October 17, 2012

Haji Bukan Semata Ibadat, Tetapi Menanggapi Sirah Dan Jihad, Mengukuhkan Iman - TG Haji Abdul Hadi Awang

BBB, 30 Zulkaedah 1433 = 16 Oktober 2012 (Selasa):

Petang ini usaha membawa YB Tuan Guru Dato` Seri Haji Abdul Hadi Awang yang dalam sesi persidangan Parlimen ke Bangi berjaya dilakukan. Tempat dipilih bagi kehadiran beliau ialah di Surau Abdul Rahman bin Auf, Seksyen Tiga Bandar Baru Bangi (juga ke Surau An-Nur Pertemuan Tertutup disertai Dato` Dr. Harun Din Timbalan Mursyidul Am). Ketibaannya ke Surau Abdul Rahman Bin Auf disambut antaranya oleh Adun Bangi, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang dan AJK Surau Abdul Rahman Bin Auf.

Tuan Guru menyampaikan tazkirah selepas solat Maghrib. Topik yang dipilih ialah sesuai dengan keadaan semasa, bahawa kita sekarang berada di dalam bulan-bulan Haji bermula dari Syawal hingga Zulhijjah dan malam ini adalah malam satu Zulhijjah. TG menyebut bahawa, ``Haji bukan semata-mata ibadat dari rukun, wajib dan sunat, tetapi adalah rentetan sirah bagi menegakkan kebenaran Islam, bukan saja didakwah oleh Rasulullah S.A.W, tetapi adalah jihad dari zaman Nabi Allah Ibrahim A.S. Ya`kub, Ishak dan Ismail. Nabi Allah Ibrahim A.S. menegakkan tauhid berdepan dengan kekuasaan syirik pada zamannya – Namrud dari kerajaan Babylion. Nabi Ibrahim A.S. diancam dengan pembakaran. Perjalanan sirah dan perjuangan yang ditegakkan oleh Nabi Allah Ibrahim adalah merupakan persiapan sirah agung bagi kelahiran Perutusan Allah - Nabi Muhammad S.A.W.

Haji selain dari ibadat khusus adalah juga menelusuri sejarah pembinaan Makkah yang dari kawasan tanah kuntang, Nabi Ibrahim membina Ka`bah dan meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya Ismail di Makkah dengan mendoakan agar Tanah Makkah menjadi kawasan aman makmur (Al-Baqarah: 136) yang datang menziarahinya manusia dari penjuru alam yang walaupun tidak subur dengan tanaman, tetapi dengan sumber air zamzam, ianya menjadi tempat persinggahan dan pertemuan bagi kafilah dan pengunjung baik dar Yaman, maupun dari Sham. Kemakmurannya menjadikan Makkah tempat yang boleh didapati apa saja sumber yang didagangkan.

Haji membuka ruang memaparkan latar tempat dakwah Rasulullah di Makkah yang memakan masa 13 tahun, tetapi tidak begitu ramai yang mengikutinya, hanya dalam lingkungan 100 orang. Berlatarbelakangnya Makkah, Baitul Maqdis berlakunya Isra` dan Mi`rajnya Rasulullah bagi menerima fardu solat lima waktu. Baginda berdakwah kepada kaumnya, tetapi tidak semudah diterima kaumnya – Kaum Quraisy yang begitu keras dan mengancam.

Haji juga memberi peluang bagi mereka yang dipilih oleh Allah mengunjungi RumahNya melihat latar Makkah dan suasananya dan juga dengan ziarah ke Madinah tentang Hijratur-Rasul dari Makkah ke Madinah serta dapat menghayati kekaguman betapa 13 tahun dakwah di Makkah tidak dapat melembutkan hati masyarakatnya kepada menerima Islam, sebaliknya dengan Hijratur-Rasul ke Madinah, maka tanah Madinah menjadi tempat yang subur dengan perkembangan Islam bukan saja di Madinah, tetapi berkembang ke luar Madinah ke Negara-negara di Semenanjung Arab dan bukan Arab & Al-Qur`an menjadi kitab Panduan bagi umat Islam bagi semua bidang sama dada ibadat, muamalat, munakahat, jinayah dan jihad.

Islam adalah kebenaran yang didukung sejak Nabi Adam A.S. membawa kepada Nabi Allah Ibrahim A.S. Ia bukan sesuatu yang tersendiri dan asing, tetapi kebenaran yang didukung bertalian oleh generasi Nabi dan Rasul dan kebenaran ini diwarisi kepada kita sebagai Jalan Lurus yang menjaminkan keselamatan kita di dunia dan akhirat, Allah berfirman bermaksud:
Apakah dengan yang lain dari agama Allah yang mereka cari? Sedangkan tunduk patuh kepadaNya semua yang di langit dan di bumi (Ali Imran: 83)

FirmanNya lagi yang bermaksud: Agama bagi Allah hanyalah Islam (Ali Imran: 19)
Dan FirmanNya bermaksud:
Sesiapa yang mencari selain daripada Islam, maka tidak diterima dan diakhirat kelak mreka adalah dari kalangan mereka yang rugi (Ali Imran: 85).

Sesungguhnya dengan menunaikan Haji bukan saja menyempurnakan rukun Islam yang lima, tetapi mengukuhkan keyakinan dan menambahkan iman.

Sekian.

No comments:

Post a Comment