October 31, 2012

Budaya Kompang Ketara Di Selangor - Menjadi Identitinya ?

PADAT, Shah Alam, 14 Zulhijjah 1433 = 30 Oktober 2012 (Selasa):

Sukar untuk mengatakan dari mana asal kompang, yang pasti ia adalah pecahan dan variasi gendang yang menjadi budaya bagi berbagai masyarakat. Di negeri kita pecahan dari gendang - bila besar dan dipukul dengan kuat atau dengan alat pemukul dikenali sebagai rebana, bila digantung dan dipukul dengan pemukul secara keras dikenali sebagai beduk dan Kompang adalah sejenis gendang mini dibuat secara lebih kecil agar mudah dibawa dan dipukul sambil berdiri dan berjalan. Kompang biasanya dimain secara beramai-ramai di dalam kumpulan yang mungkin sampai 20 orang. Kompang diterima sebagai peralatan bunyi budaya yang digunakan di dalam berbagai upacara. Paling ketara digunakan di dalam berbagai upacara di negeri Selangor. Adakah ini bermakna Kompang budaya menonjol di negeri Selangor?

Dari tujuan mau mencari jawapan bagi berbagai-bagai pertanyaan boleh ditimbulkan berhubung dengan kompang ini, maka Padat hari ini mengadakan Seminar Bicara Kompang sebagai instrument budaya tradisi Melayu. Seminar dirasmikan oleh YB. Dr. Ahmad Yunus Hairi Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.


Dalam ucapan perasmiannya YB Dr. Ahmad Yunus, mahu kompang menjadi identiti negeri Selangor, sekiranya ia bukan asal dari negeri Selangor, maka hendaklah diusaha memberi ciri-ciri negeri Selangor yang membezakannya dari negeri-negeri yang lain.

YB Dr. Ahmad menyebut secara nostalgic bahawa pada masa beliau kecil kompang begitu berkembang dan digunakan di dalam berbagai upacara, kini ianya kurang menarik minat terutama di kalangan anak-anak muda. Beliau berharap agar minat terhadap kompang ini ditanam di dalam jiwa anak-anak muda. Beliau juga berharap dapat didokumentasikan maklumat tentang kompang dan diterbitkan maklumat-maklumat yang berhubung dengannya.

Sebelum daripada itu Adun Bangi selaku Pengerusi Padat, mengalu-ngalukan kehadiran dan kesudian YB Dr. Ahmad Yunus merasmikan Program Bicara Seni Kompang Seni Tradisi Melayu. Ini adalah siri terakhir 2012 berikut dari pembicaraan tentang Busana, Kelingkang, Tari, Tanjak, kebaya, telepok dan kompang. Menurut Adun Bangi, kompang adalah alat budaya dalam masyarakat Melayu dan digunakan di dalam berbagai upacara baik bersifat keagamaan, kemasyarakatan, bahkan kesukanan. Ia bukan saja memeriahkan suasana, tetapi juga menaikkan semangat pertandingan, menceriakan khalayak dan merancakkan kegiatan. Berkompang tidak menimbulkan kontroversi. Menurut Pengerusi Padat, bicara hari ini bertujuan untuk kenal pasti dan memperkenalkan kepada masyarakat tentang kompang terutama bagi golongan muda, agar mereka mengenali dan mencintai budaya sendiri. Lebih dari itu ialah bagi meningkatkan kualiti pembuatan dan persembahan kompang.

Majlis pada hari ini dihadiri antaranya En. Nuridin bin Sapan Wakil Tuan Pegawai Daerah, Kuala Langat, En. Lutfi Nazar yang mewakili Puan Azlinda Azman Ketua Pegawai Eksekutif Padat, penghulu, ketua kampong, pembentang-pembentang dan peserta-peserta. Dua kertas kerja dibentangkan:

Sejarah dan Perkembangan Kompang di Malaysia
Oleh: En. Rehbani bin Mutaal.
Fakulti Muzik Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Aktiviti Bengkel Bersama
Persatuan Silat Seni Ezhar Suci/Setia Hati dan Kompang Wilayah dan Selangor
Kumpulan Kompang Tiga, Meru Klang.

Sementara itu menurut En. Jalaluddin Setiausaha Persatuan Silat Seni Ezhar, terdapat lima kumpulan Kompang, iaitu:
  1. Kumpulan Ezhar bertempat di Keramat
  2. Kumpulan Patani bertempat di Keramat
  3. Sinar 12 bertempat di Sentul
  4. Kelalang bertempat di Johor dan Melaka.
  5. Lain-lain kumpulan yang tidak berpersatuan.
Menurut saudara Jalaluddin, sebaik jumlah dalam satu kumpulan kompang adalah seramai 20 orang, tetapi dalam persembahan biasanya sejumlah antara 10 hingga 15 orang. Tiap kumpulan mempunyai uniform dengan warna pilihan sendiri.

Menurut saudara Jalaluddin lagi, rentak kompang berlainan antara misalnya sambutan maulid dan keagamaan, mengiring pemimpin, menghantar pengantin, berkhatan dan pertandingan.

Walau bagaimana semua acara kompang bermula dengan salawat sebagai pembukaan dan juga dengan salawat sebagai pengakhiran.

Sekian.

October 30, 2012

Bersama Menyertai Acara Korban Penduduk Dun Bangi

Dun Bangi, 11 – 13 Zulhijjah 1433 = 27 – 29 Oktober 2012 (Sabtu-Isnin):

Sebagaimana pada tahun-tahun yang lalu, Adun memperuntukkan lembu korban bagi sambutan Eidul Adha bagi tahun 1433/2012, kali ini sebanyak 5 ekor dan tambahan dari Kerajaan Negeri Selangor sebanyak 4 ekor. Pengagihan adalah dibuat terhadap tempat-tempat yang sebelum ini belum diberi peruntukan lembu korban, khususnya bagi tempat yang tidak mengadakan korban. Pemberian seekor setiap tempat – dengan tambahan tempatan jika ada, biasanya diuruskan melalui surau-surau dan masjid.


Pada tiga hari Eidul Adha, Adun bersama saudara Azemi Ahmad Ketua Lajnah Masjid dan Surau Dun Bangi dan saudara Azizi melawat lokasi yang melaksanakan korban. Tujuan tidak lain bagi memastikan perjalanan korban berjalan lancar di samping beramah mesra dengan masyarakat setempat. Dari pengalaman tahun ini ada tiga tempat yang lembu terlepas lari, seekor dapat ditangkap balik dan dua ekor belum dapat. Masalah jika lembu yang lari jauh dari tempat terlepas dan tidak dikenalpasti betul-betul, mungkin bertukar dengan lembu-lembu yang lain, jika berlaku percampuran dan kalau tak dapat ditangkap segera dan keluar dari masa korban, maka tidak sampai hasrat untuk amalan korban.


Lawatan pertama Sabtu (11 Zulhijjah) ialah ke Kampung Bahagia Pekan Bangi, iaitu sesudah mengurus korban seekor kambing di kandang di Seri Putra (Isteri Adun turut sama), di Kampung Bahagia, Bangi kami disambut oleh En. Azlan Nordin Ketua Kampung dan Tuan Haji Ahmad Pengerusi Surau Al-Hamidiah. Penduduk sedang melapah 2 ekor lembu yang dikorbankan. Daging terus dibahagi-bahagikan, tanpa diadakan masakan dan jamuan. Selepas bersama-sama penduduk di Kampung Bahagia Bangi, kami berempat ke Surau Bangi Indah (Al-Ibtida`iyah), penduduk bergotong royong melapah sebanyak 5 ekor lembu, manakala muslimat juga bergotong-royong menyediakan minuman dan bahan masakan (untuk sup), kami dijemput minum terlebih dahulu sebelum memohon diri.


Selepas menghantar Isteri Adun ke rumah, kami bertiga pergi ke Kampung Sungai Ramal Dalam. Kami dapati Jalan Utama dari Seksyen 8 BBB melalui hadapan masjid ke Bangunan Latihan Perusahaan sebelum Shell sudah siap diturap dengan baik (Menurut Tok Latib Ketua Kampung) lapan jalan dalam kampung juga sudah diturap. Tempat berkorban di tanah lapang waqaf berhampiran masjid. Kami dimaklumkan oleh Tok Lateb, 10 ekor lembu dikorbankan, pengagihan daging dilakukan dan masakan sup juga dilakukan.



Pada hari Ahad (12 Zulhijjah) kami bertiga melawat lagi lokasi-lokasi korban. Tempat pertama kami ziarah pagi ini ialah di Apartment Nuri, Bukit Mahkota. Setibanya, kami dapati penduduk sedang melapah lembu korban, difahamkan sebelum ini penduduk di sini telah mengadakan korban sebanyak 2 ekor, setelah menyaksikan lapahan di sini, kami memohon diri dan bergerak ke Fasa 7, Bukit Mewah. 3 Ekor lembu dikorbankan. Ramai yang turun bergotong royong, termasuk muslimat untuk memasak. Kami minum dan memohon diri bergerak ke Putra, Kajang, berhampiran Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Setibanya di sana, aktiviti melapah daging lembu telah selesai dan penduduk terutama wanita sedang memasak di bawah bangunan berhampiran surau di sini. Destinasi terakhir acara korban hari ini ialah di Surau Al-Abrar. Dua ekor lembu dikorbankan. Dimaklumkan dari Ustaz Shafie Ngah, YDP Pas Serdang, acara rasmi akan dimulakan sekitar jam 12.30. Oleh kerana ada masa lebih satu jam perlu menunggu, kami pulang ke rumah masing-masing dan diminta datang dengan isteri. Kami pulang dan datang berasingan. Adun datang bersama isteri, saudara Azemi juga bersama isteri. Turut hadir YB. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, ada ucapan-ucapan ringkas dan jamuan.



Lawatan acara korban hari terakhir, ialah hari ini Isnin (13 Zulhijjah). Lawatan hari ini hanya bersama dengan saudara Azizi. Lawatan pertama hari ini ialah ke Balai Polis, Bandar Baru Bangi. Di Balai Polis Bandar Baru Bangi kami menemui Ketua Polis Bandar Baru Bangi, Tuan Rashid dan Tuan Zubir sebagai Bekas Ketua Polis. Kami dimaklumkan pihak Polis BBB mengorbankan sebanyak 8 ekor, Kami dimaklumkan juga seekor terlepas dan belum dapat ditangkap. Ramai tenaga bergotong royong. Jumlah Pegawai Polis di BBB adalah seramai 70 orang. Kami minum bersama Tuan Rashid sebelum memohon diri.


Tempat lawatan terakhir acara korban ialah ke Apartment Green Villa di Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi. Semasa tiba penduduk sedang melapah lembu korban. Adun menerima aduan masalah parking di kawasan perumahan tidak cukup. Persatuan Penduduk telah memohon dari MPKj tanah di hadapan apartment untuk dijadikan tempat parking tambahan. Menurut saudara Hisham Ketua Penduduk di sini, ``Kami kekurangan kewangan untuk membersih dan menjadikan tapak berkenaan kawasan parking.`` Adun cadang diadakan gotong royong yang melibatkan sama MPKj dan Adun sedia memberi peruntukan sewajarnya.
Jam 11.00 pagi kami pulang ke pejabat.


Sekian.

October 29, 2012

Majlis Penyampaian Bantuan Dan Daging Korban

Sungai Tangkas, Bangi, 12 Zulhijjah 1433 = 28 Oktober 2012 (Ahad):

Salah satu dari program menghadiri acara korban sempena Eidul Adhha pada pagi ini ialah hadir ke Majlis Penyampaian Bantuan Dan Daging Qurban bertempat di rumah Prof. Surtahman, Sungai Tangkas, Bangi. Majlis bermula dari jam 9.00 pagi dengan dihadiri oleh Tok Abd. Hadi Husin Ketua Kampung dan Pengerusi JKK, AJK, saudara Zainal Alam bin Yaakob dan jemputan-jemputan yang kesemuanya berjumlah lebih dari 50 orang. Majlis bermula dengan bacaan Yasin dan Doa Selamat. Adun Bangi tiba jam 10.30 selepas menghadiri beberapa program korban di tempat lain.


Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Zainal Alam bin Yaakob menerangkan tujuan majlis diadakan. Tujuan utama ialah Majlis Sambutan Eidul Adhha dalam mana pembahagian daging korban disampaikan kepada peserta-peserta jemptan khas berjumlah seramai 40 orang, termasuk warga emas dan pelajar Sekolah. Peruntukan hari ini adalah dari Tuan Rumah Profesor Surtahman, sumbangan penduduk dan juga dari Pejabat Adun. Saudara Zainal Alam juga menerangkan perkembangan mutakhir beberapa projek yang diadakan di Sungai Tangkas. Antara projek utama iaitu pada 18 November nanti YAB. Tan Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor dijangka akan turun ke Sungai Tangkas bagi upacara Pecah Tanah bagi Sekolah Agama Sungai Tangkas yang baru diluluskan yang kos perbelanjaannya ialah sebanyak RM5 juta. Beliau meminta semua penduduk kampung pada hari itu akan turun menyertai upacara Pecah Tanah berkenaan.

Adun Bangi yang diminta berucap merasmikan majlis mengucap terima kasih di atas jemputan terhadap Adun dan mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Adhha. Beliau juga mengucapkan terima kasih terhadap Tuan Rumah Prof. Surtahman dan Isterinya Puan Romalia yang mengadakan majlis khusus pada pagi ini di rumah mereka.


Adun Bangi menyebut, bahawa Sungai Tangkas mengalami perubahan besar dengan pembangunan yang banyak seperti lahirnya taman-taman perumahan, pusat-pusat pengajian tinggi dan pendidikan swasta. Lantaran itu Sungai Tangkas memerlukan banyak kemudahan bagi kepentingan penduduk. Antaranya keperluan kepada Sekolah agama yang baru disebut oleh pengerusi. Al-Hamdulillah telah dilulus dan peruntukan juga telah ada. Keperluan yang dikira mendesak dari kerana pertambahan penduduk ialah sebuah Masjid. Setakat ini dua buah surau di sini dibenarkan mendirikan solat Jumaat, iaitu Surau Al-Hidayah dan Surau di German Malaysian Institute. Pihak Sekolah Al-Amin juga bercadang memohon mendirikan solat Jumaat di Sekolah berkenaan.


Adun juga menyebutkan bahawa dalam keadaan penduduk terpaksa menghantar anak-anak mereka bersekolah di Bandar Baru Bangi, Jalan Reko dan Kajang Utama, sedang sekolah-sekolah berkenaan juga tidak lagi dapat menampung pertambahan pelajar-pelajar, maka adalah difikirkan Sekolah rendah dan menengah juga perlu didirikan di Sungai Tangkas. Kita sedang memikirkan tapak-tapak yang sesuai bagi institusi-institusi berkenaan, kalau perlu mengambil alih bekas estate dan ladang yang ada bagi kepentingan awam. Kita juga bersyukur jalan-jalan di kampung Sungai Tangkas dinaiktaraf dan diperbaiki, saliran sungai, Sungai Tangkas juga dibaiki sehingga bila hujan lebat dan tempat lain banjir, maka tempat biasa banjir di Sungai Tangkas tidak lagi banjir. Cuma kita dukacita ada perumahan terbengkalai dan Cybertel yang terabai, usaha memulihkan projek rumah pangsa terbengkalai sedang dilakukan dan Cybertel sedang diusahakan.


Adun juga mengingatkan bahawa di tengah kepesatan pembangunan, kita jangan cuai memberi pendidikan bagi anak-anak generasi kita mendatang, kerana mereka akan lebih sengit menerima cabaran bagi kehidupan masa depan, bila tanah makin berkurangan dan rumah makin meningkat harga sehingga di luar kemampuan. Yang menjamin mereka pada masa hadapan ialah pendidikan. Semua jenis pendidikan ada di sekeliling kita. Kesedaran dan usaha perlu ada dari kita ibu bapa dan anak-anak kita semua. Kita mahu tempat kita selesa dihuni oleh kita dan juga generasi anak-anak kita. Sama-samalah kita usaha.


Sebelum para hadiri dijemput ke jamuan, Adun dan Ketua Kampung menyampaikan sumbangan kepada warga emas dan pelajar-pelajar yang dijemput khas. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan menjayakan Majlis Sumbangan dan Pengagihan Daging Korban.

Sekian.

October 28, 2012

Bajet 2013 Persekutuan Tiada Peruntukan Sekolah Agama Rakyat, Kerajaan Selangor Beri Perhatian

Shah Alam, 07 Zulhijah 1433 = 23 Oktober 2012 (Selasa):

Dalam Bajet 2013 Kerajaan Persekutuan (28 Sept.) tiada peruntukan bagi Sekolah Agama Rakyat, tetapi Kerajaan Negeri Selangor memberi perhatian kepada Sekolah Agama Rakyat, iaitu memperuntukkan sebanyak RM6 juta setiap tahun kepada sekolah berkenaan sejak empat tahun lepas. Kerajaan Persekutuan mendiskriminasi Sekolah Agama Rakyat, sedang peruntukan diberi kepada Sekolah Cina, Tamil dan Mubaligh.

Peruntukan Kerajaan Persekutuan:

SJK(C) - RM 100 juta
SJK(T)- RM 100 juta
SBK - RM 100 juta
MARA - RM 100 juta
Kristian - RM 100 juta
Dalam peruntukan Perlembagaan Perkara (12) disebutkan , Perkara yang mengenai pendidikan tidak boleh didiskriminasikan.

Oleh kerana timbul rasa tidak puashati terhadap sifat diskriminasi sedemikian, maka pertengahan Oktober lepas sejumlah 2.000 guru dan pelajar Sekolah Agama Rakyat seluruh Negara berhimpun di pintu pagar Parlimen bagi membantah sikap diskriminasi Kerajaan Persekutuan terhadap Sekolah Agama Rakyat yang jumlah yang menjadi mangsa melebihi dari 800,000 pelajar. Bila perhimpunan dan tuntutan dibuat terhadap kerajaan Persekutuan, maka jawapan remeh dan bersifat `Melepaskan batuk di tangga`, ``Sekolah Rakyat ini tidak mendaftar dengan pihak kerajaan.``

Kerajaan negeri Selangor sejak awal menyedari kedaifan Sekolah-sekolah Rakyat dan memperuntukkan bantuan tahunan sebanyak RM6 juta kepada Sekolah Agama Islam rakyat, RM6 juta kepada Sekolah Cina dan RM 4 juta kepada Sekolah Tamil. Sejumlah hampir sejuta anak-anak beragama Islam berpeluang mendapat pelajaran agama di Sekolah-sekolah di bawah kerajaan negeri yang ditadbir oleh Jais, mereka belajar di berbagai nama sekolah agama yang berjumlah lebih dari 800 buah. Namun jumlah sekolah ini tidak dapat menampung anak-anak yang ingin belajar Agama. Bagi memenuhi keperluan ini lahirlah sekolahsekolah agama rakyat bagi menampung dan mengisi keperluan pengajian agama bagi anak-anak.

Sekolah agama rakyat dimaksudkan, ialah Sekolah agama yang tidak dikendalikan oleh kerajaan dan tidak mendapat bantuan kerajaan sepenuh atau sebahagian. Antara Sekolah agama yang dikategori Sekolah rakyat dan layak menerima bantuan ialah:

1)Sekolah Pondok - Ada beberapa buah pondok (Memohon)
2)Kafa (Fardu Ain)- Ada 100 buah – (memohon)
3)Tahfiz - Ada 70 buah (Memohon)
4)Sekolah Rendah Agama - 14 buah (Memohon)
5)Sekolah Agama Rakyat – 60 yang memohon.

Perlu diingat banyak lagi Sekolah agama rakyat dikategorikan di atas, tetapi tidak memohon atau sengaja tidak memohon atau mungkin tidak tahu. Permohonan di atas ialah bagi penggal kedua bagi separuh peruntukan – RM3 juta (Julai – Disember). Bagi penggal pertama telah diselesaikan.

Bagi Sekolah-sekolah rakyat di negeri Selangor yang mau memohon bantuan tahunan dari Kerajaan negeri Selangor hendaklah mengisi borang khas yang standard yang boleh didapati dari Bahagian Sumber Manusia, Tingkat 3, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Bantuan dikeluarkan dua kali setahun, iaitu bagi dari Januari hingga Jun dan dari Julai hingga Disember. Keperluan utama yang diberi pertimbangan ialah bagi memperbaiki bangunan, infra-struktur dan keperluan-keperluan Sekolah. Pertimbangan dibuat oleh AJK yang di Pengerusikan oleh YB. Dr. Halimah Ali selaku Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan yang ahli-ahli ialah Adun-Adun Kawasan dan Penyelaras kawasan. Mesyuarat adalah bagi bahagian pertama yang melibatkan jumlah RM3 juta untuk diagih-agihkan kepada permohonan yang layak, releven dan kukuh dari segi hujah-hujah. Bagi yang kuat hujah dan wajar kelulusan tertinggi untuk satu permohonan ialah RM100,000 dan paling rendah ialah RM5,000. Mesyuarat adalah sebagaimana berjalan pada hari ini dari pagi hingga ke petang yang dipengerusikan oleh YB Dr. Halimah.

Untuk kali kedua permohonan juga bersifat terbuka, tetapi keutamaan ialah bagi Sekolah-sekolah yang belum pernah diberi peruntukan. Bagi yang memohon kedua kali dalam setahun, permohonan diambil kira dengan jumlah yang telah diluluskan pada bahagian pertama. Dalam kata lain jumlahnya jika diluluskan mungkin berkurangan. Walau bagaimana tujuan utama adalah untuk membantu meringankan sekolah-sekolah agama rakyat. Dengan skim bantuan yang disediakan, diharap dapat meringankan beban yang dihadapi pentadbir-pentadbir Sekolah Agama rakyat bagi semua kategori.

Sekian.

October 27, 2012

Konsep Korban Dalam Islam - Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din

Bandar Baru Bangi, 10 Zulhijjah 1433 = 26 Oktober 2012 (Jumaat):


Menyampaikan Khutbah Eidul Adhha pada pagi ini di Surau An-Nur Bandar Baru Bangi ialah TG Dato` Dr. Haron Din. TG melakarkan konsep Korban dalam Islam. Beliau menjelaskan bahawa kejadian Allah adalah sempurna, berimbang dan tiada cacat cela. Beliau merujuk kepada firman Allah bermaksud:

Dialah Yang Mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis. Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak berseimbangan dan tidak munasabah (Jika engkau ragu-ragu), maka ulangilah pandangan (mu), dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?

Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandangan (mu) itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia). (Al-Mulk: 3 – 4).

Tegas TG Dato` Dr. Haron Din, Antara yang paling sempurna ialah Agama Islam yang ditegaskan oleh Allah di dalam Al-Qur`an:

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu (Al-Ma`idah : 3)". Dengan keislaman berhubung rapat dengan kesempurnaan sebagaimana firman Allah bermaksud:

(Islam) Agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam Al-Qur`an ini supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) - (Al-Hajj: 78).

Dengan kebenaran ini menyerah diri kepada Allah segala kejadian Allah sebagai Islam.
TG Dato` Dr. Haron Din berpendapat, fenomena Haji juga adalah dalam rangka kepatuhan kepada Allah yang semua kejadian dari sekecil-kecil patuh dan menurut Syariat dan peraturan Allah. Beliau memetik firman Allah yang bermaksud:

"Apakah lain dari Agama Allah yang mereka cari ? Pada hal kepadanyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarila atau dengan terpaksa dan kepadanyalah mereka dikembalikan (Ali Imran: 83)."
Sudahkah kita secara jujur menerima Islam dan menjadikan cara hidup kita bagi diri, keluarga, masyarakat dan Negara ?
Benarkah kita berpegang dengan Islam ? Bila kita tidak laksana, siapakah yang patut dipersalahkan dan menuding jari, apabila Islam dihina. Beliau memetik maksud Hadis:
"Akan tiba masa setengah dari umara` yang berkata, tetapi tidak dikota. Siapa yang berjihad dengan kekuasaan dia adalah mu`min, siapa yang berjihad dengan lisan dia adalah mu`min dan siapa yang berjihad dengan hati, maka dia juga mu`min. Dan tiada selepas itu sekecil biji sawi sebagai mukmin"

TG Khatib Dato`Dr. Haron seterusnya mengatakan, ``Kita sedang menyambut Eidul Adhha, kita dituntut berkorban dan menyembelih korban adalah sebahagian dari syiar-syiar Islam. Firman Allah bermaksud:

"Demikianlah (ajaran Allah), dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka dialah orang yang bertaqwa, kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin (Al-Hajj: 32)."
Dan tuntutan berkorban bukan setahun sekali, tetapi berterusan hingga ke hari kiamat. Firman Allah bermaksud:
"Hendaklah kamu berjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad` (Al-Hajj: 78). Khatib TG menceritakan tentang semangat jihad para sahabat, ada seorang yang cacat kaki dan terpaksa berdiri memegang bahu sahabat, sama mahu turut berjihad di medan perang, tapi kerana kecacatannya Rasulullah tidak menerimanya menyebabkan beliau menangis, tapi Rasulullah menggembirakannya, bahawa dengan azamnya yang sungguh-sungguh dan ikhlas melayakkannya ke syurga. Demikian ada yang datang kepada Rasulullah untuk mendapatkan peralatan perang tapi tidak ada menyebabkan mengalir air mata yang hasrat mau berjihad kerana tidak dapat bersama. Demikianlah tingginya semangat para sahabat berjihad. Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:

Tidak meninggalkan kaum dari jihad, dan kiranya ditinggalkan maka akan mengalami kehinaan dan siapa mengabaikan dari jihad, maka tidak ada kemuliaan baginya.

Firman Allah bermaksud:
"Adakah patut kamu menyangka, bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum sampai kepada kamu (ujian dan dugaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?" ( Al-Baqarah: 214).
Sesungguhnya jihad mencerminkan sifat mukmin dan jahat pula mencerminkan sifat munafik. Kata Khatib di dalam Al-Qur`an ada Surah Al-Mu`minun dan lawannya Surah Al-Munafiqun. Antara sifat mu`min yang tersebut di dalam Surah Al-Mu`minun ialah: Takut kepada Allah, yakin pada hukum Allah, pekerti baik, suka berkorban, gementar takut pada kemerkaan Allah, berlumba-lumba bagi mendapat keredaan Allah dan bersiap sedia kembali menghadapi Allah. Manakala ciri-ciri munafiq pula ialah: Pembohong & Pendusta, helah beriman, tetapi hakikat dalaman tidak, halang dari laksana kebajikan dan hati tertutup dan sukar kembali kepada Allah.

Dalam khutbah kedua Khatib menerangkan keperluan menjaga aturan-aturan bagi yang berkorban. Misalnya tidak menjual daging, bahkan kulit binatang qurban. Khatib menimbulkan isu, bolehkah berqurban untuk orang yang telah mati. Kata TG Khatib ada dua jawapan iaitu – Tak Harus dan Harus.

Tak Harus berdasarkan kepada Firman Allah yang bermaksud:
"Tidaklah ada bagi manusia, melainkan apa yang diusahakan (Al-Najm: 39)"
Manakala yang harus berdasarkan Hadis Aishah dan Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. mahu berqurban dengan dua ekor kibasy yang gemuk, cantik dan putih. Rasulullah bersabda, seekor untuk diri dan keluarga dan seekor lagi untuk umatnya. Ini menandakan boleh dikorban untuk yang mati. TG memilih `Harus`

Sebelum dari itu Imam yang memimpin Solat Eidul Adhha ialah Ustaz Omar Ruslan.

Sekian.

October 26, 2012

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd

Selamat menyambut Hari Eidul Adhha 1433/2012
Kita mendoakan kepada Allah semoga amalan
Haji Yang dilakukan oleh para Muslimin dan Muslimat
Di tanah Suci kini diterima Allah sebagai Haji yang Mabrur.
Insya Allah.

Bangi,
10 Zulhijjah 1433
26 Oktober 2012.

October 25, 2012

Jom Shopping Dan Mesra Keluarga Rukun Tetangga

Kajang, 04 Zulhijah 1433 = 20 Oktober 2012 (Sabtu):

Kedua program di atas hampir serentak bermula dari jam 10.00 pagi, Adun mengatur program dengan pergi merasmikan Jom Shopping terlebih dahulu dan berkejar ke Taman Permai, Jalan Reko, Kajang.

Jom Shopping di bawah Dun Bangi bertempat di Econsave Jalan Reko di sini adalah merupakan kali ke 12. Jumlah warga emas yang dijemput pada setiap kali diadakan Jom Shopping ialah 100 orang dan kali ini respond dari warga emas adalah lebih baik, hampir 90 orang hadir. Pihak Pejabat Adun setakat ini telah mendaftar dan jumlah warga emas di Dun Bangi adalah 3,200 orang, Setakat ini warga emas yang menerima tawaran Jom Shopping adalah berjumlah hampir 1.000 orang, Ini bererti 2/3 daripada warga emas belum dipanggil.



Warga emas dikehendaki datang mendaftar terus di ruang depan pintu Pasar Econsave. Mereka datang sejak dari jam 8.30 pagi. Pendaftaran dikendalikan oleh Sdr. Nabilah, Aishah dan pembantu-pembantu yang lain, manakala sdr. Shahrum menyediakan tempat. Majlis perasmian bermula dari jam 10.00 pagi. Dalam ucapan perasmiannya Adun Bangi mengucapkan terima kasih di atas kehadiran warga emas dan mengharapkan mereka bergembira dapat bersama teman-teman seusia sama berjom Shopping. Adun menyatakan bahawa kerajaan negeri Selangor berusaha memberi kemudahan kepada rakyat melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Air Percuma, bantuan anak masuk universiti, Bantuan Kebajikan dan pinjaman perniagaan seperti Mimbar dan Skimsel dan sebagainya.

Selepas perasmian Adun mengiringi warga emas masuk ke dalam Pasaraya Econsave dan membeli sejumlah RM100.00 nilai. Oleh kerana warga emas memerlukan masa untuk membeli barang-barang yang didapati, maka Adun mengambil peluang ke Jalan Reko bagi menyertai MajlisMesra Keluarga Rukun Tetangga. 

Menyambut Adun tiba ialah Encik Kandasamy Pengerusi Rukun Tetangga Jalan Reko, Puan Nursilawati Pegawai Perpaduan Nasional pada peringkat Hulu Langat dan AJK Rukun Tetangga Jalan Reko.Puan Nursila sebagai Pegawai Perpaduan mengucapkan terima kasih kepada pihak Rukun Tetangga Jalan Reko menjemput beliau. Beliau berpendapat Majlis mesra pada hari ini adalah satu cara bagi mengeratkan perpaduan. Adun yang merasmikan Mesra Keluarga Rukun Tetangga juga berterima kasih di atas jemputan. Majlis Mesra Rukun Tetangga seperti ini dapat menguatkan silaturrahim di dalam komuniti Rukun Tetangga. Sesungguhnya fungsi Rukun Tetangga ialah untuk mengawal keselamatan kawasan dan mendapat kerjasama penduduk setempat sebagai mata telinga bersama menjaga keselamatan dan mengawasi elemen-elemen yang tidak baik dari masuk dan mempengaruhi masyarakat. Kata Adun, saya bergembira melihat AJK Rukun Tetangga dan penduduk setempat bergotong royong mendirikan dua buah pondok pengawal keselamatan. Adun berjanji sedia membantu sebahagian dari kos mendirikan pondok pengawal keselamatan tersebut. Menurut Adun,
"Saya difahamkan, bahawa jamuan pada hari ini adalah disediakan secara goyong royong. Syabas diucapkan kepada penduduk." Berhubung dengan beberapa permintaan penduduk sebagaimana disebut oleh En. Kandasamy akan dipertimbangkan.


Selepas daripada itu Adun diiringi En. Kandasamy melihat dua pondok Rukun Tetangga yang didirikan. Kemudian para hadirin dijemput ke jamuan makan di bawah khemah yang disediakan. Berikutnya Adun memohon diri dan berkejar ke Econsave sekali lagi bagi meraikan warga-warga emas yang berjomshopping. Sebahagian daripada mereka telah pulang selepas membeli belah barang-barang. Sebahagian masih memilih barang-barang. Adun berkesempatan menyampaikan ucapan tahniah kepada mereka yang keluar setelah membeli barang-barang.

Majlis berakhir jam 12.30 tengahari.

Sekian.

October 24, 2012

Penangan Ikan Patin: Masakan Ikan Patin Isteri Lebih Sedap Dari Masakan Ikan Patin Yang Lain - Anekdot

Shafie Abu Bakar – Rabu 08 Zulkaedah 1433 = 24 Oktober 2012.

Tiba di Temerloh dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang pada tengahari Rabu 17 Oktober 2012 kerana menghadiri Program Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Negeri Pahang Darul Makmur terlintas di minda Penulis tentang kemasyhuran Temerluh dengan produk `Ikan Patin`, spontan itu juga Penulis teringat kepada Ustaz Haji Ismail Pengerusi Surau Al-Kauthar Bandar Baru Bangi yang suka mengadakan jamuan nasi berlauk Ikan Patin bila ada satu-satu majlis yang penting di surau itu. Penulis sendiri sebagai Adun di Bangi sering dijemput ke majlis-majlis berkenaan dan berpeluang makan lauk Ikan Patin yang lemak dan enak itu yang diorder dari kenalan Tuan Haji Ismail di Temerluh. Keenakan lauk Ikan Patin ini melekat dalam ingatan dan sentiasa mengidam untuk memakannya. Ikan dari Sungai Pahang ini pada peringkat awal dulu begitu mahal. Ada diceritakan ada yang singgah di Pekan Temerluh dan makan nasi lauk Ikan Patin, bila hendak dibayar sesudah makan, yang makan lauk Ikan Patin terkejut, kerana begitu mahal dan tidak kecukupan duit. Ada yang menggadai jam dan juga barang kemas. Lantas selepas itu untuk mengelak kejadian sedemikian diminta pihak penjual di restoran meletakkan tanda harga pada lauk Ikan Patin.


Oleh kerana sudah berada di Temerluh dan ingatan spontan terhadap keenakan Ikan Patin, Penulis yang ditemani saudara Azizi, berkata kepada saudara Azizi, ``Kita singgah makan ikan Patin di Temerluh !`` kata Penulis. ``Boleh`` jawab saudara Azizi. Penulis menjangka akan singgah hanya di Hentian R & R di Jalan Highway Baru dari Temerluh ke Kuantan dan sekadar makan `seketul kecil` dari lauk Ikan Patin, tetapi saudara Azizi melencong perjalanan masuk ke Bandar Temerluh yang sudah lama kami tidak masuik dan begitu berubah. Kami meneruskna perjalanan menurut jalan lama sambil mencari warung makan yang dijangka ada menyediakan lauk Ikan Patin.


Dalam tercari-cari itu, kami tidak menemui warung yang dijangka menyediakan lauk `Ikan Patin` sehinggalah kami menyeberangi Jambatan Lama Temerluh. Di sebelah kiri kami ternampak kedai singgahan bas express dan lain-lain sebelum adanya jalan baru. Dengan jangkaan kedai makan di sini menyediakan nasi berlauk Ikan Patin, kami pun singgah. Tapi dukacita, kedai yang kami singgah bukan lagi sebagai kedai makan diperjalanan, tetapi bertukar menjadi Kedai Mamak yang menawarkan nasi berlauk kari dan pekerja-pekerjanya kebanyakannya warga Bangladish. Kami tanya juga kalau ada gulai atau sop kambing – kegemaran saudara Azizi, tetapi tiada dan kami membuat keputusan tidak mau makan di kedai itu.

Kami bergerak melalui jalan lama dan lebih kurang dua kilometer dari jambatan kelihatan beberapa warung di sebelah kiri yang ramai dengan orang yang sedang makan tengahari dan kami singgah dan mendapati warung di sini mempunyai lauk Ikan Patin. Kami makan dengan hanya beberapa lauk, termasuk sayur dan pucuk ulam Ceylon dan mentimum bersama sambal belacan. Kami hanya memilih sekerat Ikan Patin sebelah ekor yang sederhana besarnya. Kami tidak ambil lebih dari sekerat, takut terperangkap dengan harga yang mahal. Namun sesudah makan, kami dapati tidaklah mahal sangat. Cuma seharga RM29.00 makan dua orang dan kami rasa puas.


Selepas makan Ikan Patin di Temerluh ini kami teruskan perjalanan melalui jalan lama sehinggalah ke Maran baru kami keluar ke jalan Highway hinggalah kami tiba di Kuantan mencari Hotel persinggahan yang sedia ditempah oleh PADAT (Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor).

Pada keesokan harinya (Khamis), kami berdepan dengan Ikan Patin lagi, iaitu ketika menghadiri Karnival Makanan di Sungai Lembing. Sebagaimana telah disebutkan dalam karnival ini Tengku Puan Pahang (Tengku Azizah) mendemonstrasikan antaranya memasak Ikan Patin. Penulis sendiri sama menyaksikan demonstrasi Masakan Ikan Patin. Sebenarnya ramai pemasak memasak Ikan Patin dalam Karnival Masakan berkenaan secara berkuah dan ada yang bakar (Ikan Patin Bakar Tempoyak) di samping masakan ikan tilapia.


Namun apabila tiba waktu makan tengahari jam 12.30 tengahari tidak ada hidangan masak Ikan Patin yang menjadi identiti negeri Pahang. Hidangan yang disediakan bagi tetamu lauk biasa. Ini mengurangkan selira kami dan merugikan negeri Pahang dari segi promosi. Jika kami di Kajang, dalam majlis-majlis ditonjolkan Sate Kajang sebagai identiti kami. Walau macam mana semasa makan, kami harapkan juga dihantar Ikan Patin yang dimasak dalam pertandingan. Untuk mengharapkan Ikan Patin yang dimasak oleh Tengku Puan Pahang, memang tidak layak dengan kedudukan kami untuk menikmatinya walaupun meja kami berdekatan dengan meja Tengku Puan Pahang dan lauk Ikan Patin yang dimasak oleh Tengku Puan Pahang dibawa ke mejanya. Pendeknya kami tidak menikmati makan Ikan Patin, baik di Sungai Lembing, di Kuantan maupun di Pekan. Dimaklumkan Pekan juga ada ternakan Ikan Patin, tapi khabarnya tidak sebaik dan seenak Ikan Patin Temerloh.

Walau macam mana pada tengahari Jumaat, selepas menghadiri Seminar Museum In A Changing World di Pekan, kami terus bertolak pulang ke Bangi (solat Jumaat di Masjid Tepi Jalan Dekat Gambang) juga melalui jalan lama hinggalah tiba di Temerluh dan singgah di gerai yang kami singgah dulu. Sesungguhnya selepas makan pagi di Hotel Zenith yang kami menginap di Kuantan, kami tak makan apa-apa hinggalah sampai di Temerloh jam 3.00 petang. Bayangkan kami agak lapar pada masa itu. Di warung di sini sekali lagi kami makan tengahari secara lewat dengan mengambil seekor penuh gulai Ikan Patin (kerana kami dapat jangka harganya), ikan kembung bakar cicah asam, serai kayu cicah sambal belacan. Kami makan sungguh sedap dan kenyang hingga semua habis apa yang kami ambil.


Kalau masa singgah makan semasa menghala ke Kuantan, kami tidak bercakap banyak dengan tuan kedai, maka kali ini kami agak releks dan bercakap-cakap dengan anak perempuan penjual kedai dan ibunya. Dari mereka kami dapat tahu, tempat yang kami singgah adalah Paya Besar dan adalah kawasan Dun yang dimenangi Pas sejak zaman Ustaz Idris (1999-2004) dan kini diwakili Syed Hamid yang juga Wakil Rakyat Pas. Saudara Azizi memaklumkan kepada Tuan Kedai bahawa Penulis adalah Adun Bangi dari Pas.- Kami rasa lebih rapat kerana sealiran ! Kami juga dimaklumi bahawa Ikan Patin yang dimasak adalah Patin Sungai yang dipelihara di Sungai Pahang (Temerluh) dan boleh dibeli dan ada dijual secara hidup di dalam kolah di hadapan warung yang kami makan. Berbetulan pada petang ini dihadapan warung ada Pasar Tani.

Barangkali oleh kerana kami sealiran dan juga waktu sudah petang (lauk hujungan) harga makan tengahari kami lebih murah dari dahulu, iaitu sebanyak RM19.00 – lebih murah RM10.00 dari yang kami makan sebelumnya. Kami ke kolah tempat menjual Ikan Patin hidup. Kami dimaklumi harga sekilo Ikan Patin hanya RM10.00, begitu murah dan luar jangkaan. Penulis minta timbang dua ekor dan harganya hanya Rm22.00. Ikan ini dibersih perutnya dan setiap ekor dibalut dengan akhbar dan diletak dalam kereta dalam suhu sejuk aircond. untuk mengelak dari rosak.


Berikutnya kami bertolak pulang keluar dari Jalan Lama Temerluh ke Jalan Highway. Perjalanan kami baik pergi dan balik tidak bermasalah. Pada ketika menurun dari Bukit Tinggi Banjaran Titiwangsa Radio Ikim yang kami buka, menyiarkan maklumat tentang kegiatan masjid-surau seluruh Negara. Secara kebetulan kami mendengar pengumuman Surau Al-Kauthar Bandar Baru Bangi, Ustaz Haji Ismail Pengerusi memaklumkan kegiatan yang akan dilakukan di Surau Al-Kauthar dan memaklumkan juga `Jamuan Lauk Ikan Patin` disediakan. Penulis dan saudara Azizi yang memang kenal dan rapat dengan Ustaz Haji Ismail ketawa kecil berhubung dengan pengumuman itu. Surau Al-Kauthar memang terkenal dengan hidangan Lauk Ikan Patin istimewa. Penulis berkata kepada saudara Azizi,
``Biasanya jika ada kegiatan penting di Surau Al-Kauthar dan ada jamuan berlauk Ikan Patin saya dijemput !``
``Sekali lagilah dapat makan Ikan Patin,`` kata saudara Azizi.
``Belum tentu,`` kata penulis.

Sehari dua berikutnya Penulis tidak menerima apa-apa jemputan dari Surau Al-Kauthar. Tapi Penulis tidak kisah dan tidak kesal, kerana kali ini Penulis sendiri mempunyai Ikan Patin (seekor untuk saudara Azizi).

Semalam isteri Penulis memasak lauk Ikan Patin gulai tempayak ! Aromanya memikat dan rasanya amat sedap. Lebih lazat dari masakan Ikan Patin yang Penulis pernah makan ! Resipinya istimewanya, selain dari menggunakan daun kunyit, daun kesum dan bahan-bahan biasa yang lain, isteri Penulis memasukkan dalam masakan belimbing buluh menggantikan asam gelugur tanaman kami di tepi rumah ! Rasanya amat enak, mengatasi masakan Ikan Patin yang lain.

Sekian.


October 23, 2012

Melawat Pesakit Di Rumah Pangsa Dengan Dr. Perubatan

BBB, 05 Zulhijah 1433 = 21 Oktober 2012 (Ahad):

Pagi ini pihak Lajnah Kebajikan mengatur kunjungan ke rumah-rumah pangsa di Seksyen 16. Kunjungan dibahagikan kepada beberapa pasukan dan Adun memimpin satu pasukan. Bersama pasukan Adun seorang Dr. Perubatan, iaitu Dr. Kamizi bin Aziz dengan pembantunya, iaitu pelajar perubatan dari IPTA. Dr. Kamizi berkhidmat dengan bahagian perubatan, Sukan Negara. Beliau dan pelajar berkenaan dengan sukarela menyertai pasukan kebajikan kami bagi melawat pesakit-pesakit di sini. Turut sama dengan rombongan Adun ialah Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan Adun, saudara Harun Al-Rashid Setiausaha Surau Al-Istiqamah di sini, dua muslimat yang juga pelajar dan beberapa yang lain.

Untuk pagi ini kami diperuntukkan 3 pesakit dari tiga Blok rumah pangsa, iaitu Blok 4 dan 8. Kami turun naik rumah pangsa lima tingkat dari sebuah blok ke sebuah blok yang lain dan ada satu Blok (4) yang diziarahi dua orang. Dr. yang mengikuti kami dan pengiringnya membawa peralatan untuk pemeriksaan. Rumah pertama yang kami lawati dari Blok 4 ialah Puan Rusnah bt. Mat Isa (30) yang tinggal bersama suaminya En. Hamdan bin Mat Ali (33) dan seorang anaknya (5). Puan Rusnah mengalami sakit Rapuh Tulang. Peha kiri dan kanannya patah dan sekarang betisnya pula patah. Kerana sakit ini Puan Rusnah tidak dapat bergerak. Menurut Dr. Kamizi, ianya merupakan penyakit turunan, selain dari kurang kalsium. Dr. Kamizi turut memeriksa Puan Rusnah dan menasihatinya mengambil ubat. Menurut Puan Rusnah, memang beliau makan berjenis-jenis ubat setiap hari.

Masalah tambahan yang dihadapi keluarga ini bahawa suami Puan Rusnah mengalami hypertesis C dan beliau juga tidak dapat bekerja. Bila ditanya berhubung dengan makan minum dan rumah. Beliau menyatakan rumah sudah habis dibayar. Mereka sekeluarga hidup dari tanah pesaka yang disewakan yang mencukupi perbelanjaan bulanan mereka. Anak En. Hamdan dan Puan Rusnah Mohd. Imam Rashdan (12) bersekolah darjah 6 di BBB. Kami menyampaikan simpati dengan menghulurkan sedikit bantuan kepada keluarga ini.

Pesakit kedua ialah Puan Noraini bt. Nordin (55) yang tinggal bersama suaminya En. Jailani bt. Miskam (58) yang bekerja di UKM. Puan Noraini mengalami sakit buah pinggang sejak 16 tahun yang lepas dan menjalani rawatan dailisis sebanyak 3 kali seminggu di Pusat Dailisis UKM. Pasangan suami isteri ini mempunyai 5 orang anak dan dua daripadanya sudah bekerja. Apabila ditanya, tidakkah mereka memohon sebarang bantuan, misalnya zakat. En. Jailani menyatakan mereka tidak perlu memohon setakat ini. Rumah yang didiami sudah habis dibayar. Puan Noraini juga turut diperiksa oleh Dr. Kamizi. Kami juga menyampaikan simpati dan cenderahati kepada keluarga ini.

Pesakit ketiga ialah Encik Mohd Adam bin Yahya (39) yang tinggal bersama ibunya Puan Zaiton bt. Mohd Amin dan dua anaknya yang lain. Suami Puan Zaiton (En. Yahya bin Borhan) telah meninggal, bekas pekerja UKM sebagai Pengawal. Yang sakit ialah Mohd Adam yang mengalami stroke pada tahun 2008. En. Mohd Adam pernah berkeluarga, tetapi berpisah dan tidak mempunyai anak. En. Mohd Adam mengalami penyakit darah tinggi sejak berumur 22 tahun. Kolerterolnya tinggi dan perlu memakan ubat sebanyak 9 jenis ubat sehari.

Ibu kepada Mohd Adam iaitu Puan Zaiton bin Mohd Amin seorang yang periang. Kami ketawa memanjang akibat kelakar dan percakapan lucu puan Zaiton.Terima kasih kepada semua, khususnya Dr. Kamizi dan pembantu-pembantu yang memberi sokongan di atas projek kami.

Lawatan terakhir kami yang diluar dari jadual yang diaturkan ialah melawat rumah Puan Nabilah bt. Ahmad Pegawai di Pejabat Adun Bangi. Suaminya yang mengajar di Sekolah Menengah Kota Damansara berulang dengan motor setiap hari. Pada 15 Oktober lepas suaminya En. Hasyim mengalami kemalangan terjatuh motor dalam perjalanan pulang ke Bangi. Beliau mengalami luka-luka yang agak banyak dan diberi cuti oleh pihak kesihatan sehingga Raya Haji nanti. Kami menziarah suami Puan Nabilah yang tinggal di Apartment Tanjung 5.4.1. Semasa kehadiran kami En. Hasyim masih sukar berjalan. Kami mendoakan En. Hasyim segera sembuh dan dapat kembali berkhidmat seperti biasa.

Sekian.

October 22, 2012

Puteri Raja Berjiwa Rakyat - Mendemonstrasikan Masakan & Merasmikan Sidang - Memberi Impak Yang Baik Bagi Sambutan Di Pahang


Pekan Sungai Lembing, Pahang, 02 Zulkaedah 1433 = 18 Oktober 2012 (Khamis):


Hari kedua pemergian Penulis (Khamis 18 Oktober) menghadiri Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Pekan, Pahang Darul Makmur (16-22 Oktober 2012) ialah menghadiri Karnival Makanan yang diadakan di Kompleks Muzium & Padang Awam, Pekan Sungai Lembing, Pahang.


Dari awal hasrat ke Pahang ini, Penulis memang ingin ke Sungai Lembing, bukan semata kerana Karnival Makanan. Yang Penulis mau ke Sungai Lembing bagi menyaksi dan menelusuri kembali kenangan Penulis yang pernah datang ke Sungai Lembing pada pertengahan tahun 1950an. Pada masa itu Penulis yang masih Sekolah rendah dibawa ibu saudara (Puan Halimah bt. Abdullah) yang berkahwin dengan orang Pahang (En. Abdul Hamid) yang bekerja di lombong di Sungai Lembing tersebut dan tinggal di kuater pekerja di Pekan Sungai Lembing. Penulis berada di Pekan Sungai Lembing ini semasa tutup Sekolah. Penulis mahu ke Sungai Lembing bagi melihat sejauh mana berlaku perubahan yang pada masa Penulis hadir dulu, Pekan Sungai Lembing begitu maju, sebok dan ramai dengan pekerja. Selepas itu penulis tidak pernah ke sana, bukan kerana jauh, kerana ia diperjalanan ke KL melalui Kuantan, tetapi kerana kedudukannya yang jauh ke hulu dan kini tidak maju.


Penulis bersama saudara Azizi bertolak jam 8.00 pagi dengan kenderaan sendiri dari Hotel Zenith mengikuti kereta yang disewa PADAT di sini dengan 6 ahli PADAT (yang lain ke Pekan menjaga Pameran). Tiba di Pekan Sungai Lembing kami ke Padang Pameran Makanan di bawah khemah berhadapan dengan tempat duduk VIP. Tiba di sini baru Penulis tahu bahawa Karnival Makanan pada pagi ini dirasmikan oleh Tengku Puan Pahang – Tengku Azizah Maimunah bt. Al-Marhum Sultan Iskandar, Isteri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah bin Sultan Ahmad Shah. Kehadiran Tengku Puan Pahang disambut pembesar-pembesar negeri dan pegawai-pegawai Muzium Pekan. Inilah pertama kali Penulis berdepan dengan Tengku Puan Pahang. Berita tentang sifatnya yang rapat dengan rakyat memang sering diikuti. Miisalnya prehatinnya Tengku berhubung dengan ibu-ibu yang tidak mempunyai zuriat untuk mendapat zuriat dan pembelaan Tengku terhadap rakyat miskin dan susah di Pahang.


Sebaik tiba Tengku Puan Pahang majlis bermula dengan doa dan tidak ada ucapan perasmian, sebaliknya sebagai permulaan Karnival Tengku turun dari pentas ke bawah khemah memulakan masakan serawa labu kuning dan ikan patin. Semua keperluan bagi resipi masakan ikan patin telah tersedia. Tengku memotong bahan-bahan seperti bawang besar, lengkuas dan tomato dengan amat mahir dan cepat, Tengku juga mengetuk batang serai dan menumbuk bahan-bahan yang perlu ditumbuk dalam lesung batu dan mencampur bahan berkenaan dalam periuk dan memasaknya lebih awal sambil menambahkan bahan-bahan resipi seperti daun limau purut, daun kunyit, daun kesum, asam dan sebagainya. Tengku menerangkan kepada orang ramai, ``Ikan patin yang siap dipotong ini tidak dimasukkan bersama dalam periuk, kerana jika dimasukkkan lebih awal akan hancur, kerana isinya yang lembut. Tengku seolah seperti seorang ibu yang memasak kepada anak-anaknya yang ghirah menunggu untuk makan, Tengku juga mengecap masakan ikan patinnya, sama ada cukup garam dan sebagainya. Kami kagum melihat kelincahannya, tanpa kekok, tetapi bersahaja memasak. Lebih kurang setengah jam masakan ikan patin yang tentu campur tempoyak sudah masak dan dipindah ke dalam mangkuk, kemudian terus dimasak untuk baki ikan yang belum habis dimasak bagi round kedua. Semasa masakan ikan patin ini sebuah buku resipi dibawa, dibuka dan ditunjuk oleh Tengku Puan Pahang gambar masakan ikan patin dan resipinya. Kemudian kami baru tahu bahawa buku berkenaan adalah hasil dari resipi masakan Tengku Puan Pahang. Masa Tengku memasak Penulis meminta izin melihat buku dan kandungan sepintas lalu. Buku berjudul ``Air Tangan Tengku Ampuan Pahang` setebal 336 halaman berhias gambar-gambar masakan. Dengan kemahiran Tengku memasak dan dengan terbitnya buku resipi masakan Tengku ini sahlah bahawa Tengku seorang yang meminati, bahkan suka memasak makanan.


Selepas memasak ikan patin Tengku berpindah melawat gerai ke gerai, sambil meneliti pameran-pameran masakan dari berbagai negeri itu. Sekali sekala Tengku merasa jenis masakan yang dilihat dan memuji keenakan masakan yang dipamerkan dari berbagai negeri (sayang Selangor tak ambil bahagian dalam masakan). Tiba ke Gerai Masakan dari Kedah. Puteri tertarik dengan masakan ikan talapia bakar tempoyak’ Kemudian tengku ke gerai Kelantan yang antaranya dimasak gula tarik yang dibuat dari manisan kelapa dan Puteri turut menarik gulanya dalam proses masakan sebelum dikerat dan ditabur tepung untuk elak dari melekat. Penulis yang turut mengikuti lawatan Puteri dari gerak ke gerai, melihat Tengku kemudiannya amat tertarik dengan.masakan seorang veteran perempuan juga dari Kelantan yang sedang menarik dan menguli tepung beras bagi dibuat kuih semang. Agak rumit, khususnya menjadikan tepung panjang berbenang sambil diuli dengan tepung kering agar tidak melekat. Tengku mengambil alih menguli tepung, sambil berkata, ``Macam uli buah gomok !``Tengku mengambil masa yang lama menguli tepung bagi kuih semang berkenaan sambil Tengku berkata. ``Ambo nak belajar !`` mengikuti loghat Kelantan.


Walau macam mana semang yang dibuat oleh Tengku tidak seindah yang dibuat tukang masak perempuan dari Kelantan. Akhirnya Tengku kata,
``Tak Apo, masuk dalam perut sama ajo !``. Kami ketawa dengan leluconnya.


Lepas itu Tengku berpindah dari gerai ke gerai dengan lebih cepat dan jam 12.30 tengahari para tamu dijemput makan tengahari. Kami tidak pasti adakah Pameran Karnival Makanan diambil markah dan diberi hadiah secara pertandingan. Kalau dikira dari segi number sudah tentulah masakan-masakan Tengku Puan Pahang sewajarnya mendapat tempat tertinggi!

Kekaguman kami terhadap komitmen Tengku bukan setakat masakan, tetapi juga komitmen Tengku dengan Sambutan Hari Muzium di Pahang itu. Pada keesokan hari (pagi Jumaat 19 Oktober), Tengku Puan Pahang juga turut hadir, bukan saja melakukan Perasmian (tidak disebut dalam buku aturcara), tetapi Tengku juga mengambil bahagian dalam perbincangan (perkara ini telah dtulis pada Sabtu 20 Oktober).

Benarlah sebagaimana kata Tengku Puan Pahang bahawa,``Muzium adalah bahagian dari kehidupan saya`` Tmbah Tengku Puan Pahang,``Saya membesar dan terdidik di Muzium Sultan Abu Bakar Johor sebelum ke Pahang!``


Keterlibatan Tengku Puan Pahang dengan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa memeriah dan memberi impak yang baik bagi sambutan yang diadakan di Pahang.

Sekian.