March 8, 2012

Adun Bangi Anjur Kejohanan Bola Sepak Veteran

BBB, 11 Rabiul Akhir 1433 = 04 Mac 2012 (Ahad):

Bidang sukan adalah bidang yang diberi perhatian oleh Adun Bangi. Berbagai pertandingan sukan dianjurkan sepanjang tahun yang melibatkan golongan anak-anak dan orang muda. Pertandingan paling utama ialah futsal, bola sepak remaja, badminton dan sepak takraw. Turut dianjurkan klinik bola sepak. Pada kali ini Lajnah Sukan Adun yang diketuai saudara Dahari Embong menganjurkan:

Kejohanan Bola Sepak Veteran 9 Sebelah

Veteran memaksudkan peserta yang masuk bertanding ialah mereka yang berumur 40 tahun ke atas. Pertandingan adalah terbuka. lklan telah dibuat melalui Blog Adun dan media lain bagi kejohanan berkenaan yang menawarkan hadiah:

Johan RM800
Naib Johan RM600
Hadiah Ke 3 RM400
Hadiah Keempat RM250

Bagi keselesaan pertandingan, padang bola yang dianggap standard ditempah, iaitu Padang Bola Institut Penilaian Negara (Inspen), kawasan institusi penyelidikan dan Latihan di Bangi. Pertandingan bermula dengan pendaftaran jam 7.30 pagi . Tawaran penyertaan telah menarik 10 pasukan menyertai pertandingan. Antara pasukan-pasukan ialah dari Semenyih, Bangi Tiga, Pasukan Kenari, Hitachi, Sungai Besi dan Cheras Perdana.

Pertandingan adalah secara lega dalam mana 10 pasukan ini bertanding sebanyak 4 kali bertanding bagi mendapat dua pasukan terbaik bagi pertandingan akhir.
Adun Bangi tidak berkesempatan membuka pertandingan pada peringkat awal, kerana mempunyai program-program di tempat lain, tetapi pergi ke Padang Inspen pada jam 10.00 pagi. Kehadiran Adun diiringi saudara Dahari dan disambut jawatankuasa.

Dan pertandingan ditangguh sebentar bagi upacara pembukaan. Dalam ucapan ringkas, Adun memaklumkan pada kali ini sengaja diadakan Pertandingan Kejohanan Bola Sepak Jemputan Veteran setelah pertandingan-pertandingan pada peringkat lain diadakan. Adun mengucapkan terima kasih kepada sepuluh pasukan yang memberi respond yang baik untuk pertandingan. Tanpa respond dari pasukan-pasukan yang disertai saudara-saudara tentulah Kejohanan Jemputan Veteren tidak dapat dilaksanakan. Kata Adun, ``Saya percaya penyertaan saudara melalui pasukan-pasukan yang menyertai pertandingan lebih digerak atas semangat sukan, bukan kerana hadiah yang sebenarnya tidak begitu besar. Atas semangat ini diharap pertandingan akan berjalan dengan lebih lancar dan baik. Adalah diharapkan juga pertandingan ini dapat mencungkil dan menyerlahkan bakat yang melayakkan bakat berkenaan mewakili kawasan di dalam kejohanan-kejohanan yang ditawarkan. Adalah tidak mustahil dari kalangan saudara lahir bakat bola sepak yang selama ini terpendam. Semoga ada Mokhtar Dahari baru Selangor atau melahirkan lagi bakat yang setanding atau lebih baik dari Safi Sali. Namun oleh faktor umur barangkali hasrat ini mungkin menjadi kekangan.

Selepas upacara pembukaan berlangsung acara bergambar beramai-ramai dilakukan. Kemudian Adun menemui pemain-pemain sebelum pertandingan kembali dimulakan.

Pada akhir pertandingan keputusan dicapai sebagaimana berikut:

Johan = Pasukan Kenari FC
Naib Johan = BIM A dari Sungai Besi
Tempat Ke 3 = BIM `B`dari Sungai Besi
Tempat Ke 4 = Sunway Semenyih
Selain dari hadiah wang tunai Johan disertai Piala Adun (Bagi Johan sahaja). Hadiah kepada semua ialah Medal.

Sekian.

No comments:

Post a Comment