July 11, 2012

Masih Membahaskan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2012 & Menjawab Soalan - Memohon Peruntukan Bagi Projek-Projek PADAT

Dewan Negeri Selangor, 20 Sya`ban 1433 = 10 Julai 2012 (Selasa):

Untuk hari kedua Persidangan Dewan Negeri Selangor masih membahaskan Enakmen Perbekalan Tahunan 2012 yang berjumlah RM120,115,327.23 yang dipecahkan kepada 39 bahagian. Pembentangan telah dibuat oleh Dato' Menteri Besar Selangor pada Isnin semalam. Beberapa Ahli Dewan telah membahaskannya termasuk oleh YB. Saudara Azmin Ali sebagai Pembahas pertama.

Sebelum perbahasan disambung, sesi menjawab soalan lisan dilakukan dijawab oleh Dato' Menteri Besar Selangor dan Exco-Exco berkenaan. Sebanyak lapan soalan sempat dijawab pada pagi ini seperti mengenai air, program Belia (tak dijawab – penanya dari Balakong tidak hadir), Penggunaan Geran Selangorku, Prestasi Industri Pertanian, Kecurian Pasir, Kempen Kurang Penggunaan Beg Plastik, Projek Yang Tidak Disokong Oleh Syabas, Air Bumi dan Pengangguran Para Belia. Dalam semua jawapan, Adun Bangi hanya membuat satu soalan tambahan berhubung dengan Geran Selangorku. ADUN Bangi bertanya, Adakah Geran Selangorku Bersifat adhoc.. Kelihatan projek-projek yang ditawarkan di bawah Geran Selangorku adalah bertindih dengan bajet tahunan. Jika demikian, mengapa tidak disatukan dengan bajet dan peruntukan tahunan. YAB Dato` Menteri Besar yang menjawab soalan mengaku bahawa peruntukan adhoc dan sementara dan tidak semestinya berulang, Geran Selangorku diwujudkan oleh kerana ada lebihan pendapatan, sebab itu diwujudkan Geran Selangorku. Peruntukan ini adalah bertujuan mengembalikan lebihan kepada rakyat. Berhubung dengan pertanyaan Adun, mengapa setengah kawasan dapat projek dan peruntukan dan setengah tak dapat walaupun dibuat permohonan, YAB menjawab penyelarasan akan dibuat dengan pihak Pejabat Daerah dan PBT.

Dalam membahaskan enakmen Perbekalan Tambahan 2012, untuk hari kedua ini memang Adun Bangi bersedia untuk bercakap. Teks sudah disediakan untuk bercakap untuk satu jam, tetapi oleh kerana ramai yang mau bercakap, maka Tuan Speaker menghadkan kepada 20 minit seorang. Adun Bangi hanya berpeluang bercakap giliran ketiga pada sebelah petang. Dalam percakapan terpaksa disentuh mana yang penting saja sesuai dengan masa yang dihadkan.

Adun Bangi menyatakan Tambahan peruntukan adalah memang wajar, kerana jumlah yang ditambahkan iaitu RM120,115,327.23 sen adalah sebahagian kecil dari reserve RM2.1 bilion, bukan berhutang. Adun mengambil contoh tambahan kepada Pejabat Menteri Besar sebanyak B1 RM3,259,312.45 dan kepada Dewan Negeri Selangor sebanyak B3 sebanyak RM259,386.36 diharap memberi insentif kepada tenaga kerja kedua-dua pejabat berkerja dengan lebih dedikasi dan kreatif agar dapat dijanakan dari kedua-dua jabatan idea-idea yang lebih bernas yang dapat memanfaat rakyat. Contoh idea mengenai MES, Skimsel, Mimbar, Warga Emas dan Air Percuma dari Jabatan Menteri Besar dan Selcat dan Ketelusan Maklumat dari Pejabat Dewan Negeri banyak meningkat imej pentadbiran negeri. Kita berharap dari Perbekalan Tambahan akan menjanakan apa yang Adun Bangi istilah MIS – Menjanakan Idea Selangor. Adun juga bercakap tentang pertambahan peruntukan Pejabat Agama Islam (JAIS) kedua terbesar selepas Perbendaharaan (RM18,155,122.00), iaitu berjumlah RM15,550,833.05 sebagai wajar, kerana beban tadbiran JAIS adalah besar melibatkan Masjid (386), Surau (1,800), Sekolah-sekolah beribu buah dengan pelajar hampir sejuta, walaupun ditambah dengan peruntukan zakat RM320 yang didapati pada tahun lepas, masih memerlukan peruntukan tambahan. Kata Adun, kita bergembira melihat masjid dan surau yang diberi kebebasan memilih pemimpin makin makmur, tetapi Adun dukacita ada pemilihan pentadbiran yang tidak menurut pemilihan, tetapi diarah dari atas. Ini bercanggah dan membantut prinsip yang dipegang dan boleh mengganggu perjalanan masjid. Adun juga menyentuh sekolah agama akan berjalan lebih baik dengan memperbaiki kurikulum, buku teks, latihan guru, pentadbiran dan infra-struktur. Adun dukacita perjalanan pentadbiran tidak begitu mesra dengan pihak pentadbiran negeri yang berhubung dengan pendidikan dan juga perjalanan agama Islam, contoh masjid. Pada hal JAIS juga jabatan yang memerlukan peruntukan dari negeri.

Adun juga menyentuh berkenaan dengan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan (PADAT) – termasuk muzium yang memerlukan peruntukan tambahan bagi menjalankan beberapa projek besar, iaitu:

1) Mewujudkan Muzium Sukan dengan menggunakan bangunan lama Perpustakaan yang berdekatan dengan Muzium Sultan Alam Shah.

2) Membaik pulih rumah lama Selangor dengan memindahkannya dari Kuala Selangor ke pekarangan Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam.

3) Membaiki bangunan dan membuka Muzium Islam Selangor di Kelang.

4) Menjalankan projek ekskavasi – cari gali. Adun menyebut kalau Perak negeri berjiran Selangor menemui ~Perak Man` berusia 11,000 tahun, manakala pertemuan peralatan berusia 100,000 tahun, tidak mustahil kita akan menemui `Selangor Man`. Kejayaan permulaan dari ekskavasi di Selangot, ialah menemui shiling-shiling di Kuala Selangor pada zaman pemerintahan Sultan Ibrahim.

5) Projek penerbitan buku. Setakat ini buku Masjid Lama Selangor dan Jurnal Selangor telah diterbitkan selepas Adun diamanahkan sebagai Pengerusi PADAT. Bakal diterbitkan karya-karya dua Sasterawan Negara Selangor SN Dato` Dr. Anwar Ridhuan dan SN Dato` Dr. Ahmad Kamal Abdullah sempena penghargaan terhadap mereka - bakal dilakukan sebagai Sasterawan Negara Selangor

Kita berharap mendapat peruntukan dari Kerajaan Negeri Selangor.

Sekian.

No comments:

Post a Comment