October 9, 2012

Penduduk Taman Bukit Mewah Fasa 7 Bantah Kenaikan Caj Penyelenggaraan 100%: Tubuh Persatuan Bagi Menjaga Kepentingan Penduduk

Taman Bukit Mewah, Kajang, 21 Zulkaedah 1433 = 07 Oktober 2012 (Ahad):

Kira-kira sebulan yang lepas Adun menerima aduan dari Puan Mala yang tinggal di perumahan di atas bahawa penduduk tidak berpuas hati pihak syarikat yang menguruskan maintenance perumahan di atas (Blok G & H) menaikkan bayaran bulanan dari RM25.00 sebulan kepada RM50.00 sebulan. Menurut mereka, bayaran adalah tinggi dan walaupun dinaikkan bayaran, tiada khidmat yang dilakukan. Bantahan mereka tidak didengar. Ada yang merasa keciwa dan bercadang untuk keluar dari tempat berkenaan. Adun bertanya, ``Adakah penduduk perumahan di atas mempunyai persatuan yang dapat mewakili mereka di dalam rundingan ?`` Menurut Puan Mala, ``Tidak ada persatuan ditubuhkan.``

Bila ditanya adakah kalangan pemilik dan penyewa yang tidak membayar maintenance?
Menurutnya, ``Memang ada yang tidak bayar dan selepas kenaikan sewenang-wenang dilakukan, ada yang langsung tidak mahu bayar !``


Pada 26.9.2012 Adun menerima surat dari penduduk memaklumkan pihak Pemaju, iaitu Cekap Corporation Berhad telah melantik IPC Island Property Consultants Sdn. Bhd. Sebagai agent bagi mengutp duit penyelenggaraan yang dinaikkan kepada RM50/= itu yang dianggap terlalu tinggi dan diluar kemampuan mereka. Mereka mengadu mereka menghadapi berbagai masalah:

a) Lampu di koridor bangunan tidak berfungsi
b) Bumbung di tingkat lima pecah
c) Tangga tidak dibersihkan dan dipenuhi sampah sarap
d) Bangunan sepatutnya dicat tidak dicat
e) Banyak unit kosong terbiar dan menjadi takungan sampah-sarap serta digunakan oleh penagih-penagih dadah.

Mereka memaklumkan ingin menubuhkan persatuan. Berikutan dari makluman itu mereka telah mengadakan mesyuarat dan memilih AJK persatuan. Pada 2 Oktober Adun menerima surat menjemput Adun merasmikan penubuhan Majlis Penduduk Sementara (Joint Management Body) pada hari ini jam 3.00.


Hasil dari penerimaan baik terhadap cadangan Adun penduduk telah melantik AJK Sementara sebagaimana berikut:

Pengerusi: Puan Mala
Setiausaha: En. Mohd Shukri Bin Yusoff
Bendahari: En. Elmy Yaacob
Dan 10 AJK turut dilantik


Kehadiran Adun pada petang ini adalah lebih bersifat formality merasmikan pemilihan yang telah dibuat oleh penduduk.

Sdr. Mohd Shukri selaku Setiausaha yang mewakili Puan Mala mengucapkan terima kasih di atas kehadiran penduduk yang agak ramai. Beliau menyebut beberapa cadangan seperti menjadikan pondok pengawal tempat tadbiran, menyelaraskan pungutan bayaran, mengadakan gotong royong dan sebagainya.


Adun Bangi mengucap tahniah di atas kejayaan penduduk menubuhkan persatuan dan mengharap persatuan tidak hanya berperanan soal maintenance, tetapi hendaklah diluaskan kepada bersifat kebajikan, mengadakan kegiatan kemasyarakatan, pendidikan anak-anak dan berbagai lagi.

Kata Adun tugas segera pihak persatuan hendaklah mengadakan pertemuan segera dengan pihak pemaju, MPKj, Ahli MPKj dan Adun bagi merundingkan masalah yang dihadapi penduduk. Adun sedia bekerjasama apa jua perkara yang memberi faedah kepada penduduk.

Selepas ucapan majlis dibuka bagi sesi dialog. Beberapa orang telah bercakap. Antara cadangan:

  • Perlu diadakan gotong royong bagi menjaga kebersihan rumah dan kawasan.
  • Berusaha membaiki kerosakan
  • Perlu membina jalan potong ke Kajang Utama
  • Pastikan pemilik rumah bertanggungjawab membayar yuran bagi rumah yang disewa.
  • Berusaha untuk mngecatkan bangunan agar lebih ceria dan menarik.

Adun berterima kasih di atas cadangan-cadangan dan berharap ianya dijadikan program bagi gerak kerja Persatuan.

Pada Majlis Perasmian ini juga Adun menyampaikan sedikit peruntukan permulaan bagi membolehkan AJK menjalankan kegiatan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment