat mana mereka datang. Adun juga mebangkitkan elaun Nazir Masjid yang hanya RM200/= sebulan. Patut ditambah elaun mereka dengan kadar berpatutan.

Adun Bangi juga membangkitkan soal Pekerja Sementara` antaranya seperti di Padat, Penguatkuasa di JAIS, Guru Agama dan agensi-agensi yang lain. Adun minta diberi perhatian agar pekerja-pekerja yang bersifat sementara, jika wajar dan memenuhi syarat diserapkan menjadi pekerja tetap. Kita kasihan melihat pekerja-pekerja kontrek ini ada yang berpuluh tahun bekerja pernah diminta berhenti kerja, sedangkan mereka ada rumah perlu dibayar, anak perlu belajar, ada pinjaman kereta dan hutang yang lain. Jadi bila menerima surat arahan berhenti kerja, betapa luluhnya hati mereka menghadapi beban yang diterima. Jika diserapkan menjadi jawatan tetap tentulah mereka bergembira, bersyukur dan bekerja lebih dedikasi lagi. Y.A.B. Dato` Menteri Besar mencadangkan kedudukan sementara mereka janganlah melebihi 10 tahun, jika tidak perlu dimaklumkan, jika melebihi dari 10 tahun perlu dijadiakn mereka pekerja tetap, agar mereka tidak teraniaya dan terjamin hidup mereka dan juga keluarga.

e) Seni Bina Dewan Tambahan

Ketika dibicarakan tentang perlunya ahli-ahli dewan mempunyai bilik sendiri dan cadangan mendirikan sebuah lagi bangunan bagi keperluan berkenaan dan bilik-bilik mesyuarat Adun Bangi mencelah cadangan, bahawa bangunan yang akan didirikan hendaklah mengambil kira dari segi estetika seni binanya perlu wujud elemen seni bina tempatan yang mungkin berciri moden + Tempatan + Islam. Bangunan sekarang tidak mencerminkan ciri sedemikain (kecuali motif bunga tanjung dalam bangunan). Bangunan SSAAS adalah berbentuk moden, Bangunan Dewan Negeri berbentuk Greeco-Roman, Nama bagi bangunan tambahan baru perlu berunsur tempatan (Selangor) seperti `Puri Dewan Negeri`, tidak seperti Dewan Annex sekarang, agak barat namanya, pada hal ada istilah yang lebih sesuai contoh `Dewan Anjung` dan sebagainya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment