August 31, 2012

Mengenangi Sambutan Perisytiharan Kemerdekaan 55 Tahun Silam

Sesayup ingatan menelusuri kenangan
Semasa menyambut pengisytiharan kemerdekaan
Aku anak muda lima belas tahun usia
Masih mentah dalam kefahaman
Ketika itu terhantar aku di Tanah Batu Bersurat
Begitu murni hasrat ninda
Yang aku sudah tidak beribu bapa
Maukan daku seorang teguh Iman-Islam
Meskipun berpeluang terpilih ke pertama SMK
Tetapi pengajian agama menjadi keutamaan

Lantas aku memondok di Kuala Berang
Mengaji kitab dan Sekolah Arab
Di bangunan kayu amat usang

Bekas Balai Polis di tepi Sungai Berang
31 Ogos 1957 aku di sini memulai pengajian
Menghayati saat pengisytiharan kemerdekaan.

Peristiwa pengisytiharan kemerdekaan itu
Disambut di Padang Pejabat Daerah Kuala Berang
Aku seorang dari pelajar Sekolah pilihan
Berbaris melihat naiknya Bendera Persekutuan
Dan turunnya `Union Jack` penjajahan
Ketika itu betapa kudus-keramat-semangatnya
Ungkapan Merdeka ! Merdeka ! Merdeka berulang
Sebagai rakaman kenangan – kami bergambar
Bersama sahabat kawan-kawan sepengajian
Berpakaian uniform putih bersongkok hitam
Hadapan pintu gerbang buluh didirikan
Berhias bendera Negeri dan Persekutuan
Sebagai kenangan manis kemerdekaan.













Mengenang 55 tahun kemerdekaan
Meskipun aku belum matang dari segi siasah
Namun kebebasan demokrasi lebih menyerlah
Para pemimpin ketika itu lebih bebas
Berucap di hadapan khalayak di padang luas
Aku masih ingat semangat demokrasi
Di Pekan Kecil Kuala Berang itu
Padang Tara berlatar bukit kecil
Adalah padang untuk pemimpin berceramah
Terpandang-pandang Dr. Burhanuddin Hilmi
Berceramah tentang ideologi politik Islam
Politik dunia dan falsafah kemerdekaan
Sedang Dato` Onn yang kehilangan sokongan di negeri sendiri
Meminggir diri ke Terengganu dengan perjuangan Parti Negara
Dengan orang kanan Gharib Rauf penceramah versatile
Mendapat tempat di Ladang Kuala Terengganu
Pernah sama berceramah di Kuala Berang
Menerangkan perinsip Parti Negaranya
Dengan gaya ceramahnya yang memikat
Mendapat tepukan gemuruh dari khalayak
Dan Tunku Abdul Rahman pemimpin gentleman
Bercuti dari tugas pemerintahan turun berkempen
Biar bercakap slow-slang Kedah penuh kejujuran
Pemimpin lain yang turut menghangat pentas politik
Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan seangkatan
Dianggap kiri kurang sambutan
Namun demokrasi mekar berkembang.













Semangat kemerdekaan benih demokrasi amalan
Terengganu pertama muncul membuat penyimpangan
Dari dominasi Perikatan (UMNO-MCA-MIC) 1959
Dari semangat Batu Bersurat dikuasai PAS
Mewarnai politik Negara yang terus bergelora
Yang kemerdekaan dan pengisian bukan milik siapa
Tapi adalah hak dan milik rakyat Malaysia.

Mengenangi peristiwa pengisytiharan kemerdekaan
Di tanah keramat di Kuala Berang
Mencetus semangat diriku dalam pelajaran
Memperbaiki diri dalam pengajian
Seiring antara agama dan akademik
Menjadikan aku seperti sekarang.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
13 Syawal 1433
31 Ogos 2012

No comments:

Post a Comment