June 11, 2012

Ke Masjid Berkuda - Masjid Tempat Menutup Kursus Haji Hari Ini ? Tahniah Pelajar Cemerlang !

Cheras Jaya, 27 Rejab 1433 = 10 Jun 2012 (Ahad):

Berlaku sedikit kekeliruan pagi ini mengenai Masjid yang seharusnya Adun merasmikan Penutupan Kursus Asas Haji. Pada masa jemputan dibuat melalui telefon dua minggu lepas disebut masjid di Cheras. Adun pada itu memberi respond dan bertanya, Adakah masjid dimaksudkan ialah masjid yang Adun diraikan dengan menunggang kuda ke Karnival Usahawan yang diadakan di masjid lebih kurang dua tahun dulu? Segera suara itu menjawab, tanpa mempastikan siapa yang bercakap, ``Ya`` jawabnya. Dalam tanggapan Adun masjid yang dimaksudkan ialah masjid di pinggir perumahan di Cheras Batu 10, iaitu Masjid Seri Cheras. Catatan dalam diari – 10.45 Rasmikan Penutup Kursus Asas Haji di Masjid Menunggang Kuda, Cheras. Diraikan ke Majlis Perasmian Karnival Masjid Seri Cheras adalah peristiwa yang agak lain, di samping gerun masa menunggang takut jatuh oleh tidak biasa. Terpahat dalam ingatan.

Dengan ingatan Masjid inilah pada pagi ini Adun bersama saudara Azizi menuju dan dijangka sampai lebih awal 15 minit. Tetapi bila tiba didapati tiada peserta kursus. Bertanya kepada seseorang yang berada di situ dijawab, ``Tiada Kursus Haji dijalankan. Yang diadakan ialah di Masjid Tun Hussein Onn.``

Sememangnya ada poster di luar masjid, tetang kursus Haji dijalankan di sana. Untuk mendapat kepastian, saudara Azizi menghubungi no. telefon pada poster dan dimaklumkan Kursus di situ masih berterusan dua minggu lagi baru berakhir.

Menyangkakan mungkin berlaku kesilapan kerana komunikasi melalui telefon, maka kami meninggalkan masjid berkenaan untuk program seterusnya, iaitu melawat masjid bagi dijadikan contoh senibina Masjid Al-Umm. Dalam perjalanan keluar di Jalan Cheras berdepan dengan super-super market, terima telefon dari isteri memaklumkan, ``Jamaah menunggu untuk Majlis Penutup Kursus Haji.`` Adun memaklumkan, ``Sudah pergi tiada orang! Dan Sekarang mau ke Shah Alam !`` Isteri memberi nombor telefon Adun yang lain yang tidak diketahui yang bertanya.

Bila dihubungi, Adun segera mengenali suara dari Tuan Haji Azman Idris Nazir Masjid Cheras Jaya (Manba`il Ulum), iaitu masjid yang tidak asing dan sering Adun ke sana.

Masalahnya dalam minda Adun mengingatkan masjid yang Adun menunggang kuda dahulu! Bila tiba, Adun segera menyebut, ``Maaf! Berlaku kekeliruan, masa bertanya, kata Masjid menunggang kuda! Ingat Masjid Seri Cheras dan ke sana, tiada orang.`` Jawab saudara Azman, ``Karnival di sini dua tahun dahulu ada juga kuda. Bila sebut kuda, saya kata memang `Ya`.

Jawab Adun, `Tapi masa datang buka dulu tak tunggang kuda!`` kata Adun. ``Tapi ada kuda – untuk disewa tunggang masa karnival.`` Jelaslah berlaku kekeliruan di antara kami. Khususnya bagi Adun. Kami tertawa di atas kekeliruan berlaku. Walaupun tiba lewat 15 minit – Jam 11.00 kursus baru berhujung dan Adun terus diiring ke hadapan majlis, tanpa gangguan dan tidak merosakkan program. Lucu juga dengan kekeliruan yang berlaku akibat ingatan peristiwa berkuda!

Majlis Penutup dihadiri Tuan Haji Azman bin Haji Idris Nazir Masjid Taman Cheras Jaya, Tuan Haji Ahad bin Harun dari Tabung Haji Bangi, Ustaz Haji Zamri bin Haji Zainal Abidin Pembimbing Kursus, Encik Mat Hussain Pengerusi Jawatankuasa Urusaan Haji, AJK Masjid dan muslimin dan muslimat bakal Haji.

Tuan Haji Azman Nazir Masjid yang beberapa hari lepas pulang dari Umrah menceritakan suasana Makkah, khusnya Masjidil Haram yang dalam pembinaan yang kesannya memakan masa beberapa tahun untuk siap, mungkin mengganggu dari keselesaan. Tapi beliau berharap para jamaah tumpukan sepenuh perhatian bagi menunaikan ibadat Haji dan jangan dilalaikan oleh perkara lain. Menurutnya kursus kali ini ialah kali ketiga dianjur oleh Masjid Cheras Jaya, kali pertama (2010) seramai 200 orang, kedua 250 orang dan kali ketiga ini seramai 350 orang. Kursus berlangsung selama 17 minggu, iaitu dari 12 Februari hingga hari ini 10 Jun 2012. 90% daripada mereka hadir secara tetap.

Tuan Haji Ahad memaklumkan bahawa kuota Haji bagi Malaysia pada tahun ini adalah 28,000 orang. Mereka yang mendaftar dan berada di dalam list menunggu 950,000 orang. Siapa yang mendaftar kini dari segi kiraan perlu menunggu dalam tempoh 37 tahun. Lantaran itu mereka yang terpilih bersyukur kepada Allah. Beliau juga memaklumkan tentang Kursus Intensif Haji akan diadakan di UniKL – Malaysia_France Institute di Teras Jernang, Bangi dari 18 Jun hingga 1 Julai 2012. Peserta terpilih akan dijemput hadir. Pemeriksaan kesihatan akan dilakukan di Pusat Kesihatan, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi pada 23 & 24 Jun 2012.

Adun Bangi dalam ucapan penutupnya mengucap tahniah kepada mereka yang terpilih menunaikan Haji pada tahun ini. Belaiu berharap kursus yang diikuti menambahkan ilmu, khususnya tentang Haji dan dapat menunaikan Haji dengan sempurna – Insya Allah. Beliau berharap dengan menunaikan Haji akan lebih meningkatkan keimanan dan keyakinan, kerana selama ini maklumat tentang tanah suci didengar dari jauh dan bila tunai Haji dapat dilihat dengan mata kepala Ka`bah yang dihadapi dalam Solat dan tempat-tempat bersejarah tempat jihad Rasulullah dan Madinah tempat pentadbiran Negara Islam zaman Rasulullah dapat dilihat dan disaksi dengan mata kepala sendiri. Sementara tiba waktu ke Tanah Suci, bahkan di Tanah Suci pun teruslah menambahkan ilmu pengetahuan. Hadirlah tempat pengajaran, termasuk kursus-kursus Haji tambahan di mana berkesempatan. Adun berdoa semoga Allah memberi Hidayah dan Taufiq kepada semua dan insya Allah mendapat Haji Mabrur.

Sempena Penutupan Kursus Haji ini. Anugerah Cemerlang kepada enam pelajar SPM 2012 di Cheras Jaya juga diminta Adun sampaikan. Mereka ialah:

1) Iskandar 9 A
2) Nur Sabrina 10 A
3) Mohd. Saufi 9 A
4) Nazlin 11 A
5) Mohd. Ariff 10 A
6) Mohd. Hafiz 10 A

Semua mereka telah mendapat tawaran tempat melanjutkan pelajaran. Kebanyakan memilih bidang perubatan. Tahniah!

Sekian.

No comments:

Post a Comment