January 6, 2012

Pasukan Street Soccer DUN Bangi ‘B’capai sasaran ke separuh akhir

Pasukan DUN Bangi ‘B’ Berjaya mencapai sasaran ke separuh akhir dengan mendapat tempat ke-4 dalam Pertandingan Street Soccer anjuran Pejabat Pengerusi Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor pada 31 Disember 2011 yang lalu. Sementara satu pasukan lagi berjaya mara ke suku akhir. DUN Bangi telah menghantar 2 pasukan ke pertandingan tersebut yang disertai sebanyak 18 pasukan yang mewakili sebahagian DUN-DUN di negeri Selangor. Pertandingan yang bermula pada jam 9.00 pagi itu diadakan di dataran Shah Alam bersempena dengan program Generasi Idaman Selangor dan Kempen Anti Zina 5. Kedua-dua pasukan yang mewakili DUN Bangi adalah merupakan johan Pertandingan Futsal DUN Bangi sebelum ini.

Menurut Sdr Dahari selaku Pengerusi Lajnah Sukan DUN, sasaran mara ke separuh akhir telah tercapai dengan pencapaian pasukan DUN Bangi ‘B’ di tempat ke-4 membolehkan pasukan tersebut membawa balik hadiah wang tunai sebanyak RM300 dan medal kepada setiap pemain. Menurut Pengurus kedua-dua pasukan Dun Bangi pula iaitu Sdr Ibrahim Chia Abdullah, sekalipun pemain agak kurang biasa dengan permainan street soccer kerana mempunyai sedikit kelainan berbanding futsal, namun pemain telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dan persefahaman yang baik semasa perlawanan.

Keputusan penuh ialah :
Johan – New Year FC (Menerima RM1000 dan medal)
Naib Johan – Medan 32A FC (Menerima RM700 dan medal)
Dun Sg Air Tawar – Tempat ke-3 (Menerima RM500 dan medal)
DUN Bangi ‘B’ - Tempat ke – 4 (Menerima RM300 dan medal)

ADUN Bangi pula merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan Bangi ‘B’ kerana berjaya menempatkan diri dalam kelompok 4 pasukan terbaik. ADUN juga akan sentiasa memberi sokongan agar pasukan tersebut dapat mewakili DUN Bangi dalam pertandingan-pertandingan anjuran kerajaan negeri dan agensi-agensi luar pada masa akan datang.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh YB Dr Halimah Ali, Pengerusi Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor sekitar jam 4.00 petang.

Program Street Soccer tersebut adalah salah satu aktiviti yang dianjurkan sepanjang hari tersebut termasuk Seminar GeMS Nisa’ Selangor, Pertandingan Bola Jaring, XPDC dakwah di 9 daerah dan diakhiri dengan acara kemuncak Konsert dan Santai bersama Ustaz Azhar Idrus dan Raja Lawak Zizan. Diangarkan seramai 80,000 pengunjung membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam bagi menyaksikan program tersebut yang berakhir dengan countdown tahun baru dengan bacaan Asma’ul Husna dan bacaan doa oleh Ustaz Azhar Idrus.

Menurut Dr Halimah, program sehari suntuk itu sangat berjaya dan merupakan pendekatan baru dalam menarik golongan muda menyambut awal tahun baru secara lebih terkawal, sopan dan soleh.

No comments:

Post a Comment