February 10, 2012

Ke PADAT Mendapat Taklimat Dan Memberi Pendapat

Shah Alam, 16 Rabiul Awal 1433 = 09 Februari 2012 (Khamis):

Tanpa mengubah segala program yang telah sedia disusun Adun selaku Pengerusi PADAT memberi pendapat, di samping mendapat maklumat program-program yang sedang berjalan. Hadir bersama pertemuan ialah Puan Azlinda Azman Ketua Pegawai Exekutif PADAT, Pegawai-pegawai seperti saudara Adnan, Arif dan Encik Ahmad Hakimi selaku Penceramah dari Universiti Malaya dan warga kerja PADAT. Difahamkan terdapat 15 senarai jawatankuasa bertindak bagi menggerakkan kerja-kerja di PADAT.

Dalam pertemuan Adun mencadang tanpa merubah bahawa Akronim PADAT hendaklah dilihat lebih daripada Akronim lahir bermaksud Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan kepada satu lapisan bersifat gagasan yang akronimnya Perbadanan Permuziuman Adat Melayu dan Warisan Selangor berasaskan (akronim hujung) A = ADAB & T (TAMADUN). ADAB merujuk kepada bidang yang subjektif seperti akhlak, nilai, seni, rohani dan kemanusiaan, manakala Tamadun adalah merujuk kepada kemajuan tampak seperti perkembangan kota, kemajuan industri, peningkatan ekonomi dan sebagainya. Atas gagasan ini PADAT memberi makna lebih luas, bersifat terarah dan lebih bersifat ilmiah.

Berasaskan pendekatan di atas Adun mencadangkan

I. ada tiga bidang ketara dan utama yang boleh memprojekkan Jati Diri dan Identiti negeri Selangor, iaitu:

1) Selangor Hub Pendidikan dan Kerohanian. Keunggulan keilmuan bermula pada zaman Sultan Alauddin Sulaiman Shah (1898-1938), Baginda mempunyai hubungan baik dengan ulama pada zamannya. Baginda mendirikan masjid Alauddin, mengarang buku dan menyampaikan Khutbah. Pada zaman Sultan Hishamuddin pula Baginda menghadiahkan Istana Alam Shah sebagai wakaf bagi pengajian Tinggi Kolej Islam. Semua Raja Melayu hadir ke Majlis Perasmian Kolej Islam 1956. Kolej melahirkan ramai tokoh ulama`. Lanjutan dari Kolej Islam melahirkan KUIS, UIAM, bahkan USIM. Dan pada zaman Sultan Sharafuddin Idris Shah lahirnya Unisel , Kuis dan INPEN.

2) Bidang Ekonomi dan Pentadbiran bermula dari hasil bijih timah dan perusahaan. Turut sama berkembang perhubungan, pengangkutan dan perkhidmatan. Imej ini ketara di Selangor dan perlu ditonjolkan.

3) Bidang Budaya dan Kesenian

Selain dari membicarakan tentang budaya dan kesenian Melayu, patut juga dibicarakan tentang budaya multirasial yang menjadi ciri ketara di Selangor.
Bidang budaya amat luas dan memerlukan kepekaan dari segi intelektual, sosiologi, kesenian dan estetika. Contoh melibatkan istana, masjid, rumah, makanan, pakaian (busana), muzik, permainan, kenderaan, hiasan, perubatan dan berbagai lagi.
Manakala yang lebih bersifat subjektif, selain dari memerlukan keilmuan menuntut dari pengkaji dan yang menghayatinya kemampuan seni, daya intuitif dan estetika seperti persoalan berhubung dengan bahasa, sastera, pemikiran, kepercayaan, seni bina, nilai indah, budi, akhlak, kasih-cinta dan seni khat (kaligrafi).

II. Aspek yang penting diberi perhatian ialah Penerbitan. PADAT berperanan memulihara khazanah budaya, mengkaji dan menyebarkan maklumat. Antaranya melalui penerbitan. Berbagai jenis penerbitan yang boleh diusahakan penerbitan menurut kesesuaian seperti buletin, monograf, katelog, buku, risalah, rakaman, blog, video, film dan sebagainya. Kita difahamkan pihak Muzium sedang menguruskan penerbitan buku berkenaan Masjid Di Selangor dan 8 penerbitan Jurnal Seri Alam telah diterbitkan di bawah Lembaga Muzium Negeri Selangor.

III. Aspek penting ialah penyelidikan

Penyelidikan melibatkan cari gali, mengadakan seminar, kolokium, bengkel, diskusi, menemui tokoh, wawancara, lawatan, dan berbagai cara bagi mendapatkan maklumat.

IV. Di Muzium sendiri perlu ada Perpustakaan yang berhubung dengan permuziuman untuk dijadikan bahan rujukan oleh warga tenaga kerja dan penyelidik-penyelidik. Kita dimaklumkan setakat ini memang wujud di Padat berhubung dengan perpustakaan, tetapi dinamakan Pusat Sumber.

V. Muzium adalah merupakan bahan ilmu dan maklumat. Antara fungsinya ialah memasyarakatkan muzium dan menyebarkan maklumat. Salah satu peranan Muzium ialah mengadakan pameran bagi menyebarkan maklumat berkenaan. Pameran di muzium adalah bersiri. Sebab itu jadual pameran untuk setahun dikenalpasti berhubung bidang-bidang yang mau dipamerkan. Kita difahamkan pihak Muzium selama ini dan kini juga mengaturkan pameran secara berterusan, sama ada di Muzium, secara bergerak dan kerjasama dengan agensi-agensi yang lain, namun kegiatan pameran perlu lebih agresif dan attractive.

VI. Warga kerja bagi sesebuah institusi atau badan seperti PADAT adalah amat penting. Aktif atau tidak PADAT dan Muzium terletak pada kerja berpasukan mereka. Sebab itu usaha meningkatkan kualiti tenaga Insan perlu dilakukan melalui kursus, motivasi, insentif, suasana tempat kerja dan sebagainya.
VII. Pengiktirafan, bukan dimaksud kepada warga kerja sahaja, tetapi kepada tokoh-tokoh yang dikira berjasa dalam berbagai-bagai lapangan yang melayakkan mereka menjadi sebahagian dari bahan maklumat di muzium. Contoh tokoh sukan yang mengharumkan Selangor dan Negara, kepimpinan misalnya di dalam bidang politik, pentadbiran, sukarelawan dan berbagai lagi.

VIII. Kesimpulan: Apa yang diperkatakan dari segi visi dan misi, mungkin telah dan sedang dilaksanakan, tetapi jika belum dilaksanakan, maka ianya sebagai cadangan yang boleh dinilai untuk diterima. Tetapi sekurang-kurang ianya menjadi panduan kerja yang lebih bersifat terarah dengan cadangan peruntukan yang bersesuaian.

Sekian.

No comments:

Post a Comment