June 8, 2012

Sekatan Pinjaman PTPTN Terhadap Pelajar UNISEL: Senjata Makan Tuan

BBB, 18 Rejab 1433 = 08 Jun 2012 (Jumaat):

(Tulisan dibawah dihasilkan sebelum maklumat sekatan PTPTN terhadap UNISEL ditarik balik melalui maklumat jam 8.00 malam)

Tindakan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khalid Nordin dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel dipersoal dari segi kewajaran dan kebijaksanaan. Ini dilihat parah kesannya menikam balik BN. Lebih dibimbangkan ketika pilihanraya makin dekat isu `Sekatan PTPTN` dijangka makin merebak dan menyentuh hati nurani rakyat Selangor. Mereka bukan saja bersimpati dengan pelajar UNISEL, tetapi bangkit sintimen dan simpati terhadap Kerajaan Selangor yang dianggap tidak wajar dilakukan. Perlu diingat pelajar-pelajar, ibu bapa dan keluarga pelajar UNISEL yang disekat, bukan semuanya penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah sekarang, tetapi dengan tindakan `Sekatan PTPTN` menyebabkan kemarahan rakyat Selangor termasuk mereka yang `atas pagar` dan juga penyokong BN. Dengan isu ini menyebabkan mereka berpaling tadah menyokong Kerajaan Pakatan.

Alasan menyekat PTPTN kepada pelajar UNISEL agar pihak Kerajaan Negeri Selangor mempraktikkan cadangan Pakatan Rakyat mau menjadikan pendidikan percuma selepas Pakatan Rakyat menguasai Kerajaan pada peringkat Federal dianggap tidak releven, tidak tepat dan kurang rasional. Sekurang-kurangnya dapat dihujah bahawa Pakatan Rakyat belum lagi berkuasa pada peringkat Federal yang membolehkannya merestruktur pemerintahan dan menyusun kembali pentadbiran pendidikan termasuk menghidupkan kembali misalnya kaedah biasiswa. Pertanyaan juga dapat dikemukakan, mengapa negeri Selangor atau lebih khusus UNISEL yang dijadikan mangsa sekatan, tetapi tidak negeri-negeri lain di bawah Pakatan Rakyat dan institusi-institusi pendidikan lain yang berkait dengan PTPTN di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat ?

Kita berpendapat Kementerian Pengajian Tinggi, bahkan kepimpinan BN menjatuhkan diri dalam Lumpur permasalahan ! Akibat dari tindakan kepimpinan yang salah, BN berlumuran selut masalah. Meneruskan tindakan terseret diri ke dalam lumpur yang lebih mendalam dan menarik balik bagi membersih lumpur permasalahan bagai menelanjangi diri depan khalayak yang menjatuhkan maruah dan dianggap pandak akal dan perhitungan !

Apa pun berdepan dengan ujian ini, kita amat optimis dengan kepimpinan di negeri Selangor. Mereka merupakan asset utama negeri. Dengan modal insan yang kukuh mereka bukan saja memimpin kepada kemajuan, bahkan menyelesaikan permasalahan. Di Dewan Negeri Selangor misalnya kita dapat melihat betapa tidak seimbangnya antara wibawa kepimpinan yang memerintah berbanding dengan pembangkang di Dewan Negeri. Adakah sebenarnya kepimpinan `Kerajaan Menunggu` pada peringkat Federal lebih berwibawa berbanding dengan kepimpinan yang memerintah ?

Di dalam hal ini meningkah tindakan pihak Kementerian Pengajian Tinggi segera Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim bertindak mempertahan dan membela pihak UNISEL dengan cadangan untuk mencairkan asset 200 hektar tanah hasil dari dapatan kembali hutang dari Kumpulan Talang. Ini merupakan salah satu punca yang dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar UNISEL yang disekat PTPTN. Wang dari asset di atas dapat dilabur dan ditambah bagi modal pinjaman di dalam Kumpulan Biasiswa/Pinjaman Negeri Selangor. Pinjaman/ biasiswa kerajaan negeri Selangor jauh lebih baik dari PTPTN, kerana pinjaman tanpa bunga dan boleh ditukar kepada biasiswa apabila pencapaian cemerlang.

Untuk jangka panjang Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pakatan Rakyat hendaklah menubuhkan Waqaf Pendidikan yang kalau boleh mampu menanggung kos pendidikan percuma. Negara-negara yang memberi pendidikan percuma dapat dicontohi seperti Kerajaan Sweden, Al-Azhar di Mesir dan sebagainya.

Tambahan (Selepas jam 8.00 malam):

Telahan kita bahawa sekatan PTPTN adalah merupakan senjata makan tuan adalah tepat. Ini mencerminkan mereka yang terlibat dengan mengambil keputusan menyekat PTPTN terhadap pelajar UNISEL adalah tidak berfikir panjang dan tidak membuat perhitungan tentang implikasi hasrat mereka menawan negeri Selangor. Ramai yang tidak menyenangi tindakan menyekat PTPTN terhadap pelajar UNISEL termasuklah Khairy Jamaluddin Ketua Pemuda Umno, Presiden Kumpulan Solidariti Mahasiswa Malaysia Safwan Anang,berkata, pelajar jangan dijadikan mangsa mainan politik. Beliau menegaskan pihak kerajaan yang memerintah haruslah bertanggungjawab bagi menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat pada semua peringkat. Beberapa pihak lain turut tidak menyenangi tindakan beberapa pemimpin BN.

Isu sekatan PTPTN terhadap pelajar UNISEL memberi kemenangan moral bagi kerajaan negeri Selangor dan memberi peluang kepada rakyat menilai tahap pemikiran dan tindakan beberapa pemimpin BN.

Sekian.

No comments:

Post a Comment