December 29, 2011

Kahwin Dua Pasangan Pengantin Di Rumah Kenangan Sungai Ramal Luar

Sg. Ramal Luar, 29 Muharram = 25 Disember (Ahad):

Rumah Kenangan yang prihatin terhadap anak-anak yatim, miskin, ibu tunggal dan warga emas yang uzur hari ini menjalankan acara perkahwinan dua beradik yang tinggal di rumah kenangan yang menampung penghuni seramai 70 orang itu. Pasangan berkenaan menurut Dr. Marzuki selaku Pengerusi dan Bapa bagi penghuni-penghuni Rumah Kenangan tersebut ialah: En. Shawaluddin bin Haji Harith dan Cik Rohaya bt. Haji Harith dengan pasangan masing-masing. Tamu-tamu terpilih dijemput menghadiri majlis perkahwinan – termasuklah Adun Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar, Tuan Haji Mohd Yusof Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar. Turut hadir ibu bapa bagi pengantin dua beradik iaitu Haji Harith bin Norbit dan Hajah Rom bt. Musa. Hadir sama Mr. Fong dan keluarga yang menurut Dr. Marzuki banyak memberi sumbangan terhadap Rumah Kenangan.

Ketibaan Adun bersama Ketua Kampung dan Tuan Nazir disambut dengan kompang dan iringan salawat dari halaman ke dalam kawasan Rumah Kenangan. Penghuni-penghuni rumah kenangan, terutama yang terlibat dengan program berpakaian seragam. Walaupun Majlis Sempena perkahwinan dua pengantin yang tinggal di Rumah Kenangan, mereka nampaknya bukanlah menjadi fokus keraian, sebaliknya mereka sama sebagaimana penghuni-penghuni lain menyambut dan mengendalikan acara-acara – termasuk menjadi juruacara majlis. Semua program pula adalah disusun dan dikendalikan oleh penghuni-penghuni Rumah Kenangan.

Sebelum Majlis Jamuan diadakan majlis ringkas dengan persembahan pertunjukan silat dari anak-anak penghuni Rumah Kenangan, nasyid dan lakonan. Adun dalam ucapan perasmian mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada dua pasang mempelai yang Adun difahamkan ini julung-julung kali Majlis Perkahwinan dijalankan di rumah Kenangan berkenaan. Adun melahirkan kekaguman terhadap usaha pihak Pengerusi Dr. Marzuki dan pendukung-pendukung Rumah Kenangan yang gigih berusaha dan berdikari dengan mengadakan perusahaan bengkel, construction dan kerja-kerja tangan serta bimbingan terhadap pelajar-pelajar. Adun juga mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar dari Rumah Kenangan yang mencapai kepujian di Sekolah-sekolah yang mereka belajar. Contoh pelajar yang belajar di Sekolah Leftenan Adnan mendapat Anugerah Mas terbaik Akademik dan Syakhsiah, manakala Sekolah di Putra Jaya Hadiah Akhlak Terpuji, manakala Sekolah Tinggi Kajang juga Akhlak Terpuji dan di Sekolah Jalan Bukit sebagai Pelajar Contoh. Adun mencadangkan pihak Masjid Haji Mat Saman bakal dibuka Kelas Tahfiz diserapkan sama pelajar-pelajar dari Rumah Kenangan, agar mereka menjadi contoh dari segi disiplin dan akademik.

Sebelum dari itu Tuan Haji Mohd. Yusof Ketua Kampung mengucapkan tahniah kepada kedua pasangan mempelai dan menawarkan sebarang khidmat yang diperlukan oleh Rumah Kenangan. Pada Akhir majlis ialah jamuan beramai-ramai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment