June 8, 2012

Menutup Kursus Solat & Haji

Dun Bangi, 13 Rejab 1433 = 03 Jun 2012 (Ahad):

Pada pagi ini Adun Bangi mempunyai dua program berturut-turut menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Solat di Surau At-Taqwa, Jalan 6, Seksyen 16 Bandar Baru Bangi dan Menutup Kursus Haji di Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar. Kedua-dua kursus ini semacam bersifat tahunan bagi kedua-dua tempat dan secara kebetulan berturut tahun juga Adun merasmikan Majlis Penutup bagi kedua-dua kursus tersebut.

Permulaan jam 10.30 Adun ke Surau At-Taqwa, kalau pada tahun lepas, kursus Solat yang fokusnya bagi pelajar-pelajar yang dalam cuti Sekolah diusahakan oleh AJK dengan menjemput penceramah dan pembimbing pilihan AJK, maka pada tahun ini Kursus nampaknya lebih besar, iaitu mendapat tajaan dari pihak Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat yang mempunyai peruntukan khas bagi kursus demikian yang setiap tahun diadakan di masjid atau surau pilihan di Hulu Langat. Kehadiran Adun disambut oleh Tuan Haji Soldin selaku Pengerusi Surau. Turut sama ialah Tuan Haji Ariffuddin selaku Setiausaha Surau. Semasa ketibaan Adun kursus sedang berjalan dibimbing oleh Pembimbing Terkenal di dalam bidang Solat iaitu Ustaz Dr. Hasnan Kassan. Sementara menunggu masa rehat Adun berbincang dengan Tuan Haji Soldin, menurutnya,

``Pihak Surau At-Taqwa berterima kasih kepada pihak PAID kerana memilih Surau At-Taqwa melaksanakan Kursus Solat pada kali ini. Dengan peruntukan yang disediakan kursus dapat berjalan dengan lancar.`` Apabila Adun bertanya lama mana kursus diadakan, menurut Tuan Haji Mohd Ariffuddin,

``Kursus adalah dalam masa cuti Sekolah dan berlangsung selama 3 hari bermula dari Jumaat dan berakhir pada hari ini Ahad.``. Adun bertanya, ``Berapa ramai peserta ?``

Kata Encik Soldin Pengerusi,``Peserta rasmi ialah 82 orang murid yang 27 daripada mereka adalah pelajar perempuan, tapi secara tidak rasmi diikuti sama oleh ibu bapa, sebagaimana dapat dilihat hari ini, kursus diikuti sama oleh ibu bapa.`` Adun berkata, ``Al-Hamdulillah, kursus adalah diikuti oleh jamaah Surau At-Taqwa.`` Adun bertanya, Berapa ramai pembimbing kursus ?`` Tuan Haji Soldin berkata,

``Selama tiga hari ini peserta-peserta dibimbing oleh pembimbing yang diatur oleh PAID, selain dari Ustaz Dr. Hasnan Kassan yang sedang menyampaikan kursus, ialah Tuan Pegawai Tadbir Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat (Tuan Kadhi) Tuan Mohd Ariff bin Abdul Samad yang merasmikan Kursus, turur sama menyampaikan kursus ialah Ustaz Baharuddin Diman Pegawai Kanan dari JAIS, Shah Alam. Turut sama antaranya, Ustaz Khairil Khazar dari Fakulti Islam UKM,`` Tambah Tuan Haji Soldin, ``Seramai 10 orang fasilitator terlibat di dalam mengendalikan kursus.``

Dalam Majlis Ringkas Penutup, Adun mengucapkan terima kasih kepada PAID yang memilih Surau At-Taqwa bagi Kursus Solat pada kali ini. Adun juga mengucapkan tahniah kepada AJK yang berjaya menganjurkan kursus dengan jayanya. Semoga dengan kursus yang diikuti dapat menambahkan keilmuan dan memperbaiki amalan Solat, iaitu ibadat yang paling penting. Adun juga berharap dengan kegiatan kursus dan kegiatan-kegiatan yang lain Surau At-Taqwa terus makmur dan diberkati Allah. Pada majlis ini Adun juga menyampaikan peruntukan bagi menampung keperluan kursus dan Surau.

Selepas dari menutup Kursus Solat Adun bertolak dengan saudara Azizi ke Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar, Kajang. Bagi menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Asas Haji. Ketibaan Adun terus diiring ke dalam masjid bagi Penutupan Kursus. Sama berada di dalam Majlis Penutupan ialah Encik Yusof bin Bachek Ahli MPKj, Tuan Haji Mohd. Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Encik Mansur bin Ali Pengurus Tabung Haji Kawasan Kajang, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Haji Mat Saman, Tuan Haji Razak bin Zakaria Pembimbing Kursus, Dr. Hj. Ahmad Zainuddin Imam Satu Masjid dan peserta-peserta kursus..

Berucap selaku Tuan Rumah, Tuan Haji Mohd Yusof mengucapkan terima kasih di atas kehadiran Adun. Beliau memaklumkan,

``Jamaah yang mengikuti kursus pada kali ini adalah seramai 220 orang. Mereka terdiri dari ahli kariah Sungai Ramal dan sebahagian adalah dari luar Sungai Ramal.`` Menurut Tuan Haji Mohd. Yusof lagi, ``Kursus berjalan sejak bulan Februari hinggalah ke hari ini 3 Jun 2012.`` Tambah Tuan Haji Yusof, ``Al-Hamdulillah kursus berjalan dengan baik dan lancar.`` Menurut Tuan Haji Mohd. Yusof, ``Untuk penjalanan kursus dan makan minum yang disediakan, setiap peserta dikenakan bayaran minimum dan jika ada yang sedikit lebih dimasukkan ke dalam Tabung Masjid.``

Pengurus Tabung Haji Bahagian Kajang dalam ucapannya bersyukur kepada Allah kerana kursus dapat berjalan dengan baik. Beliau memaklumkan qota haji bagi Malaysia pada tahun ini adalah berjumlah 28,000 orang. Pengumuman bagi mereka yang terpilih akan dibuat dalam masa terdekat. Beliau memaklumkan selain dari kursus yang diikuti ini, pihak Tabung Haji akan mengadakan Kursus Intensif mulai 18 Jun sehingga 1 Julai 2012 bertempat di Dewan Universiti, Kuala Lumpur – Malaysian French Institut Bangi, Teras Jernang, Bangi, mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari. Beliau meminta bakal-bakal Haji dapat mengikuti kursus berkenaan. Beliau juga mengumumkan bahawa Pemeriksaan Kesihatan bagi Bakal-Bakal Haji akan diadakan di Pusat Kesihatan Bandar Baru Bangi pada 23 & 24 Jun 2012.

Adun Bangi dalam ucapan penutupnya, mengucap tahniah kepada AJK Masjid Haji Mat Saman terutama Ketua Kampong Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir dan Nazir Tuan Haji Nik Pa Nik Leh yang telah berjaya menganjurkan Kursus Haji kepada Ahli Kariah pada tahun ini. Bahkan kursus seperti ini adalah menjadi acara tahunan. Adun juga mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji yang turut menjayakan kursus. Adun menyebut tentang sejarah Tabung Haji sejak 1963 amat berperanan di dalam mengatur urusan Haji, sehingga menjadi agensi urusan Haji terbaik di dunia dan menjadi contoh dan tauladan bagi Negara-negara Islam yang lain. Kemudahan-kemudahan ini termasuk sebelum dan selepas, bahkan paling utama semasa menunaikan Haji di Makkah dan Ziarah di Madinah. Adun berharap dengan kursus yang diikuti menjadikan peserta lebih faham tentang amalan Haji dan menjadikan ibadat yang akan ditunaikan menjadi lebih sempurna. Adun berharap Bakal-Bakal Haji tidak sahaja mengikuti kursus di sini, tetapi hadirlah mana-mana kursus yang dianjurkan selepas ini termasuk Kursus Intensif dan berbagai-bagai tempat pengajaran. Menunaikan Haji bagi sebahagiuan besar daripada jamaah adalah merupakan sekali seumur hidup, sebab itu berusahalah melengkapi diri dengan ilmu yang insya Allah menyempurnakan amalan Haji kita. Adun difahamkan bahawa list menunggu untuk menunaikan Haji adalah melebihi satu juta. Bersyukurlah kepada Allah bakal-bakal Haji terpilih yang tergolong dalam jumalh 28,000 bakal Haji tahun ini. Kepada yang belum terpilih Adun berharap bersabar dan berdoa kepada Allah semoga pemohon-pemohon akan terpilih pada tahun-tahun akan datang – Insya Allah.

Sebelum Adun menyampaikan sijil-sijil kepada peserta-peserta saudara Fuad Pengerusi Majlis membentangkan kutipan dan perbelanjaan selama kursus berjalan.

Sekian.. Wssalam.

No comments:

Post a Comment