November 28, 2011

Sambutan Awal Muharram Sempena Hijratur-Rasul Peringkat DUN Bangi

BBB, 30 Zulhijjah = 26 November (Sabtu):

Petang ini kebanyakan masjid dan surau mengadakan Majlis Sambutan Awal Muharram 1433 H. Adun Bangi juga mendapat beberapa jemputan bagi menghadiri majlis berkenaan. Pihak Adun Bangi juga mengadakan acara sambutan Awal Muharram yang juga dikenali Sambutan

Hijratur-Rasul s.a.w. Pada kali ini Surau Taman Jasmin menjadi tempat pilihan bagi sambutan pada peringkat Dun Bangi. Oleh yang demikian Adun terpaksa mengutamakan sambutan pada peringkat Dun.

Majlis menyambut Awal Muharram yang juga sempena Hijratur-Rasul bermula dari petang sebelum maghrib dihadiri selain dari Adun, ialah Sdr. Adram Musa Ahli MPKj Zon 22, Tuan Haji Zahar Jafri Pengerusi Surau Taman Jasmin, sdr. Azmi Ahmad Pengerusi Urusan Masjid-Surau Adun Bangi, Ustaz Mohd. Zaidi Bekas Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang kini sebagai Penolong Pengarah Perkahwinan dan Kesejahteraan Keluarga JAWI selaku Penceramah Jemputan, Al-Fadhil Imam Abdul Razak bin Ramli, Anak-Anak Mencapai Keputusan Mumtaz yang diraikan, para ibu bapa dan ahli jamaah surau.

Majlis bermula dengan tahlil dan membaca doa akhir tahun di bawah pimpinan Imam Abdul Razak diikuti dengan Solat Maghrib dan doa awal Muharram. Selepas itu Adun bercakap ringkas tentang Hijratur-Rasul dan mengaitkan dengan pencapaian murid pada peringkat mumtaz yang merupakan hijrah dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan berharap mereka akan lebih berusaha memperbaiki kejayaan diri bagi kepentingan keluarga masyarakat dan umat. 24 orang pelajar mencapai Mumtaz dalam peperiksaan Sekolah Rendah Agama. Adun Bangi menyampaikan hadiah dan sijil pengiktirafan kepada mereka.

Berikutnya ceramah disampaiakn oleh Ygbhg. Ustaz Mohd Zaidi yang bercakap tentang perlunya kita mensyukuri Allah di atas nikmat zahari (hissiyyat) yang diberi Allah seperti kesihatan, pendapatan yang lumayan dan tempat kediaman yang selesa, tetapi menurut beliau yang paling utama perlu kita bersyukur ialah nikmat maknawi yang dikurniai Allah kepada kita terutama keimanan, kebahagiaan dan keamanan. Majlis diakhiri dengan jamuan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment