November 13, 2011

Madu Ilmu - Kiranya Dapat Membantu Pelajar SPM

BBB, 17 Zulhijah = 13 November (Ahad):
Pelajar-pelajar SPM mulai menghadapi peperiksaan SPM mulai pada minggu depan ini, semua pihak, termasuk ibu bapa, lebih-lebih lagi bagi pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan meletakkan harapan tinggi agar mereka lulus peperiksaan dengan keputusan terbaik.
Secara kebetulan pada 29 Oktober 2011 penulis menerima surat dari Dewan Bahasa dan Pustaka memaklumkan tentang royalty yang akan dihantar berhubung dengan pilihan sebuah puisi penulis – Madu Ilmu, bagi teks buku sastera Tingkatan 4 dan 5 yang mulai diguna pada tahun ini (Beberapa puisi penulis pernah dipilah sebelumnya menjadi teks peperiksaan pada peringkat SPM, STPM, bahkan PMR). Pada hari ini juga penulis ke kedai buku membeli buku berjudul Madu Ilmu. Buku ini merupakan himpunan 22 sajak dari 22 penyair, 9 cerpen dari 9 cerpenis dan 2 drama dari 2 penulis drama. Dari keseluruhan tajuk sama ada puisi, cerpen dan drama, nampaknya judul buku diberi sempena dengan judul puisi penulis yang berjudul `Madu Ilmu` Terbitan Kementerian Pelajaran Malaysia dan DBP, 2009 setebal 214 halaman. Puisi Madu Ilmu yang dipilih dari puisi penulis menurut catatan pada akhir puisi bahawa ianya dipetik dari buku Langit Di Tangan, 1995, Terbitan DBP yang mungkin diterbitkan di dalam majalah keluaran DBP sebelumnya. Walau apa pun puisi Madu Ilmu ini juga penulis himpunkan di dalam Kumpulan Puisi Penulis yang diterbitkan oleh Jabatan Persuratan Melayu, UKM, 1999. Puisi ini adalah salah satu puisi di dalam Kumpulan Puisi yang penulis pilih dan jadikannya sebagai judul Kumpulan Puisi Penulis. Kumpulan puisi ini penulis persembahkan kepada UKM sempena persaraan penulis dari berkhidmat di UKM sebagai Tutor/Pensyarah/Profesor Madya lebih dari 25 tahun.
Kumpulan Puisi Madu Ilmu versi penulis adalah rakaman ilham penulis di dalam bentuk puisi sejak gelora awal tuntutan supaya UKM didirikan. Catatan terawal penulis berhubung dengan tuntutan supaya didirikan UKM, iaitu tahun 1968 (Universiti Kebangsaan Malaysia) –Penulis menulis mulai tahun 1960an. Sebahagian dari petikan puisi ini:

Suatu permintaan gagah
Keluar mencurah-curah
Universiti Kebangsaan
Mesti didirikan
Dasar pelajaran kebangsaan
Perlu dihormati
Bumiputra bergerak
Tegak mendesak
Dengan hasrat
Akhirnya diumum pasti
Universiti Kebangsaan
Rasmi didirikan.

Buku Madu Ilmu versi penulis adalah rakaman pengalaman penulis tentang memperjuangkan agarUKM didirikan dari awal, rakaman perjalanan ke UKM bila ditawarkan masuk belajar ke UKM sebagai pelajar sulung, pengalaman semasa belajar, pada peringkat Ijazah pertama selama empat tahun (1970-1974) dan rakaman semasa menjadi tutor, pensyarah dan profesor madya, bahkan sehingga ke tarikh akhir dan berpencen dari UKM pada 28.5.1999). Permulaan bagi buku Madu Ilmu versi penulis tercatat:

Ku persembahkan kepada UKM
(sempena persaraanku 28.5.1999)
Menjunjung budi
Tak terucapkan.

Kumpulan puisi Madu Ilmu versi penulis adalah sebanyak 142 buah puisi yang merentang masa dari 16 September 1968 sehingga 20 Disember 1998. Madu Ilmu adalah salah sebuah puisi dalam kumpulan ini (hlm. 56) yang mencatat tentang keasyikan penulis menimba ilmu di UKM mulai dari Kampus di Jalan Pantai, Pantai Baru, Kuala Lumpur ke Kampus UKM, Bangi (Puisi Madu Ilmu dicatat pada April 1985, di Jabatan Persuratan Melayu, UKM Bangi). Kumpulan Madu Ilmu versi penulis pada dasarnya adalah catatan ilham inspirasi dan aspirasi penulis di dalam mengharungi kehidupan, terutamanya di dalam mencari ilmu dalam masa 30 tahun. Tulisan ini secara langsung melibatkan sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia dan suasana zaman kehidupan penulis. Kumpulan puisi `Madu Ilmu adalah salah satu dari kumpulan puisi penulis yang telah diterbitkan. Dua kumpulan puisi penulis yang telah diterbitkan ialah Wajah Diri (DBP, 1995) dan Puncak Rindu (Galeri UNIKarya, UKM, 1996). Manakala beratus-ratus puisi yang telah diterbitkan belum lagi dibukukan. Madu Ilmu yang teks di bawah ini adalah salah satu puisi penulis menanggapi ilmu, khususnya semasa di UKM:

Madu Ilmu

Sepantun ilmu
Setitik madu
Rumusan zat alam
Dari lembah gunungan
Kuntum kembangan
Kita yang asyik
Adalah penghirup madu ilmu
Pada piala akal
Dari penerokaan ilmuan
Peradaban temurun
Terhimpun berkurun.

Madu Ilmu
Minuman ajaib
Tiap tegukan menyalakan dahaga
Bergandaan
Tiap penemuan merasakan
Kehilangan
Asyikpun berulangan
Ketidakpuasan meneruskan
Penerokaan
Demikian ialah pengangkat insan
Di tengah jadian
Paksi alam
Khalifah Tuhan.

Madu Ilmu
Minuman asyik
Nikmat yang kita kecapi
Titis lautan tak bertepi
Ditimba berulang bertambah
Gandaan
Kita yang tergiring ke pantainya
Kecil di pergigian
Runduk kekaguman
Pengakuan dengan kealiman
Melonjak diri pada kekosongan
Kerana kita selamanya tidak tahu
Cuma pengasyik madu ilmu.

Jabatan Persuratan Melayu,
April 1985.

Semoga dengan latar ini boleh membantu pelajar-pelajar SPM yang mengambil kertas sastera, apa lagi jika soalan keluar berhubung dengan puisi ini. Aspek-aspek yang lain mengenai kepuisian belum dibicarakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment