February 6, 2012

PADAT Memenangi Tiga Hadiah Utama Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 1433H. Dirasmikan Oleh DYMM Sultan Selangor

Shah Alam, 12 Rabiul Awal 1433H. = 05 Februari 2012 (Ahad):

Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) memenangi tiga Hadiah Utama Anugerah (5 kategori Hadiah Tokoh dan 7 Hadiah Pertandingan) sempena Sambutan Maulidur Rasul s.a.w. Peringkat Negeri disempurnakan Pelancaran Sambutan Dan Pelancaran Bulan Dakwah oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Sultan Negeri Selangor dengan baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh dan Pemenang Pertandingan.

Tiga Hadiah Utama yang dimenangi PADAT ialah:

Hadiah Kategori Sepanduk Perarakan Terbaik Badan Berkanun

Johan - Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan (Perempuan)

Naib Johan - Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan (Lelaki).

Manakala satu lagi kategori Kontinjen Perarakan Terbaik Badan Berkanun

Tempat Ketiga: Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan (Lelaki)

Selaku Pengerusi PADAT kita mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah.

Bagi menyertai Sambutan Maulidur Rasul ini peserta-peserta dari berbagai daerah negeri Selangor tiba ke belakang Stadium Melawati seawal jam 7.00 pagi. Difahamkan lebih dari 120 kontinjen dan pasukan menyertai perbarisan dan pertandingan. Pihak pemimpin negeri berhimpun di bahagian hadapan yang diketuai oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor disertai Setia Usaha Kerajaan Negari Dato` Haji Mohammed Khusrin Bin Haji Munawi Pengerusi Sambutan, Pengarah JAIS Dato` Haji Marzuki bin Hussin , Exco-Exco, Adun-Adun, Pegawai-pegawai Tinggi Kerajaan Negeri dan Peringkat Daerah.

Perarakan bermula jam 10.00 pagi diketuai Y.A.B. Dato` Menteri Besar dan diikuti kontinjen dan pasukan-pasukan sambil bersalawat mengelilingi separuh dari bulatan kawasan luar Stadium Melawati memakan masa lebih kurang sejam dan masuk melalui pintu utama ke dalam stadium memenuhi ruang dalam stadium. Majlis di dalam stadium bermula selepas keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dengan semua hadirin berdiri hormat menyanyikan Lagu Negeri Selangor.

Majlis di isi dengan bacaan Ayat Suci al-Qur`an, sembah Ucapan oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Merangkap Pengerusi Sambutan yang memaklumkan bersempena dengan Sambutan Maulidur-Rasul serentak juga dilancarkan Bulan Dakwah Negeri Selangor. Berikutnya Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan Melafazkan Titah Pelancaran Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor dan Pelancaran Bulan Dakwah 1433H./2012M. diikuti ucapan ringkas Maulidur-Rasul oleh Dr. Muhammad Zahazan, persembahan-persembahan dan pengumuman Anugerah Khas (5 kategori) dan pengumuman pertandingan dari segi Sepanduk Perarakan Terbaik dan Kontingen Perarakan Terbaik. Majlis berakhir dengan keberangkatan Pulang Duli Yang Mulia Tuanku Sultan Negeri Selangor jam 12.30 tengahari.

Sekian.

No comments:

Post a Comment