March 24, 2012

Soalan Dan Jawapan, Apa Tindakan ? Faktor Hassan Ali: Terbaik Jangan Di Layan - Hari Kelima

Dewan Negeri, Shah Alam, 30 Rabiul Akhir 1433 = 23 Mac 2012

Hari ini merupakan hari kelima Sidang Dewan Negeri Selangor. Seperti semalam, maka sidang hari ini juga dipenuhi dengan jawapan-jawapan terhadap soalan mulut dan ucapan-ucapan.

Pada hari ini sebanyak 9 soalan telah sempat dijawab. Soalan-soalan mengenai Geran Selangor yang merupakan pertanyaan dari Y.B. Teluk Dato` (Tuan Philip Tan Cheen Swee). Skim Pemilikan Tanah dari Y.B.Morib (Tuan Hasiman bin Sidom - Adun Bangi turut buat soalan tambahan), tentang Pelaburan dari Y.B. Meru (Dr.Abdul Rani Osman) tentang Tanah Asrama Yayasan Selangor oleh Y.B Paya Jaras (Tuan Muhammad Bushro bin Mat Johar), Adun Bangi turut buat soalan tambahan, tentang Pusat Kebudayaan Cina dan Tamil dari Y.B. Kota Alam Shah (Tuan Monoharan), tentang Bantuan Blue Print dari Y.B. Lembah Jaya (Tuan Khasim bin Abdul Aziz) tentang kecurian pasir Dari Y.B. Dengkil (Dato` Marsum bin Paing) tentang Pelan Tindakan Perumahan Komuniti (Bekas Setinggan) dari Y.B. Taman Medan (Puan Haniza binti Mohd Talha) dan dari Y.B. Dusun (Tuan YB Ismail bin Sani) tentang Kebebasan maklumat.

Apabila masa soal jawab berakhir jam 11.00 pagi, maka masa untuk berucap bermula dengan ucapan dari Sungai Pelek (Y.B. Yap sambung dari semalam), diikuti oleh Bukit Antarabangsa (Y.B. Azmin bin Ali), dari Subang Jaya (Y.B. Hannah Yeoh) dan Dari Batu Caves (Y.B. Amirudin Shari). Kali ini tidak dihadkan masa berucap terpulang kepada persediaan dan kemampuan masing-masing.

Pada hari Isnin nanti (minggu depan) akan dibuat penggulungan bagi apa yang ditimbulkan oleh Adun-Adun selama ucapan dan perbahasan sejak lima hari yang lepas. Sebenarnya soalan dan jawapan yang dapat dijawab di dalam Dewan Negeri hanya sebahagian kecil dari soalan-soalan yang dihantar Adun-Adun yang jika setiap orang menghantar penuh – sepuluh soalan Lisan dan sepuluh soalan Tulisan, bererti lebih kurang 1,000 soalan tiba di Dewan Negeri, sedang jawapan yang dapat diberi lebihkurang 10 soalan sehari (agak banyak), maka soalan yang tak dapat dijawab amat banyak, walau bagaimana jawapan-jawapan bagi soalan-soalan yang tak sempat dijawab akan dijawab secara bertulis, termasuk soalan tulisan dan dihantar jawapan kepada penanya.

Sama dengan soalan-soalan ialah ucapan-ucapan yang disampaikan oleh Adun-Adun dalam sidang yang kali ini berkesempatan berucap adalah separuh dari ahli Dewan dan segala yang diucap dicatat dan dikeluarkan dalam hensert. Ucapan adalah bersifat maklumat, kritikan dan cadangan. Persoalannya, apa yang ditanya dan dijawab dan apa yang dicadang dalam ucapan ialah, sejauhmanakan diberi perhatian dan dilaksanakan oleh jabatan-jabatan dan pihak-pihak berkenaan ? Dalam sidang memang dihadiri oleh pihak jabatan-jabatan, PBT-PBT dan agensi-agensi. Ketara ianya lebih bersifat pendengaran dan lebih banyak berlalu begitu saja selepas Dewan Bersidang. Begitu juga pihak Exco yang menjawab dipersoalkan sejauh mana cadangan dan jawapan yang diberi diambil tindakan – dihantar kepada pihak berkenaan untuk diambil tindakan ? Adakah sidang sebagai routine biasa, datang mendengar dan menghilang ?

Sebab itu sewajarnya selepas Sidang semua perkara yang ditimbulkan dan releven hendaklah dicatat bagi diambil tindakan. Senarai catatan persoalan hendaklah dihantar kepada jabatan dan kepada penanya dan tindakan yang dibuat hendaklah diedar dan dibentang di dalam Dewan berikutnya. Jika ada perkara yang tidak diambil tindakan atau tidak puashati boleh dipersoalkan kepada Exco-Exco dan jabatan-jabatan. Dengan demikian apa yang ditimbulkan di dalam Dewan diambil tindakan dan dihormati, kalau tidak tidak berkesan dan hilang dengan berakhirnya Sidang Dewan.

Pada kali ini Dewan menghadapi situasi sedikit berlainan dengan kehadiran Adun Gombak Setia – Y.B. Dato` Dr. Hassan Ali sebagai Adun Bebas. Sebelum daripada ini dia telah banyak menjelajah menyebarkan kenyataan berhubung dengan kedudukan dirinya dan juga JATI, Ngo yang ditubuhnya. Kali ini beliau mendapat peluang bercakap di dalam Dewan yang mulia dan melanjutkan pandangan, kritikan dan tuduhan. Sikap beliau sebenarnya memasalahkan parti, kerajaan dan individu yang dikritik dan diserang. Respon dan jawapan yang dibuat terhadapnya, walaupun bersifat serangan menjadi publisiti baginya dan kedudukan baik di luar atau di dalam Dewan. Ini diambil kesempatan oleh musuh dan menjadi senjata bagi mereka menyerang parti, kerajaan dan individu. Dalam keadaan ini sikap yang terbaik ialah 'JANGAN DILAYAN'.

Sekian.

No comments:

Post a Comment