January 16, 2012

Perasmian Mutiara Aiman Football Club (MAFC) & Penyampaian Jersey, Bukit Mutiara Selepas Ke Pasar Kajang

Bukit Mutiara, Kajang, 21 Safar 1433 = 15 Januari 2012 (Ahad):

Jam 10.00 pagi ini Adun berada di kawasan rumah pangsa, Bukit Mutiara, Kajang bersama antaranya saudara Dahari Embong Pengerusi Lajnah Sukan Adun Bangi, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan Adun, saudara Harun Aminurrashid AJK Lajnah Kebajikan, Puan Mariah, En. Abdul Aziz Tahir Pengerusi MAFC, Puan Suhaili Setiausaha MAFC, En. Asari selaku Jurulatih, ibu bapa, ahli-ahli kelab dan anak-anak yang hadir.

Kami datang ke sini selepas turun ke Pasar Kajang pada pagi ini kerana mengedarkan limau dan risalah-risalah sempena dengan menjelang kehadiran Tahun Baru Cina. YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang djangka datang, tetapi tidak dapat datang. Sebanyak 30 peti limau dapat diedarkan kepada semua kaum sempena Tahun Baru Cina. Turut diedarkan ialah akhbar Selangor Kini, Buletin Bangi dan Risalah Penerangan Mengenai – Siapa dalang menyebabkan berlaku mogok sampah dan pemulihan yang sedang dijalankan.

Kehadiran kami ke Bukit Mutiara, kerana sebelumnya MAFC telah memohon dari Adun peruntukan bagi membeli Jersey bagi kelab di atas. Saudara Dahari menghubungi kelab di atas dan Adun bersetuju meluluskan sejumlah RM500/= bagi membeli jersey bagi kelab tersebut. Adun datang bersama pengiring-pengiring bagi menyaksikan Kelab MAFC dan mempastikan sejauh mana berjalannya Kelab berkenaan dan kesesuaian permohonan dibuat.

Menurut En. Abdul Aziz Tahir Pengerusi Kelab, bahawa kelab telah ditubuhkan pada 29 September 2011 dengan keahlian kini berjumlah 53 orang dengan yuran paling minimum (RM10.00), Ahli-ahli iaitu:

1) Bawah 10 tahun seramai 35 orang

2) Bawah 12 tahun seramai 18 orang

Setakat ini ruang di tepi rumah pangsa 80 unit di sini dijadikan kawasan medan latihan ahli-ahli kelab untuk Street Soccer, tapi untuk latihan pertandingan kelab menggunakan padang di Taman Jasmin berdekatan.

Menurut Jurulatih Pasukan MAFC En. Asari, ``Setakat ini MAFC telah menghantar dua pasukan bagi pertandingan futsal di bawah 10 tahun anjuran Zon 23 MPKj. Pasukan yang diketuai Keptennya, iaitu Mohd Putera Izzaqi Amsal bin Asari berjaya menjadi johan pertandingan.

Dalam ucapan perasmian Kelab, Adun memuji pihak AJK yang dipengerusi oleh Encik Abdul Aziz Tahir dan juga Jurulatih En. Asari yang dengan sukarela membimbing anak-anak di Pangsapuri Bukit Mutiara melalui MAFC. Dengan ini anak-anak dapat dihimpun dan dapat bergiat di dalam sukan baik futsal atau streetsoccer. Dengan demikian anak-anak tidak menghabiskan masa kepada yang tidak berfaedah dan insya Allah jauh dari masalah gejala sosial. Adun berharap pihak AJK mengadakan program tahunan yang dilaksanakan. Adun sedia membantu keperluan jika dikemukakan insya Allah. Dengan lafaz Bismillahi`r-Rahmani`r-Rahim Adun rasmikan penubuhan MAFC dan Penyerahan Sumbangan Jersey.

Berikutnya Adun menyampaikan sijil & sagu hati kepada pasukan yang memenangi Pertandingan Futsal padsa 18.12.2011 yang lepas dan pasukan yang menyertai. Selepas itu Adun saksikan demonstrasi pertandingan Streetsoccer di medan perumahan dan kemudian meminta diri selepas minum dan bergambar beramai-ramai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment