September 30, 2012

Di Mana Jua Kita Perlukan Alam Terpelihara

Di mana jua kita anak manusia
Memerlukan alam terpelihara
Seperti kupandang dari tingkat 16
Teraturnya bangunan lancar perjalanan
Larian sungai yang tidak terganggu
Pohonan rimbun hijau lembut melindungkan
Di bawahnya anak manusia aktif kehidupan.

Kita bangsa manusia yang datang
Apa yang lebih baik kita lakukan
Selain dari mengekalkan warisan
Menggalakkan kreativiti beridentiti
Sambil membaiki rumah dunia kita uzur
Akibat dari tangan tamak mengancam.

Kita anak manusia di rumah dunia
Seharusnya bergerak bersama
Putaran bumi mengimbangi cakrawala
Natural dan neutral dari gangguan
Seperti dikehendaki Tuhan.

Biarkan angin menghembus ruang
Menggetar awan gemawan menghitam
Memecah turun hujan
Menyubur tanaman-tumbuhan
Membersih wajah alam
Menghias dengan bunga-bungaan
Mengeluarkan rezeki buah-buahan.

Biarkan mentari menyinar
Menghangat dan menambah
Hidupan dan makanan
Sajian di meja makan
Untuk dinikmati bersama.

Kita anak manusia
Di rumah dunia makin tua

Baik dari penjuru mana berada
Adalah dari satu turunan
Yang kadang kala berkunjung
Menghulur tangan pengenalan.

Di rumah tua dunia ini
Baik dari anjung mana
Kita perlu pertahan warisan
Galakkan kreativiti memanfaatkan
Sama prihatin dan cakna
Dari segala merosakkan.


Shafie Abu Bakar,

Hotel Aryaduta, Palembang.
04 Zulkaedah 1433
20 September 2012.

No comments:

Post a Comment