April 20, 2012

Mesyuarat Agung SRA Sungai Ramal Dalam Pilih Pengerusi PIBG Baru: Adun Sampaikan Beg & Buku

Sg. Ramal Dalam, 23 Jamadil Awal 1433 = 15 April 2012 (Ahad):

Kini musim Sekolah Rendah Agama (SRA) atau Sekolah Agama Integrasi mengadakan mesyuarat Agung dan kali ini mengadakan pemilihan AJK yang baru. Ada yang berlaku pertukaran pimpinan antaranya oleh kerana anak tidak lagi belajar di Sekolah kerana sudah tamat belajar atau kerana penarikan diri kerana memberi peluang kepada pemimpin yang baru. Demikianlah Adun dijemput oleh beberapa Sekolah bagi merasmikan mesyuarat agung di Sekolah berkenaan. Namun sebagaimana biasa selepas perasmian Adun tidak tunggu masa mesyuarat agung kerana takut mengganggu kebebasan perjalanan mesyuarat agung. Selepas perasmian Adun meminta diri untuk ke program yang lain.

Demikianlah pada hari ini Adun datang ke SRA Sungai Ramal Dalam, sebenarnya lebih lewat dari masa jemputan, kerana menghadiri beberapa program di tempat lain terlebih dahulu. Walau macam mana mesyuarat agung belum berjalan. Kehadiran Adun selain daripada perasmian diisi dengan acara tambahan.

Adun mengucapkan terima kasih kepada pihak Pengerusi PIBG Ustaz Kamsari Haji Nor dan Guru Besar Ustaz Mohd. Fadhlullah bin Suhaimi yang menjemput Adun merasmikan mesyuarat Agung SRA Sungai Ramal Dalam juga berterima kasih kepada ibu bapa yang datang begitu ramai bukan saja bagi menyertai mesyuarat agung, tetapi memberi semangat dan sokongan kepada anak-anak mereka, kerana pada hari ini juga diadakan penyampaian hadiah kecemerlangan. Dua daripada pelajar Sekolah ini mencapai keputusan Mumtaz. Walau macam mana, yang paling penting, Adun berpendapat, bahawa usaha dan sokongan ibu bapa terhadap anak-anak mempelajari ilmu agama adalah paling penting, lebih-lebih lagi jika ibu bapa bersama dengan Sekolah terus membimbing anak-anak dengan ilmu pengetahuan keagamaan dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Kita berharap pelajaran keagamaan yang dipelajari di Sekolah ini akan menjadi benteng dan perisai bagi anak-anak dari dipengaruhi unsur-unsur negative yang berada di keliling anak-anak. Pengajian agama Islam yang dapat membina akhlak dan perabadi anak-anak adalah lebih penting. Kita harap benteng dan perisai ini digunakan bukan saja semasa belajar di Sekolah ini, tetapi juga di dalam menempuh hidup mereka pada masa akan datang.

Peruntukan bagi pelajaran adalah penanaman modal bagi jangka panjang baik bagi bapa atau negeri dan Negara, iaitu menjadi anak atau warga Negara yang baik berakhlak mulia dan berpelajaran, sebab iti bagi kerajaan negeri memperuntukkan bajet tahunan bagi pendidikan sebagai priority utama. Untuk sekolah agama kita memperuntukkan bantuan tambahan sebanyak RM6 juta setahun, Manakala sebahagian dari zakat yang dipungut sebanyak RM320 juta (2012) sebahagian besar daripadanya untuk pendidikan dan keagamaan. Kerana dengan penanaman modal sedemikian yang menghasilkan warga berpelajaran dan baik, bukan boleh dinilai dengan wang ringgit, khususnya bila Negara dapat faedah dari rakyat yang berpelajaran dan berperibadi baik dan memberi kebahagiaan bukan saja kepada dirinya, tetapi masyarakat sekeliling, bahkan di mana mereka berada membawa kepada kebaikan.

Selepas menyampaikan ucapan perasmian, Adun menyampaikan anugerah cemerlang dan menyampaikan beg Sekolah sebanyak 100 bagi pelajar-pelajar berkelayakan serta buku Bangi Bandar Ilmu.

Dari maklumat yang diterima mesyuarat agung melantik saudara Shukor Atan menjadi Pengerusi PIBG dengan timbalannya Ustaz Dr. Idris Endut dengan Penasihat Guru Besar Ustaz Mohd. Fadhlullah bin Suhaimi, manakala Setiausaha ialah Ustazah Siti Zatusy Syamam binti Mohd Sabari. Kita mengucapkan terima kasih kepada AJK lama yang diketuai oleh Ustaz Kamsari Hj. Nor yang telah banyak menabur jasa kepada Sekolah selama ini dan kita berharap amanah yang diberi kepada AJK baru yang diketua saudara Shukor Atan akan membawa Sekolah lebih maju. Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment