September 18, 2012

Tan Sri Khalid Sempurnakan Lawatan Kerja Ke SRA Taman Tun Perak

Taman Tun Perak, 01 Zulkaedah 1433 = 17 September 2012 (Isnin):Pada hari ini YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim menyempurnakan Lawatan Kerja beliau ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Taman Tun Perak. Menurut YAB Dato` Menteri Besar Selangor, kehadirannya pada hari ini adalah kali ketiga. Pertama ketika pelan perancangan awal bagi memastikan tapak 6 ekar benar-benar menjadi tapak SRA dan digezetkan. Kali kedua ialah pelancaran projek pembinaan dan ketiga hari ini setelah bangunan siap didirikan. Beliau mengucap tahniah kepada AJK Bertindak yang dengan gigih berjaya mendapat bangunan yang begini cantik. Dengan siapnya Sekolah ini menurut YAB, penduduk berpeluang menghantar anak-anak mereka bagi mendapat pendidikan Islam lebih sempurna. Menurut YAB,

`Ibu bapa hendaklah mengambil peluang menyempurnakan pendidikan anak-anak. Setiap anak adalah harta Negara. Anak-anak yang terpelajar menjadi asset penting dan dapat memberi sumbangan yang lebih kepada Negara dan bagi memajukan negeri.`` YAB menyebut, ``Kemajuan negeri bergantung kepada sumbangan rakyatnya. Kemajuan negeri Selangor adalah sumbangan rakyat yang menjadi asset negeri dan Negara. Setakat ini negeri Selangor memberi sumbangan kepada Negara Malaysia tiap RM1.00 didapati 23 sen daripadanya adalah sumbangan dari negeri Selangor. Sumbangan negeri-negeri yang lain terhadap kerajaan pusat
atas kadar 9 sen sahaja.
Dato` Menteri Besar menambah, ``Hasil negeri yang lumayan adalah digunakan bagi kepentinga rakyat. Contoh Negeri Selangor memperuntukkan RM500 milion untuk Merakyatkan Ekonomi negeri Selangor termasuk air percuma, skim warga emas, tawas bantuan pendidikan dan sebagainya.`` YAB Dato` Menteri Besar juga bersyukur kerana rakyat negeri Selangor mempunyai kesedaran keagamaan tinggi. Sebagai contoh, permohonan terhadap sekolah agama daripada 35,000 setakat ini dapat diisi hanya sebanyak 3.000. Ini pertanda yang baik dan kita akan terus menambah bilangan sekolah-sekolah agama. Menurutnya, rakyat Selangor mementingkan keseimbangan pendidikan antara agama dan akademik, sesuatu yang amat baik.

Sebelum daripada itu Tuan Haji Mohd Arif bin Abdul Samat bagi pihak YDP JAIS mengucapkan terima kasih di atas kesudian YAB Dato` Menteri Besar membuat lawatan Kerja ke SRA Taman Tun Perak, lebih-lebih lagi terima kasih kerana meluluskan peruntukan tanah dan kos bagi mendirikan SRA Taman Tun Perak. Menurut beliau rancangan mendirikan SRA di sini bermula dari tahun 2008. Mula dibina pada 14.7. 2010, siap pada 13 April 2012 dan bangunan Sekolah 2 bloks sebanyak empat tingkat dengan kos sebanyak RM7 juta ini mula beroperasi pada 12 Jun 2012. Kini pelajar baru berdaftar seramai 284 orang. Bangunan mempunyai 30 darjah dan mampu menampung 1,200 orang murid bagi satu sesi. Sekolah mempunyai surau, perpustakaan, kantin, bilik mesyuarat, bilik guru lelaki dan guru perempuan. Walau macam mana menurut Wakil YDP JAIS itu, Sekolah m,asih kekurangan peralatan. Beliau meyeru kepada penderma-penderma dapat sama melengkapkan keperluan Sekolah.Hadir sama di dalam Majlis Lawatan Kerja YAB Dato` Menteri Besar ialah YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, YB Puan Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Tuan Haji Zulkifli Khalid Timbalan YDP MPKj, Ustaz Mohd Fitri Sha`rani Guru Besar SRA Taman Tun Perak, Tuan Nazir Masjid Nurul Ehsan, Ahli MPKj, pegawai-pegawai kerajaan, ibu bapa dan murid-murid.
Sebelum dari melawat SRA Taman Tun Perak YAB dibawa melawat Surau Al-Faizin berdekatan dengan Sekolah yang dalam pembinaan dan memerlukan kos tambahan bagi menyiapkannya yang dijangka menelan belanja hampir RM1 juta ringgit.

Selepas dari menyampaikan ucapan YAB Dato` Menteri Besar melawat gerai-gerai makanan yang disediakan dengan berbagai-bagai jenis juadah sempena menyambut hariraya Eidul Fitri, walaupun hari ini bermula 1 Zulkaedah. Selepas menikmati jamuan raya YAB membahagi duit raya kepada anak-anak. Jelas suasana riang terpancar dari wajah anak-anak. Jam 4.00 petang YAB bertolak pulang diikuti tamu dan jemputan yang lain.

Tahniah kepada penduduk Taman Tun Perak dan sekitar yang mendapat Sekolah Rendah Agama dan Surau Al-Faizin secara serentak. Maju dan makmurlah kedua-duanya hendaknya – Insya Allah..


Terima kasih.

No comments:

Post a Comment