June 18, 2012

Menghargai Kerjasama, Menyampaikan Sumbangan. Adik Nor Azlina bt. Ibrahim Johan Qariah Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan

Kajang Utama, 26 Rejab 1433 = 16 Jun 2012 (Sabtu):

Atas kejayaan penduduk Apartment Kayangan, Kajang Utama mengadakan Hari Keluarga pada Ahad 27 Mei 2012 lepas, maka pada malam ini Persatuan Penduduk mengadakan jamuan kesyukuran secara santai dan mesra. Hadir sama selain dari Adun Bangi ialah YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang dan Ahli MPKj, Encik Ibrahim Martibi Ketua Rukun Tetangga Kajang Utama, Tuan Haji Azhar Arshad Pengerusi Surau Al-Muhajirin Kajang Utama. Hidangan BBQ, sate, nasi, kuih dan buah-buahan disediakan. Saudara Abu Bakar mengendalikan acara.

Majlis Kesyukuran malam ini menjadi lebih menarik dengan beberapa acara tambahan

1) Tahniah kepada Adik Nor Azlina bt. Ibrahim Johan Qariah Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan pada 15.5.2012.

Adik Nor Azlina bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kajang Utama dan juga bersekolah di Sekolah Kafa Integrasi Hidayah, Kajang Utama. Nor Azlina dilatih oleh Guru Al-Qur`an terkenal, iaitu Ustazah Suzanah dari sini. Ustazah Suzanah pernah menjadi Naib Johan Tilawah Al-Qur`an peringkat Negeri Selangor. Kini menjadi Juri Rancangan TV Ustazah Pilihan. Nor Azlina tinggal bersama ibunya Puan Rosmiati seorang ibu tunggal yang menyewa rumah di sini dan bekerja mengambil upah menjahit. Pada malam ini Adun Bangi menyampaikan sumbangan kepada Nor Azlina di atas kejayaannya. Turut memberi sumbangan YB Teo Nie Ching. Ibunya turut hadir sama pada malam ini.

2) Menyampaikan Sumbangan Kerajaan Negeri Kepada Sekolah Kafa Integrasi Al-Hidayah

Pada malam ini juga Adun Bangi membawa cek sumbangan Kerajaan Negeri melalui Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Modal Insan cek sumbangan bernilai RM5,000. Cek diterima oleh Tuan Haji Ibrahim Martibi selaku YDP PIBG (Lembaga Pengelola). Turut hadir sama ialah Guru Besar Ustazah Tumijah.

3) Pengumuman bahawa Kajang Utama dipilih bagi Projek Futsal dan Riadah Kerajaan Negeri di bawah Exco Belia, Sukan dan Adat Resam Melayu & Warisan. Kos projek ini hampir RM200,000. Projek ini akan bermula pembinaan pada Isnin 18 Jun 2012.


Sementara itu pada tengahari hari ini Adun bersama Lajnah Kebajikan yang diketuai Tuan Haji Rushdi melawat dan menyampaiakan bantuan kepada:

Encik Nazaruddin Hasan di Desan Surada sejumlah peruntukan sebagai simpati di atas kebakaran rumah yang dialami. Rumah beliau baru dibaikpulih. Menurut En. Nazaruddin, pembaikan memakan peruntukan sejumlah RM33,000.

Kami.juga melawat Pelajar KUIS di Kajang Utama ini, iaitu saudara Muhammad Zikri bin Ya`kob yang belajar di Fakulti Usuluddin dan Multi Media. Beliau memohon bantuan kewangan dari Adun bagi menampung bayaran yuran di Kuis yang menurutnya, ``Agak tinggi dan membebankan``. Beliau sekarang berada di Semester enam..

Kami juga melawat dua keluarga India di West Country, iaitu menziarah kematian Encik Siva Subramanium. Kami menyampaikan simpati dan Takziah kepada keluarga Mendiang. Ziarah kedua di West Country ialah keluarga En. Sivan A/L Manimuthu yang memerlukan bantuan, kerana kemiskinan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment