March 21, 2012

Laporan Sidang Dewan Negeri Selangor - Hari Kedua

Dewan Negeri Selangor, 27 Rabiul Akhir 1433 = 20 Mac 2012 (Selasa):

Selepas Perasmian Sidang Dewan Negeri Selangor hari pertama oleh Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, maka pada hari keduanya bermulanya perbahasan.

Sebelum dari Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih k e Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, ucapan takziah dan tahniah dirakamkan di dalam Dewan Yang Mulia.

Takziah untuk kematian Y.B. Tuan Edward Lee Po Lin (62) Adun Bukit Gasing pada 20 Disember 2011 yang lepas. Beliau meninggalkan seorang balu Puan Christine Lee dan 3 anak lelaki. Pihak kerajaan dan pembangkang mengucapkan takziah. Pada masa hayatnya beliau terkenal sebagai Pejuang Alam Sekitar – Mendesak supaya kawasan Bukit Gasing diwartakan sebagai kawasan hijau. Beliau juga bergiat di dalam Persatuan Penduduk. Pemergiannya adalah kehilangan bagi Dewan & penduduk. Takziah – semoga beliau beristirehat di dalam damai.

Tahniah pula ialah di atas perlantikan Y.B. Tuan Dr. Ahmad Yunus bin Khairi sebagai Exco Belia, Sukan dan Adat Resam Melayu. Dengan perlantikannya diharap bidang-bidang yang diamanahkan kepadanya lebih berjaya.

Terdapat beberapa usul selepas itu, iaitu perlantikan Y.B.Ahli Dewan Negeri Kawasan Kajang (Y.B. Lee Kim Sim) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Ahli Dewan Negeri Meru (Y.B. Dr. Abd. Rani bin Osman) sebagai AJK Kira-Kira Wang Awam Kerajaan. Perlantikan Y.B. Ahli Dewan Negeri Subang Jaya (Y.B. Puan Hannah Yeoh) sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas SELCAT dan perlantikan Y.B. Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar (Y.B. Dato Mohd. Shamsudin bin Lias) sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah.

Selepas itu tiba kepada sesi menjawab pertanyaan-pertanyaan. Sebanyak 13 soalan sempat dijawab mengenai berbagai topic seperti kesan dari Selangor Automative Belt kepada kawasan berdekatan, meter air pukal, Pusat Pemindahan Sisa Pepejal di bawah Worldwide Holding Berhad,, Sejauhmana kejayaan dengan slogan Selangor Shine, Pertanian Komersil, Kesalahan berhubung dengan Alam Sekitar, Bantuan Sekolah agama, Cina dan Tamil, Pembangunan semula Bandar, Sumbangan Kuil India pada tahun 2011, Biasiswa IPT Kerajaan Negeri, Kilang Haram di Selangor, PADAT, Tanah Kg. Sungai Buaya dan Wi-Fi percuma. Soalan-soalan di atas tidak termasuk soalan-soalan yang harus dijawab oleh Dato` Menteri Besar yang ditangguhkan jawapan keesokan hari, kerana beliau terpaksa keluar Dewan kerana tugas rasmi. Soalan Adun Bangi juga termasuk yang ditangguh untuk dijawab oleh Y.A.B. Dato` Menteri Besar. Namun Adun Bangi mengambil bahagian di dalam mngemukakan soalan tambahan mengenai Pertanian Komersi, Pembangunan Kawasan Bndar Lama agar tempat-tempat bersejarah tidak dimusnahkan dan diharap ada kerjasama di antara Perbadanan Permuziuman, Adat Melayu dan Warisan di dalam membuat penilaian.

Usul yang merupakan kemuncak ialah Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Kali ini ada perubahan di dalam menyampaikan ucapan, iaitu bukan dari Ketua Whip, sebaliknya penyampaian ucapan terawal ialah oleh Adun dari Sri Muda (Y.B.Tuan Mat Shuhaimi bin Shafie). Di dalam ucapannya beliau mengecam pihak pembangkang, tentang sifat hipokrit mereka di dalam melahirkan ketaatan mereka kepada Duli Yang Mulia Sultan dan menganggap mereka yang dari parti pembangkang itu adalah lebih bersifat menderhaka. Beliau menggalurkan episode-episod penderhakaan dari kalangan pemimpin pembangkang (BN) satu persatu. Ini membangkitkan kemarahan dari pihak pembangkang dan menyebabkan berlaku ketegangan di dalam Dewan.

Ucapan Menjunjung Kasih kedua disampaikan oleh Y.B. Meru (Y.B. Dr. Abd. Rani bin Osman). Beliau menekankan perlunya ikhlas dan kejujuran di dalam perjuangan, bukan bertujuan untuk mendapat pangkat dan kepimpinan. Beliau banyak menyelitkan di dalam ucapannya dengan ayat-ayat Qur`an dan Hadith. Pandangan beliau ini memberi ruang terhadap Ketua Pembangkang (Y.B. Satim) dan beberapa yang lain menyindir, bahawa Exco bahagian Agama yang sepatutnya di pegang oleh beliau sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor tidak diberi. Ini bererti kelemahan bagi Pas dan semacam ada ketidak percayaan terhadapnya. Namun menurut Y.B. Meru, di negeri-negeri lain adalah menjadi kebiasaan portfolio agama dipegang oleh Menteri Besar seperti Johor, Perlis dan lain-lain.

Berikutnya ialah ucapan dari Ketua Pembangkang sendiri dari Seri Serdang. Beliau juga mengkrrtik tentang perlantikan Exco Agama Islam yang diambilalih Dato` Menteri Besar dan memanggilnya sebagai Ustaz Abdul Khalid Ibrahim !. Apa yang diberi kepada Pas hanya Exco Belia dan Sukan dan Adat Resam Melayu. Beliau juga mengkritik tentang Manifesto Pakatan Rakyat dan mensenaraikan satu persatu yang dilaksana dan tidak dilaksana. Hari ini isu berkenaan pasir banyak dibicarakan, termasuklah oleh Ketua Pembangkang ini. Dalam ucapannya beliau banyak dihujani dengan soalan dan kritikan. Adun Bangi juga turun bangun lebih dari sekali menghujah dan mematahkan hujahnya. Beliau berhenti berucap ketiak lima minit lagi masa ditangguhkan sidang (4.30 petang). Ini memberi ruang seorang lagi berkesempatan untuk bercakap – sebenarnya menempah giliran untuk disambung esok. Peluang ini diambail oleh Y.B. Kampong Tunku (Y.B. Tuan Lau Weng San). Sebaik beliau memulakan percakapan tentang hasil lawatannya dan beberapa yang lain dari ahli Dewan ke London mempelajari perjalanan Dewan di sana, sidang ditangguhkan ke jam 10.00 pagi esok.

Sekian.

No comments:

Post a Comment