December 28, 2011

Berita Dari Pejabat Daerah Hulu Langat: Isu Tanah , PKNS Tidak Hiraukan Bantahan !

BBB, 02 Safar = 27 Disember (Selasa):

Pada bulan Disember adalah bulan terakhir bagi satu-satu tahun – termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah Hulu Langat yang dihadiri berbagai-bagai jabatan. Maka mesyuarat pada bulan ini adalah mesyuarat akhir bagi tahun ini (2011). Tidak kurang pula ianya merupakan bulan penilaian dan penutup kira-kira, maka dibuatlah penilaian, misalnya perstasi perbelanjaan bagi Adun, Ahli Parlimen dan Ketua Kampong berdasarkan peruntukan yang diuntukkan bagi mereka. Pada umumnya hampir kesemuanya telah membelanjakan peruntukan antara 80 – 95%.

Perkara yang popular dibicarakan pada mesyuarat kali ini ialah berhubung dengan banjir kilat yang berlaku di Kajang pada Jumaat 2 Disember 2011 yang mengakibatkan banjir juga berlaku di Sungai Tangkas dan Kampong Bangi. Pihak JPS menjawab oleh kerana hujan lebat lebih dari kebiasaan, menyebabkan saliran sungai tidak dapat menampung volume air, ditambah dengan kesempitan laluan, halangan jambatan dan bottleneck di tepi warung-warung di saliran di Bandar Kajang. Oleh kerana adanya perjanjian antara pihak MPKj dengan pihak pemilik-pemilik warung, maka ianya tidak boleh diperlebarkan sungai sehingga tempoh perjanjian 2015. Hujah ini dikritik ioleh Ahli Parlimen Hulu Langat yang sama hadir, menurutnya, ``Jika kesempitan menyebabkan banjir, tidakkah wajar dibuat rundingan memendekkan perjanjian, agar peluasan Sungai dapat disegerakan sebelum 2015 ?.

Adun Bangi menimbulkan pertanyaan kepada pihak JKR, tentang pihak manakah yang menurap semua jalan-jalan utama di Bandar Baru Bangi dan di tempat-tempat lain di Dun Bangi, adakah oleh pihak Persekutuan atau oleh pihak negeri. Wakil JKR dalam mesyuarat menegaskan bahawa jalan-jalan yang sedang dan sudah diturap dengan begitu banyak itu adalah dari peruntukan negeri. Jawapan ini adalah bersamaan dengan pertanyaan Adun kepada pegawai yang mengawasi penurapan jalan tempoh hari, bahawa syarikat yang menurap adalah pihak Kumpulan Perangsang negeri Selangor. Adun membuat tinjauan mutakhir dua hari lepas terhadap kerja-kerja melebarkan jalan bagi bulatan dihadapan tol Bandar Baru Bangi bagi memudahkan laluan yang pada waktu puncaknya berlaku jammned terutama pada waktu pagi dan petang hari-hari bekerja.



Sebenarnya ini ialah perluasan kali kedua selepas perluasan yang pernah dibuat sebelumnya. Dengan perluasan ini mengurangkan kesesakan dan lebih melancarkan perjalanan. Kita mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor dan pihak JKR yang memilih dan menumpukan penurapan hampir ke seluruh jalan-jalan utama Bandar Baru Bangi dan jalan-jalan yang lain di Dun Bangi.




Dalam perbicangan juga Adun menimbulkan tentang perumahan terbengkalai Apartment Kelisa Ria, Kg. Sungai Tangkas, di Jalan Reko, Mukim Kajang oleh Syarikat Pemaju, T.J. Plaza Sdn. Bhd. melibatkan 500 unit rumah pangsa. Namun pihak MPKj tidak dapat memberi jawapan memuaskan selain dari memaklumkan projek berkenaan sudah siap 70%. Namun Adun menyebutkan bahawa projek berkenaan diisytiharkan sebagai terbengkalai sejak Julai 2011. Adun juga menimbulkan tentang Asrama Sibertel yang terbiar dan rosak, perkara ini nampaknya di luar maklumat MPKj dan perlu kepada masa untuk penyiasatan sebelum diambil tindakan.


Dalam perbincangan itu Adun juga timbulkan, bagaimana terdirinya bangunan berderet di tepi bulatan ke kiri UKM di belakang papan-papan iklan yang mencacatkan pandangan dan membahayakan, kerana ianya berada di bawah rintisan cable TB yang Hihgly Tension. Adun mengingatkan tempat ini pernah dipohon oleh beberapa pihak yang berminat, kerana kepentingan komersil tanpa memikirkan dari segi kepentingan alam sekitar dan rekreasi, Adun dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi tidak menyetujuinya. Tiba-tiba mengapa kini secara senyap-senyap dan diam-diam di luar makluman dan tidak pernah di bawa ke mesyuarat penyelarasan, tiba-tiba naik bangunan berderet ? Pihak wakil PKNS dalam Mesyuarat J/K Kerja Tindakan Daerah memaklumkan, bahawa tanah berkenaan adalah milik PKNS yang dijual kepada WCB Construction Sdn. Bhd. Jelaslah tindakan menjualnya tanpa mengira ketidaksetujuan Adun dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Ianya amat mencacatkan pandangan dan membahayakan, kerana ianya berdekatan dengan cable letrik yang tinggi powernya. Kita menginginkan kawasan keliling Bulatan Ke UKM menjadi lokasi daya tarikan pandangan yang indah dan menarik, dihiasai dengan pohon-pohon dan bunga-bungaan dan dibangunkan logo `Bangi Bandar Ilmu` sesuai bulatan mengarah ke UKM, German Malaysia Institute juga mengarah Seksyen Satu, Tiga dan Empat Bandar Baru Bangi. Kita mau tempat itu menjadi lokasi seni taman yang menarik. Malangnya kepentingan komersil lebih dipentingkan dari menjaga alam sekitar dan membangunkannya sebagai satu lokasi menarik. Sesungguhnya kepentingan komersil menumpulkan daya imaginasi dan kreativiti yang seharusnya ada pada pihak yang menyusun kedudukan landscaping dan seni taman di Bandar Baru Bangi. Kita berharap perlu disiasat mengapa kelulusan diberi tanpa memikirkan bantahan, sensitiviti dan kepentingan masyarakat.

Perlu diperingatkan bahawa, Bandar Baru Bangi kini mempunyai tanah terhad untuk dibangunkan, sebab itu pihak berkepentingan dari segi komersil dan PKNS sendiri mengintai-ngintai di mana reja-reja tanah yang ada untuk diguna bagi kepentingan komersil, apa lagi jika ada pula yang berminat yang tentunya dengan tawaran harga yang tinggi, kita juga membawa satu contoh lagi, satu kawasan tanah kosong lebih kurang setengah ekar berdepan dengan Dewan Orang Ramai di Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi, tempat ini wajar dikosongkan atau lebih sesuai dijadikan gelanggang sepak takraw atau basketball/volley ball, tiba-tiba sedang kita berusaha untuk mendirikan masjid di tapak masjid di situ, naik iklan di tapak tanah setengah ekar untuk didirikan unit-unit perumahan.

Ini menyebabkan Adun dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi mengunjungi PKNS berbincang dan menghantar surat bantahan, bahawa tanah berdepan Dewan Orang Ramai dan di tepi tapak masjid itu tidak sesuai didirikan perumahan. Tetapi nampaknya PKNS lebih mementingkan komersil dari kepentingan alam sekitar dan kepentingan masyarakat. Tanpa mempedulikan bantahan Adun dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi pihak PKNS menjual dan membenarkan Syarikat mendirikan perumahan yang sememangnya menyakitkan pandangan dan mencacatkan kedudukan Dewan Orang Ramai dan masjid yang bakal didirikan.


Bagi mereka yang tinggal di mana-mana kawasan di Bandar Baru Bangi dan ada reja-reja lebihan tanah yang belum dibangunkan sepatutnya dijadikan kawasan lapang dan rekreasi hati-hati kemungkinan akan diceroboh untuk diisi dengan pembangunan bangunan ! Di Bangi kini banyak pihak yang laparkan tanah !



Sekian.

No comments:

Post a Comment