August 3, 2012

Tarawih: Penghayatan

Dengan Takbir permulaan para jamaah mengungkap Kebesaran Allah Pencipta Alam. Puji-Pujian dan Tasbih kepadaNya berpanjangan. Dengan Tarawih Imam melafazkan firman dengan suara merdu menggemai ruang penuh tartib dan tartil. Dengan bacaan Imam membalik lembaran demi lembaran dan para makmun menanggapi siraman Ayat-Ayat Suci- kalimat demi kalimat berjatuhan ke kalbu tenang penuh kekhusyukan. Bertarawih adalah usaha berjamaah menelusuri kembali rentetan wahyu dalam Sirah Rasulullah yang terhimpun selama 23 tahun . Ia tidak lain dari menghayati sirah perjalanan Rasul-Rasul Anbiya, ibadat, hukum hakam, nilai peraturan, kewujudan kejadian, ilmu pengetahuan dan politik pemerintahan dalam sebuah mushaf bernama Al-Quran. Kitab Suci ini tidak lain dari sebuah Perlembagaan bagi Insan dan Alam.Di dalam Tarawih digalakkan pembacaan kesemua kandungan yang disusunkan juzuk demi juzuk bagi malam demi malam sehingga 30 juzuk khatam sebagaimana digalakkan bertadarus Ayat-Ayat Suci ini khatam demi khatam. Adalah lebih aula pembacaan beserta kefahaman, tadabbur dan amalan yang didalami secara huraian dan tafsiran. Kepatuhan kehambaan terlambang dalam rukuk sujud dan tashahhud. Lebih luas dan menyeluruh Kitab Perlembagaan itu diterapkan ke dalam kehidupan individu, keluarga, kelompok, masyarakat dan umat.
Tarawih membawa kepada jamaah perutusan secara lebih formal dan murni melalui rakaat-rakaat kepatuhan. Tetapi siapakah pada puncak peranan membawa perutusan menyampaikan wahyu pada insan, umat dan alam?

Tidak lain dari Muhammad Rasulullah s.a.w. yang menyambut wahyu permulaan di Gua Hira' Makkah itu dan menyampaikan perutusan pada kedegilan kaumnya yang menyebabkan berlaku penghijrahan ke Madinah secara berstrategik dan futuristik bagi perkembangan Islam. Kenangan pada peranan dan jasa Baginda s.a.w. dengan penuh mesra dan kecintaan para jamaah mengulangi salawat dan pujian penuh syahdu menggemai ruang dan batasan. Gemersik suara salawat itu adalah identiti luhur dan suci tarawih yang tiada seumpamanya ibadat-ibadat yang lain.

Tarawih juga adalah mengenangi sirah dan sejarah para sahabat Rasulullah yang berganding bahu berjihad bersama Rasulullah menegakkan Islam. Ribuan jumlah mereka perlu dikenangkan. Merekalah penerima setia perutusan dan menyebarluaskan ke tengah masyarakat dan ke perbatasan. Merekalah benteng setia berjihad di medan Perang. Ada yang gugur syahid dalam menegakkan kebenaran dan kemenangan. Merekalah tali yang mengunjurkan tamadun dan peradaban. Terlalu ramai dari kalangan sahabat apa lagi tabiin untuk disebutkan. Mewakili mereka para jamaah melakarkan pujian dan sanjungan terhadap serangkaian nama empat sahabat – Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali radhiyallahu anhum.

Tarawih bukan sekadar ritual ibadat yang mengejar waktu untuk segera tamat. Tetapi adalah penelitian terhadap kandungan wahyu Al-Quran – Perlembagaan dipatuhi dan diamalkan. Tarawih adalah wasilah memadah - Salawat kepada Rasulullah Penerima Wahyu, Penyampai Perutusan, Insan Sempurna contoh ikutan. Tarawih juga mengenang jasa para sahabat setia penegak Islam yang wajar dikenang dan ditauladan. Bersiri doa dipanjatkan pohon hidayat dan keampunan terus berada di jalan benar mengukuhkan Islam.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
13 Ramadhan 1433
02 Ogos 2012.

No comments:

Post a Comment