October 13, 2012

Pertama Kali Bermesyuarat Dengan Tuan Pegawai Daerah Baru: Mengapa PAID Mengamalkan Demokrasi Separuh Masak?

Pejabat Daerah, Hulu Langat, 24 Zulkaedah 1433 = 10 Oktober 2012 (Rabu):

Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Hulu Langat hari ini adalah merupakan mesyuarat pertama kali dengan Tuan Pegawai Daerah yang baru ditukar ke sini -Dato` Mohd Amin. Agenda pertama selepas ucapan alu-aluan dan pengenalan dari Tuan Pegawai Daerah ialah Taklimat Fungsi & Peranan Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat (PAID) yang disampaikan sendiri oleh Tuan Pegawai Tadbir Agama PAID Tuan Mohd Ariff bin Abdul Samat. Sebagaimana biasa di dalam taklimat pertanyaan-pertanyaan boleh dikemukakan apabila ada sesuatu yang memerlukan penjelasan.


Majlis diberitahu bahawa bagi Masjid Jami` bagi setiap daerah, AJK masjid berkenaan adalah dilantik terus oleh pihak JAIS, tetapi bagi masjid-masjid lain di daerah perlantikan adalah melalui pemilihan. Adun Bangi bertanya dan mempersoalkan, mengapa pemilihan AJK Masjid As-Solihin Teras Jernang yang berlangsung pada 27 Mac 2012, setelah separuh jalan dibatalkan. Mengapa bagi pemilihan secara kompromi persetujuan dan tandatangan Adun Bangi diambil, tetapi bila tiba pada peringkat pemilihan akhir, khususnya Nazir Adun Bangi tidak diberitahu dan tidak diambil tandatangan sebagai persetujuan, tidakkah ini merupakan amalan demokrasi separuh jalan dan tidak masak?

Memang jawapan diberi, tetapi tidak memuaskan hati. Walau bagaimana Tuan Pegawai Daerah meminta perkara sedemikian diambil perhatian dan diharap tidak berulang lagi.

Dalam mesyuarat ini Adun juga menimbulkan bahkan menghantar soalan bertulis berhubung – Apakah tindakan diambil bagi mengatasi banjir yang berlaku di Sungai Ramal Luar dan Dalam pada 4 September 2012 (Ditambah YB Teoh Nie Ching Ahli Parlimen Serdang Banjir Taman Mahkota, Jalan Reko).

Turut dikemukakan hasrat penduduk Bangi Valley Seksyen 3 yang mau diadakan traffic light jalan keluar dari Surau As-Sabah ke Jalan berhadapan dengan Seksyen 2, pertanyaan apakah projek yang sedang dijalankan di tepi Tol Bangi, berdekatan KPTM, tidakkah mengganggu lalu lintas dan merosakkan pandangan. Soalan bagaimana cara mengatasi rumah-rumah terbengkalai di Cyber tel dan aduan penduduk flat sederhana mewah – Bukit Mewah Fasa 7, bahawa pihak Metro Kajang melantik kontrektor bagi memungut yuran penyelenggaraan. Mereka tidak berpuashati kadar yuran penyelenggaraan meningkat 100% dari RM25.00 kepada RM50.00 sebulan.

Berhubung dengan projek perumahan, Adun Bangi mengucapkan terima kasih kepada MPKj kerana Aduan rumah di Taman Teratai Sungai Ramal Dalam yang telah siap, tetapi masih tidak dapat didiami yang dibuat di dalam mesyuarat Penyelarasan Bil. 4/2012 yang lepas, selepas aduan itu, seminggu berikutnya penghuni dapat kunci. Adun Bangi juga bertanya berhubung dengan permohonan mendirikan Sekolah Rendah Agama di Sungai Tangkas. Pihak Tuan Pegawai Daerah menyatakan beliau baru menerima surat berkenaan berhubung dengan status tanah bagi sekolah tersebut dan akan mengambil tindakan segera selapas ini.


Berhubung dengan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Bangi sepanjang 1.3 km dengan peruntukan RM1.8 juta yang dijangka siap pada bulan Julai (siap baru 32%), kerja-kerja dihentikan berikutan isu pengambilan tanah. Difahamkan keizinan bagi jentera untuk masuk melalui tanah pemilik bagi melebar dan mendalamkan sungai juga tidak diizin oleh Tuan Tanah. Ini memungkinkan terjadi banjir bila hujan lebat.

Dari soalan mesyuarat yang lepas berhubung dengan bau busuk sekitar Tol Bangi, pihak berkuasa telah mengambil sample air bagi mempastikan dari kilang mana bahan kimia disalirkan. Setelah mendapat kepastian tindakan akan diambil.


Adun Bangi bersama YB Teo Nie Ching yang hadir dalam mesyuarat Penyelarasan kali ini, kami mengucapkan terima kasih kepada pihak JKR dan Kerajaan negeri kerana telah mulai memasang tiang-tiang lampu dari UKM ke Pekan Bangi sebanyak 70 batang – ditambah dengan tiang-tiang yang sedia ada antara Pusat Penyelidikan Atom ke Pekan Bangi berjumlah lebih dari 30 tiang. Diharap dengan penanaman tiang dan bekalan api kelak memberi keselesaan kepada pengguna-pengguna jalan raya dari UKM ke Bangi dan lebih menjamin keselamatan – terutama pada waktu malam.


Sekian.

No comments:

Post a Comment