January 5, 2012

Berkias Makna Antara Mencecah Madu Dan Bermadu - Anekdot

BBB, 07 Safar 1433 = 01 Disember 2012 (Ahad):

Pada pagi hari awal tahun 2012 ini kami turun ke Pasar Tani bertempat di halaman bangunan PKNS. Sesudah selesai mengedarkan Kalendar tahun baru, akhbar Selangor Kini dan Buletin Bangi, kami mencari gerai minuman bagi menghilangkan penat mengedar bahan-bahan di atas, serta menghilangkan dahaga.

Dalam perjalanan mencari gerai minum, tiba-tiba kami dipelawa oleh seorang penjual madu singgah ke gerainya untuk merasa madu yang dijualnya. Dia menyudukan madu di dalam bekas plastic dengan sudu plastic bersaiz kecil dan berkata,

"Cuba rasa." Tanpa bersoal panjang aku mengambilnya, membaca bismillah dan menyuapkan ke mulut. Seketika aku lantas bertanya, "Mengapa pahit?" dan menambah. "Bukankah madu biasanya manis? Penjual madu itu tersenyum dan berkata kepadaku dan teman-teman bersama.

"Memang madu biasanya manis, tetapi ada yang pahit, bahkan hakikatnya ramai yang lebih merasa pahit dari manis bila bermadu sebagaimana tuan makan ini." Terdetik di hatiku, "Berfalsafah pula penjual madu ini!"

"Adakah sebarang campuran?" aku bertanya.

Penjual madu itu menjawab, "Tidak, madu ini adalah madu tualang yang diperoleh dari pokok-pokok tinggi di tengah-tengah lebat hutan belantara, seperti di negeri Pahang."

"Apa istimewanya?" aku bertanya

"Khasiatnya tinggi dan asli. Madu ini, ibarat perit kehidupan, banyak memberi pengajaran. Demikian madu tualang ini dikumpul secara bersusah payah oleh lebah madunya dari berbagai-bagai bunga hutan dan menjadi penawar bagi banyak penyakit," katanya dan aku mengangguk mengiakan. Turut sama kawan-kawan memerhati madu itu.

Sebagai seorang peniaga yang mahu memikat pelanggannya, penjual madu itu dengan sudu yang baru menyudu pula ke satu bekas madu yang lain dan menyuakan kepadaku supaya mengecap madu yang baru dihulurkan. Aku menjawab, "Cukuplah dengan apa yang telah dirasa tadi," sambil menolak suaan madu kedua itu. Tapi kata penjual madu itu,

"Tidak dinamakan madu, jika hanya satu!" Ungkapannya membuat kami ketawa. Atas desakan dan hujahnya aku menerima sudu kedua yang dipelawa dan meminumnya. Sesudah mengecap dan mengamati rasanya, aku berkata, "Oh, yang ini manis dan sejuk rasanya, jauh bezanya dari yang pertama." kataku kepada Penjual itu.

"Begitulah hakikat bermadu, walaupun dua-dua madu, tetapi hati budi memang biasanya berlainan dan jarang bersamaan. Sebagaimana dua perbezaan rasa madu tersebut, madu tualang warnanya hitam dan yang baru ini sejuk berkaca dan warnanya kekuning-kuningan."

"Madu apa pula ni, dan apa khasiatnya, "aku bertanya.

"Ini madu dari bunga-bunga pokok rotan dan khasiatnya lebih tinggi." jawab penjual madu itu dan menambah, "Madu ini sebenarnya amat sukar didapati dan harganya tentulah lebih mahal!"

Aku bertanya, "Adakah setiap orang ditawarkan mengecapi kedua-dua jenis madu?" Jawab Penjual madu itu, "Banyak jenis madu, sebagaimana banyak orang boleh bermadu, tetapi tidak semestinya dia sanggup bermadu." Tambah Penjual madu itu, membuat kami mengaguminya dengan ungkapan-ungkapannya yang bernas. Beliau menambah, "Kita lihat dan tawarkan menurut kesesuaian, yang penting bagi penjual ialah laku!" "Adakah yang merasa tawaran madu lebih ramai menerima membeli madu atau sebaliknya?" tanyaku. Penjual itu tersenyum dan menjawab, "Lebih banyak yang tidak membeli dari membelinya."

"Tapi tidakkah merugikan?" Aku bertanya balas.

"Kita memakai falsafah, merasa itu lebih meyakinkan dari hanya mendengar dan melihat," katanya.

Aku sengaja menbolak kepada ke lapisan maksud yang lain,

"Berat betul, kalau nak bermadu, tidak boleh setakat mengangan-angan tapi kena rasa dan praktikal. Untung sabut timbul; untung batu tenggelamlah nampaknya!" Penjual madu ini nampaknya bukan sebagai penjual biasa, ia membalas dengan lapisan makna yang lebih mendalam. Katanya,

"Demikianlah hakikatnya, jarang yang bermadu, benar-benar merasa dan menikmati madu, tetapi yang dirasa adalah kepahitan madu!"

Merasa aku kepatahan hujah, aku mengalihkan pandangan dan bertanya, "Itu setakat dua madu yang memberi erti benar-benar bermadu, tapi apa pula istilah jika sampai yang dirasa tiga dan empat madu? Dia tersenyum dan merenung dengan sedikit lambat menjawab, "Memanglah banyak perkara, banyak merasa, tetapi semuanya bukan percuma dan perlu usaha. Untuk tiga madu, dikenali dengan 'Madu Tiga' sebagaimana ada filem P.Ramli yang berjudul sedemikian. Banyak masalah yang dihadapi oleh yang bermadu tiga, apalagi yang bermadu empat." Aku bersama pengiring-pengiring ketawa. Tetapi bagiku agak sukar untuk mencari ending dan ingin menolak dengan baik untuk tidak membeli madu-madu yang ditawarkan.

Sebenarnya duit yang ada di dalam poketku cukup untuk membeli minuman untuk kumpulan kami yang datang, sedangkan sebotol madu kecil tualang berharga RM30/= , RM50 madu rotan dan lagi lebih besar lagi lebih mahal. Lagi pula masih ada di rumahku madu-madu yang dibeli, masih belum habis digunakan.

Dengan rasa malu bagi menolak dari membeli madu-madu yang ditawarkan aku berkata,

"Sebagaimana dikatakan tadi mereka yang menerima mengecap madu, sebenarnya lebih ramai yang tidak membeli dari yang membeli, saya minta maaf, nampaknya saya adalah salah seorang yang tergolong dalam kategori tidak membeli – Maaf" kataku.

Jawab penjual madu itu secara spontan, "Tidak mengapa, perkara biasa." Tambah penjual madu yang intelektual itu, "Kemesraan dan kemanisan pergaulan tuan sebenarnya lebih manis dari madu yang saya jual!"

Nampaknya Penjual Madu ini seorang yang petah berhujah dan tidak kehabisan modal sehingga kami beramai-ramai memohon diri menuju ke warung minuman yang agak jauh sedikit dari tempat tersebut.

Sekian.

No comments:

Post a Comment