October 16, 2011

Kehadiran Adun Bangi Amat Tidak Menyenangkan???

Ma`had Hamidiah, Kajang 17 Zulkaedah = 15 Oktober (Sabtu):

Kehadiran Adun pada Majlis Makan Malam Ma`had Hamidiah pada malam ini atas permohonan Sekolah supaya Adun membeli meja bagi mengumpul dana Sekolah tersebut. Selama ini apa juga permohonan, derma dan sumbangan yang diminta kepada Adun oleh Sekolah tidak pernah Adun hampakan. Penerimaan Sekolah terhadap kami selama ini adalah baik sebagai biasa, Ma`had Hamidiah bukan asing bagi Adun, bahkan jauh sebelum menjadi Adun, Adun pernah menjadi AJK PIBG Sekolah semasa Sekolah ini berdekatan dengan Masjid Kajang, bahkan menjadi AJK PIBG (sebagai bapa bagi anak yang lain) bila Ma`had pindah ke Sekolah sekarang.

Sebelum kehadiran pada malam ini pihak Sekolah menghubungi Adun sama ada akan hadir atau tidak. Adun menjawab, ``Insya Allah akan hadir` dan membeli sebuah meja bagi 10 orang. Pihak Sekolah berjanji kehadiran Adun akan diletakkan bersama VIP (bukan atas permintaan Adun). Dengan jangkaan sebagaimana kehadiran sebelum ini, Adun hadir pada malam ini bersama-sama 8 ahli yang lain bagi sebuah meja (10 orang). Kehadiran Adun sebagaimana dijanjikan akan diletekkan bersama VIP. Sememangnya bila sampai di bawa ke meja VIP, manakala yang lain – termasuk isteri Adun ke meja yang ditempah – seramai lapan orang. Tetapi selepas duduk selama lima minit, Adun diminta oleh perai tetamu sambil meminta maaf Adun diminta berpindah ke bahagian tengah bersama dengan ahli-ahli yang sama hadir bersama Adun. Sebagai tamu seharusnya patuh kepada kehendak tuan rumah, maka Adun berpindah dan duduk di meja bersama isteri dan ahli-ahli yang datang bersama. Sebenarnya sebelum duduk di meja yang dibawa Adun ke situ, Adun dapati ahli-ahli yang datang bersama masih berdiri dan teragak-agak untuk duduk, kerana pada kertas atas meja bukan tertulis nama Adun, tetapi Ustaz Shafie Ngah. Kami bimbang beliau akan tiba dengan ahli-ahli tempahannya. Walau macam mana kami diminta duduk. Akhirnya kami duduk dalam keadaan ragu-ragu kerana tiada meja alternatif yang lain. Keraguan hanya hilang, bila anak Ustaz Shafie Ngah yang belajar di sekolah ini datang ke meja selepas dimaklumi nama bagi meja itu nama ayahnya. Beliau menghubungi ayahnya dan memaklumkan ayahnya tidak datang.

Setelah duduk dan meneliti kertas aturcara, Adun lebih faham, dengan terteranya Tetamu Kehormat pada malam ini ialah Mej.(B) Abdul Rahim Mohd Amin, Timbalan Ketua Bahagian Umno Serdang. Dalam ucapan YDP, PIBG Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Hamat dan ucapan Pengetua Hajah Wan Rohayah Binti Wan Yaacob tidak sedikit pun menyebut kehadiran Adun Bangi, sebaliknya alu-aluan dan penghormatan kepada Timbalan Ketua Bahagian Umno Serdang dan Ketua JKKKP Sungai Ramal Luar Cikgu Abdul Aziz. Pengarah Hal Ehwal Agama dari Kementerian Pelajaran juga disebut bila beliau datang agak lewat.

Perasmi pada malam itu disebut secara terang Mej (B) Abdul Rahim Mohd Amin selaku Timbalan Ketua Bahagian Umno Serdang yang juga menyampaikan salam Dato` Fathil bin Daud Selaku Ketua Bahagian Umno Serdang, kepada hadirin kerana beliau tidak dapat hadir pada malam ini. Walau bagaimana agak mengejutkan dalam usaha pihak penganjur menyembunyikan kehadiran Adun kepada ibu bapa dan hadirin, tiba-tiba Mej (B) pada permulaan ucapan menyebut kehadiran Adun Bangi. Ini tentu mengejutkan YDP – PIBG dan Pengetua. Walau bagaimana dalam acara seterusnya tiada disebut nama atau kehadiran Adun.

Walau bagaimana perubahan pendirian pihak berkuasa Sekolah - Adun fikir tidak melibatkan guru-guru dan pelajar-pelajar yang selama ini mesra dengan Adun dalam majlis-majlis yang Adun hadir ke Sekolah, adalah kesan dari tekanan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir ke kawasan Dun Bangi dua kali pada bulan Oktober baru-baru ini dan Pengetua-Pengetua dan Guru-Guru Besar dihimpun dan diberi taklimat oleh Muhyiddin. Suasana pada makan malam ini yang mana parti politik Umno ditonjol secara langsung adalah dari arahan yang diterima oleh pihak Sekolah. Dalam kata lain guru-guru ditekan dan tertekan dengan arahan-arahan berkenaan. Sepatutnya pihak Sekolah jangan menawarkan pembelian meja kepada Adun atau beritahu saja dikehendaki jangan hadir.

Walau apa pun kita tidak mengambil hati terhadap Sekolah. Adun adalah berbangga dengan Sekolah Hamidiah yang mempunyai hubungan rapat selama ini dan Sekolah ini menjadi Sekolah kebanggaan Adun, kerana Sekolah ini merupakan antara dua buah sekolah terbaik di Malaysia dan terletak di bawah Dun Bangi. Dua anak Adun sendiri merupakan alumni Sekolah ini. Hasil dari didikan di Sekolah ini mereka menyambung pelajaran dan berkhidmat dalam bidang-bidang professional sebagai Specialist Dr. Perubatan dan Peguam. Tanpa sebarang prajudis dan menganggap pihak pentadbir Sekolah berada di dalam keadaan tertekan, Adun mengucapkan tahniah dengan pencapaian Sekolah sebagai Sekolah Klaster Cemerlang (Pencapaian selepas kehadiran Muhyiddin). Sekolah ini sama memberi saham dalam memprojekkan Bangi Bandar Ilmu.

Adun, isteri dan ahli-ahli yang hadir bersama Adun, beredar lebih awal sebaik selesai makan, walaupun kami mengganggap kami keluar lebih awal, tetapi kami agak terkejut bila tiba ke tempat parking, kereta-kereta yang banyak parking bersama tempat parking Adun, kelihatan lengang dan sudah tiada. Rupanya ramai sudah pulang lebih awal dari Adun. Pada pendapat Adun ramai ibu bapa tidak senang dengan situasi yang berlaku di dalam majlis, sebab itu mereka pulang awal. Keadaan normal dapat dipelihara jika pihak PIBG dan Sekolah bersifat professional. Ibu bapa lebih merasa senang jika pihak Pengarah Hal Ehwal Agama dari Kementerian Pelajaran diberi penghormatan sebagai Perasmi dan bukannya Timbalan Ketua Umno Bahagian Serdang !

Sekian.

No comments:

Post a Comment