October 31, 2011

Pentingnya Persatuan Guru-Guru Agama Selangor (PEGAS) - Adun Bangi

Cheras Perdana, 02 Zulhijjah = 29 Oktober (Sabtu)

Apabila Pengerusi Badan Kebajikan Guru Kafa Daerah Hulu Langat, Ustaz Haji Zainudin bin Hussain menghubungi Adun bagi merasmikan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Guru-Guru Kafa, Daerah Hulu Langat dan kemudian beliau sendiri datang ke Pejabat Adun menghantar surat jemputan, Adun tidak teragak-agak memberi ruang untuk datang merasmikan Mesyuarat Agung Ke 4. Respond dari Adun, kerana melihat perlunya guru-guru Kafa berpersatuan – sekarang Persatuan Kebajikan Guru-Guru Kafa Daerah Hulu Langat dan mau melihat apakah kegiatan-kegiatan pernah dan akan dilakukan.

Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 4 adalah atas inisiatif Badan Kebajikan Guru Kafa Daerah Hulu Langat bertempat di Dewan Sekolah Agama Nur Salbiah berhampiran Surau Cheras Perdana. Hadir sama ke Majlis Perasmian ialah Haji Zainuddin bin Hussain Pengerusi Jawatankuasa Badan Kebajikan, Puan Faturah binti Mohd Naain Timbalan Pengerusi, Ustaz Mohd Rafi Penyelia Kafa , Hulu Langat, Ustaz Zulkifli bin Mohd Zain Mantan YDP Persatuan Kebajikan Kafa, Saudara Mansor Setiausaha dan para guru yang berjumlah lebih kurang 50 orang. Guru perempuan lebih ramai dari lelaki – adalah biasa.

Sebaik Adun tiba (9.00 pagi) ke laman surau Cheras Perdana terus diiring ke Dewan Sekolah berdekatan dan Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Ustaz Zainuddin Hussain, beliau berterima kasih di atas kehadiran para jemputan. Menurut beliau, ``Persatuan ditubuhkan pada tahun 2,000 dan berjaya mendaftar di ROS pada tahun 2008. Terdapat 2,000 guru-guru Kafa di Hulu Langat, tetapi jumlah mereka yang mendaftar keahlian adalah sedikit.`` Menurut Ustaz Zainuddin lagi, `` Antara tujuan penubuhan Persatuan Kebajikan ialah bagi mendapat pertimbangan wajar dari segi gaji. Misalnya pada tahun-tahun 1970an gaji guru Kafa ialah RM100.00, 1990an RM200 dan pada tahun 1993 sebanyak RM288/= sebulan. Tujuan juga bagi meningkatkan prestasi guru sebagai bidang professional melalui kursus dan pembelajaran.``. Menurut Ustaz Zainuddin selama ini ada dianjurkan kursus dan bantuan kebajikan bagi ahli-ahli.

Adun Bangi dalam ucapan perasmiannya, mengucap terima kasih di atas jemputan. Adun sendiri mengakui sebelum ini tidak mengetahui adanya Badan Kebajikan Guru Kafa. Adun berpendapat adalah penting guru-guru agama di negeri Selangor mempunyai Persatuan Guru-Guru Agama Selangor (PEGAS) yang melibatkan skop yang lebih luas. Banyak perkara yang dapat diberi perhatian terhadap masalah, nasib dan peluang guru-guru agama. Bagi memperjuangkan nasib guru-guru agama tidak boleh hanya secara bersendirian, tetapi hendaklah secara berjamaah. Selama ini Adun hanya mengetahui yang ada ialah Persatuan atau Jamaah Guru Besar atau PIBG Sekolah agama. Sudah tiba Badan Kebajikan memperluaskan skop dan peranannya bagi kepentingan guru agama. Mereka tidak wajar ditakut atau ditekankan untuk berpersatuan. Banyak masalah yang dapat diberi perhatian. Tetapi menurut Adun, selama menjadi Wakil Rakyat, beliau tidak mendapati adanya desakan atau tuntutan dari guru agama bagi membaiki gaji mereka atau memperbaiki keperluan Sekolah agama mereka. Tetapi hal ini datangnya dari luar yang memandang pentingnya diberi perhatian terhadap nasib guru-guru agama, Misalnya pada awal Tahun 2000 Adun Bangi membawa usul dalam Dewan Negeri Selangor supaya dinaikkan elaun guru agama dari dari RM400/= lebih kepada RM600/= lebih dan pada tahun 2009 saudara Azmin Ali dan Adun Bangi sekali lagi membawa cadangan supaya dinaikkan gaji guru agama kepada RM1,000 dan diterima.

PEGAS penting ditubuhkan bukan setakat untuk kepentingan kebajikan ahli, tetapi antara perkara yang patut diperjuangkan:

a) PEGAS boleh menuntut agar guru agama perlu dinaikkan taraf dari kedudukan sementara, kepada guru tetap dan berpencen dengan jumlah gaji yang bersesuaian berdasarkan kelulusan dan beban kerja.

b) PEGAS boleh mendesak supaya guru-guru agama diberi peluang berkursus dan mendapat sijil atau diploma perguruan yang melayakkan mereka membuat tuntutan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kelayakan mereka.

c) PEGAS meminta pihak berkuasa memperbaiki dan menyediakan bangunan Sekolah, kawasan dan infra-struktur yang bersesuaian bagi Sekolah.

d) PEGAS meminta diberi hak sama membincangkan dan memperbaiki kurikulum sekolah agama dan membuat cadangan-cadangan

e) PEGAS berusaha dan mencadang bagi mewujudkan peluang pelajar lulusan sekolah agama menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

f) PEGAS boleh mencadangkan kurikulum bersepadu dan mengurangkan berbagai jenama Sekolah terutama pada peringkat rendah kepada yang lebih asas dan identik.

g) PEGAS boleh mendesak agar dibanyakkan Sekolah agama menengah agar dapat menampung kekurangan tempat yang amat diperlui bagi pelajar aliran agama menyambung pengajian.

h) PEGAS boleh mendesak agar konsep Sekolah Agama Integrasi perlu dibanyakkan dan ditingkatkan kualiti.

i) PEGAS boleh mencadangkan agar pentadbiran dan perjalanan Sekolah agama – PIBG dan Guru-Guru diperbaiki

j) PEGAS perlu mencadangkan agar penilaian terhadap kualiti Sekolah agama

dibuat secara berterusan agar pembaikan terus dapat dilakukan.

Adun merasmikan Mesyuarat Agung dengan harapan ada perubahan positif yang dapat meningkatkan kualiti pendidikan agama. Wallu a`lam.

Sekian.

October 30, 2011

Pemuda Pas Serdang Berkonvoi Ke Ijtima` Tarbawi Di Melewar: Adun Bangi Melepaskan Mereka

Masjid Al-Hasanah, 02 Zulhijjah = 29 Oktober (Sabtu):

Jam 8.00 pagi ini Adun dijemput Pemuda Pas Serdang untuk bersama mereka, kemudian melepaskan mereka secara berkonvoi bermotorsikal. Seramai 50 orang dengan motor masing-masing dapat dikumpulkan.

Menurut saudara Hafiz Pengarah Program, konvoi ialah, ``Bertujuan memantap dan mewajakan pemuda dengan tarbiah bagi menghadapi pilihanraya.`` Menurut saudara Hafiz lagi,

Konvoi dari Serdang ini akan bergerak dari medan Masjid Al-Hasanah menuju ke Hulu Klang, sesampainya di sana, mereka disertai pasukan berkonvoi dari Pandan, Ampang dan Hulu Langat yang dijangka akan berjumlah seramai 200 peserta berkonvoi menuju ke KUIZM, di Melewar. Pemergian mereka sebenarnya lebih memeriahkan lagi Ijtima`Tarbawi Pemuda Pas peringkat Pusat yang telah berlangsung mulai kelmarin dan berterusan hingga esok (Ahad) selama tiga hari.

Perasmian Ijtima` Tarbawi Pemuda ini dilakukan oleh Al-Fadhil Tuan Guru Dato` Bentara Setia Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Mursyidul Am Pas. Program yang berlangsung kelmarin ialah Pidato Tarbawi yang menampilkan pimpinan-pimpinan muda, termasuklah Ustaz Nasruddin bin Hassan, Ketua Pemuda Pas, YB Salahuddin Ayob selaku Naib Presiden dan Ustaz Nik Abduh diikuti dengan kuliah oleh Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man dan program Taujihat al-Amal at-Tarbawi oleh Dr. Mahdi Akef Mantan Murshidul Am Ikhwanul Muslimin. Pemuda yang berkonvoi hari ini lewat sehari, oleh kerana kelmarin masih hari bekerja dan hari ini masa lebih terbuka kepada mereka untuk penyertaan.

Pada hari ini mereka dijangka sempat mengikuti ceramah. Pas Dan Tahaluf Siyasi yang disampaikan oleh Dr. Khairuddin At-Takiri, Forum Masa Depan Perjuangan Pas Dalam Landscape Politik Semasa yang ahli panelnya ialah Dato` Mustafa Ali, Dato` Abu Bakar Chik dan Ustaz Syed Abdul Kadir al-Jofri, diikuti Kuliah Khas disampaikan oleh YB Ustaz Nasruddin Mat Isa, manakala pada malamnya ialah Ceramah Pentas Pemuda yang disampaikan oleh Tuan Haji Mat Sabu, Timbalan Presiden, Dr. Kamal Al-Helbawi (Wakil Ikhwanul Muslimin), YB Dato` Mahfuz Omar, YB Siti Zailah dan Ustaz Nasruddin Tantawi.

Manakala bagi hari ketiga peserta konvoi akan dapat mengikuti Kulliyyah Ruhiyyah yang disampaikan oleh Ustaz Idris Ahmad diikuti dengan wacana Pemuda Pas Memimpin Kebangkitan Anak Muda yang slot ini diisi oleh Ust. Nasruddin Hassan, Nik Mohd Abduh dan Dr Raja Iskandar al-Hiss dan sebelum majlis penutup peserta mengikuti Talaqqi Surah Saff yang disampaikan oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas.

Secara ringkas, selepas peserta-peserta Pemuda Pas dari Serdang berkumpul di medan Masjid Al-Hasanah yang diketuai saudara Hafiz, disertai saudara Rusli Timbalan Ketua Pemuda Pas Serdang, saudara Dahari dan exco-exco Kelab ARC, maka majlis dimulai dengan doa untuk keselamatan perjalanan.

Adun Bangi berucap ringkas, mengalu-alukan peserta-peserta dari Serdang dengan mngharapkan semua dapat menimba pengalaman dalam pergerakan dan perjalanan. Lebih-lebih lagi bila mengikuti program yang disusun dalam Ijtima` Tarbawi. Ikuti dan hayatilah program yang disusun secara terbaik oleh pihak panitia. Adun harap kesan positif dapat ditimba dan ini akan memberi panduan dan bekalan bagi pemuda Pas Serdang di dalam kepimpinan dan kerakgerja mereka di Serdang, maka dengan demikian dengan lafaz:

Bismillahi`r-Rahmani`r-Rahim

Adun melepaskan konvoi bermotorsikal Pemuda Pas Serdang ke Ijtima` Tarbawi Pemuda Pas Peringkat Pusat di Melewar.

Sekian.

October 29, 2011

Perasmian Permulaan Solat Jumaat Di Surau Al-Falah, Jalan 6, BBB

Jalan 6, BBB, 01 Zulhijah = 28 Oktober (Jumaat):

Surau Al-Falah Lorong 6A/6, Seksyen 16 BBB hari ini menempa sejarah, apabila buat pertama kali, setelah diizinkan oleh Jais (22 Ramadhan 1432 = 22 Ogos 2011) mendirikan Solat Jumaat (Sementara) pada hari ini. Satu upacara ringkas diadakan sempena dengan permulaan Solat Jumaat di sini hari ini.

Dari segi sejarah perumahan Jalan 6 yang mula dihuni sejak awal 1980 ini mula mendapat surau dengan menggunakan satu unit rumah teres pada tahun 1982 tidak jauh dari Surau Al-Falah Sekarang. Sejak menggunakan surau sementara di sini pihak AJK dan penduduk berusaha mendapatkan surau tetap hinggalah surau sekarang dapat didirikan dan digunakan mulai tahun 1990, diikuti dengan pembinaan Sekolah Agama bersebelahan dengannya.

Menurut saudara Adnan bin Adam, Pengerusi Surau Al-Falah ``Setelah keizinan didapati kami membuat persediaan hingga hari ini dapat diadakan solat Jumaat bagi kali pertama.``

Hadir pada tengahari ini YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi yang juga selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu, Al-Fadhil Tuan Haji Mughni bin Asrari Pegawai Tadbir PAID, Ustaz Shafie Ngah dan sdr. Adram Musa yang kedua-duanya Ahli MPKj, Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk BBB, Haji Mohd Nafiah Nazir Masjid Al-Hasanah, Haji Adnan bin Adam, Pengerusi Surau al-Falah, Tuan Haji Mohd Ali Imam Surau dan Encik Zaini bin Isa Setiausaha Surau.

Upacara ringkas sebelum mendirikan Jumaat ialah ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Surau, Tuan Haji Adnan yang bersyukur kepada Allah dan mengucap terima kasih kepada pihak Jais yang meluluskan permohonan mendirikan solat Jumaat. Dengan kelulusan ini memudahkan penduduk di Jalan 6 menunaikan solat Jumaat. Tuan Pegawai Tadbir Agama Islam Al-Fadhil Tuan Haji Mughni bin Asrari yang juga Kadhi Hulu Langat, mau surau dipertingkatkan kegiatan. Surau jangan ramai dengan jamaah hanya pada hari Jumaat, sedang hari-hari yang lain dan solat-solat waktu kekurangan dari jamaah. Beliau juga mengingatkan jiran-jiran berdekatan tidak merungut, kerana adanya sedikit ganggun seperti masalah tempat parking, kerana bersifat samahah insya Allah memberi pahala bagi penduduk sekeliling surau – Insya Allah.

Adun Bangi dalam Ucapan Perasmiannya bersyukur ke hadrat Allah kerana mendapat keizinan mendirikan solat Jumaat yang permulaannya adalah hari ini. Dengan keizinan ini jumlah surau yang diizinkan mendirikan Jumaat di Dun Bangi berjumlah 16 buah, daripada jumlah surau sebanyak 100 buah, melebihi masjid yang hanya berjumlah 7 buah. Sudah tentulah menurut Adun, ``Dengan mendirikan sembahyang Jumaat di Surau Al-Falah, memudahkan bukan saja penduduk tempatan menunaikan solat Jumaat, tetapi juga bagi anak-anak Sekolah berdekatan. Surau ini untuk jangka panjang akan menampung para jamaah dari Pusat Islam berdekatan yang sedang dalam pembinaan dan juga bagi pelajar-pelajar Sekolah menengah yang bakal didirikan tidak jauh dari surau ini. Dengan kelulusan yang didapati Adun mahu surau dipertingkat dan dimakmurkan, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah, ialah yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan dia tidak takut melainkan kepada Allah. (At-Taubah : 18).

Menurut Adun, kita berharap surau ini tidak sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat solat, tetapi digunakan juga sebagai pusat pengajian, pendidikan anak-anak dan segala kegiatan kemasyarakatan yang releven. Adun berpendapat sebahagian dari kegiatan ini memang telah dan sedang dijalankan dan diharap terus dijalan dan dipertingkatkan.

Adun berpendapat untuk perkembangan pada masa hadapan, surau ini akan menjadi sempit, sebab itu hendaklah difikirkan bagi perluasan ruang bagi kepentingan masa hadapan.

Selepas ucapan Adun diiringi bagi menandatangani plag menandakan perasmian yang diikuti dengan doa oleh Tuan Haji Mohd Nafiah Nazir Masjid Al-Hasanah. Adun Bangi membaca khutbah dan mengimami Solat Jumaat yang kemudian Solat Hajat diimami oleh Nazir Masjid Hasanah dan diikuti dengan jamuan.

Sekian.

October 28, 2011

Menerima Kunjungan Mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Pejabat Adun Bangi, 29 Zulkaedah = 27 Oktober (Khamis):

Seminggu lepas pihak pelajar UPSI berkenaan menghubungi Adun untuk ditemuduga dan Adun setuju ditemuduga jam 10.00 hari ini, tetapi terpaksa ditunda sebelah petang, kerana Adun mempunyai agenda baru - Mesyuarat Penyelarasan di Pejabat Daerah, Hulu Langat, maka Adun meminta agar waktu diinterview ditukarkan kepada sebelah petang – Jam 4.00. Kami bersetuju.

Pada jam 4.00 petang ini 4 pelajar berkenaan tiba dan mengunjungi Adun di Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Bangi di sini. Mereka bertujuan untuk menemuduga Adun sebagai memenuhi syarat bagi kertas English Communication. Mereka memperkenalkan diri mereka ( Gambar berdiri dari kiri mereka), ialah Intan Natika bt. Mamat, Aida Mardiah binti Basri, Aina Farahiyah bt. Abdul Manan dan Norfatin Nabilah binti Kelana Sari (Adun di tengah).


Menyebut UPSI segera terlintas di minda tentang kemasyhuran institusi ini, bahawa meskipun UPSI sebagai sebuah universiti awam termuda, tetapi pada hakikatnya sebagai institusi pendidikan, ia adalah antara institusi pendidikan tertua (1922) di negera ini. UPSI yang pada awalnya dikenali dengan Maktab Perguruan Sulltan Idris (MPSI) di Tanjung Malim, Perak adalah antara institusi pendidikan terawal di Negara ini yang didirikan pada zaman penjajahan British bertujuan untuk mendidik pelajar-pelajar yang layak bagi melatih mereka menjadi guru bagi mengisi kekosongan jawatan guru Melayu yang bakal mengajar di Sekolah-sekolah Melayu yang dibuka sejak masa itu di Negara ini. Maktab Perguruan ini mendahului beberapa tahun dari Malay College Kuala Kangsar (1925) yang juga di Perak. MCKK didirikan bagi mendidik anak-anak elit Melayu – termasuklah anak-anak Raja-Raja Melayu bagi menjadikan mereka sebagai pemerintah dan pentadbir yang berpelajaran yang memudahkan bagi British menjalankan pemerintahan. Mereka ditanamkan semangat mengagung-agungkan British dan hidup terpisah dari rakyat jelata sebagai golongan elit. Manakala pelajar-pelajar yang dipilih ke Maktab Perguruan dari kalangan masyarakat yang berkelayakan – biasanya berkelulusan darjah 5 atau 6 sekolah Melayu dan dididik untuk menjadi guru di Sekolah-sekolah Melayu pada peringkat rendah, bagi tujuan melahirkan masyarakat yang sedikit tahu meuulis, membaca dan mengira bagi memudahkan pihak pemerintah British dan kalangan pentadbir berurusan tadbir dan komunikasi dengan masyarakat bawah. Dari Maktab Perguruan ini lahir tokoh-tokoh pendidik terkenal seperti Zainal Abidin bin Ahmad (Za`ba) yang menghasilkan buku Pelita Bahasa Melayu (3 jilid), iaitu buku Tata Bahasa Melayu terawal. Belian juga menghasilkan buku Ilmu Mengarang Melayu dan beberapa buku yang lain di samping karya-karya terjemahan. Dari sini juga lahirnya pengarang terkenal seperti Cikgu Harun Aminurrashid yang mengarang antaranya Panglima Awang, Lembing Pulang Ke Dayang dan lain-lain lagi, Cikgu Abdul Samad Ahmad yang mengarang Batu Belah Batu Bertangkup dan Sejarah Kesusasteraan Melayu (tiga jilid). Jabatan Karang Mengarang di Maktab ini juga menganjurkan peraduan mengarang yang menghasilkan banyak karya-karya yang memenangi peraduan.

Dari Maktab ini juga melahirkan pemimpin-pemimpin politik Melayu awal, kerana dari sini secara tidak langsung pensyarah-pensyarahnya mencetuskan kesedaran politik pada pelajar-pelajarnya, selain dari Za`ba. Tokoh seperti Mr. Dussek mencetuskan kesedaran politik di kalangan pelajar. Sebab itu selain dari melahirkan guru, Maktab ini secara tidak langsung melahirkan guru-guru yang kemudian menceburkan diri dalam bidang politik tanahair dan berjuang bersama-sama dalam politik bagi menuntut kemerdekaan dan pembangunan tanahair. Mereka seperti Abdul Ghafar Baba, Cikgu Abdul Jabbar, Abdul Samad Ahmad, Cikgu Buyung Adil dan lain-lain lagi.

Kembali kepada pelajar-pelajar yang datang menemui Adun, mereka sekadar mahu mengetahui latar belakang Adun, keluarga dan pendidikan Adun yang asalnya mendapat pendidikan agama di Sekolah Menengah Sultan Zainal Abdin Kuala Terengganu dan pernah menjadi Guru Sekolah Menengah Agama selama 7 tahun sebelum menyambung pelajaran di UKM dan seterusnya menjadi pensyarah selepas menamatkan pengajian pada peringkat sarjana dan meneruskan pengajian pada peringkat PhD dalam masa berkhidmat. Mereka nampaknya mahu mengetahui lebih mengenai keterlibatan Adun dalam politik yang sebenarnya Adun lebih terlibat selepas pencen (1999). Yang menggerakkan Adun berpolitik adalah kawan-kawan dari surau berdekatan rumah Adun yang mereka sekarang masih sama-sama berjamaah dan sedikit berkembang bersama-sama kawan dalam politik, terutama pada peringkat kawasan dan negeri. Pihak keluarga Adun tidaklah sangat menggesa dan beria-ria menggesa Adun berpolitik, tetapi secara kebetulan politik yang dilibat Adun adalah selari dengan kehidupan kami beragama, jadi keluarga memberi sokongan dan bantuan moral dan perjuangan.. Oleh kerana berpolitik adalah bidang relatifnya baru bagi Adun dan bila bertanding peringkat Dun Kajang (1999) tiba-tiba menang, adalah sesuatu yang mengejutkan Adun. Mulai dari situ Adun, penyokong dan pendukung, terutama dari kawasan Hulu Langat berexperimen dalam politik bagaimana kaedah memberi khidmat terbaik kepada masyarakat, khususnya di kawasan di Dun Kajang (termasuk Bangi di bawah Kajang) dan Hulu Langat. Ujian yang mencabar juga terpaksa dihadapi, sebaik menang, Adun menghadapi cabaran di Mahkamah dari lawan Adun (Chau Tow Chong dari MCA). Lawan Adun ini cuba mempertikaikan kemenangan tipis Adun dengan hanya 37 undi. Buat pertama kali Adun menjejak kaki di mahkamah dengan mengambil Peguam Pembela terkenal – Karpal Singh, berpuluh kali turun naik mahkamah dengan memakan masa yang lama dan duit yang banyak dihabiskan. Kes ini hanya selesai – menang muktamad selepas Adun menjadi Adun Bangi. Keperitan juga terpaksa dialami kerena, walaupun menang, tapi tidak mempunyai peruntukan kewangan. Elaun Adun dan bantuan-bantuan sahabat-sahabat digunakan untuk memberi khidmat kepada masyarakat yang berbilang kaum. Kami tidak lupa jasa dan pertolongan berbagai kaum. Politik pada masa itu, sebagai di pihak pembangkang tidak menjadi rebutan, kerana risiko menghadapi tekanan, kekalahan dan lebih ramai enggan dari menerima, lebih menjauhi dari mendekati, berlainan dari sekarang menjadi rebutan, kerana di sana dilihat peluang dan kedudukan. Barangkali ada sedikit rasa puas bila kerja keras Adun diberi kepercayaan memimpin pada peringkat kawasan di Hulu Langat dan pada peringkat negeri. Ini memberi pengalaman bagi Adun yang suka menulis dan menjadikannya sebagai bahan-bahan penulisan baik dalam puisi maupun esei dan juga kertas-kertaskerja.

Pelajar-pelajar berkenaan bertanya, bagaimana Adun membahagi masa kepada politik dan keluarga. Adun sebenarnya tidak mempunyai masalah dengan pendidikan anak-anak, kerana semasa Adun menceburi dalam politik anak-anak sudah berada pada peringkat pengajian tinggi dan al-Hamdulillah semuanya dapat dikatakan berjaya dalam kareer masing-masing. Adun rasa dalam politik dan berkhidmat tak ada hari minggu dan rehat tertentu, ianya berterusan, bahkan semakin hari minggu semakin banyak tugas. Masa sebahagian besar di pejabat dan kawasan. Cuma semasa menjadi Adun Bangi (Mac 2008-Kini), khidmat lebih selesa, kerana ada peruntukan yang dapat digunakan bagi perkhidmatan kepada masyarakat. Berkhidmat kepada masyarakat ini dengan bantuan kawan-kawan adalah satu kemanisan yang memberi kepuasan kepada Adun. Kepuasan bertambah bila masalah mereka diselesai atau dibawa ke atas, khususnya di Dewan Negeri yang Adun bebas mengeluarkan pendapat dan cadangan. Tugas di Dewan Negeri ini adalah tugas asasi Adun yang setiap kali bersidang Adun cuba mengambil bahagian dan bercakap membri cadangan, kritikan dan pandangan yang membina bagi kepentingan masyarakat setempat, kawasan, negeri, bahkan Negara. Adun tidaklah sangat menilai apakah kejayaan yang dapat dicapai dalam politik, Cuma mempersoalkan diri apakah sumbangan yang diberi selama ini dengan kapasiti yang ada pada diri Adun dapat memberi kepuasan kepada masyarakat. Apa yang Adun berusaha selama ini ialah memberi khidmat kepada masyarakat sebaik mungkin dan meningkatkan kesedaran mereka menjadi masyarakat berilmu di kawasan yang mementingkan ilmu – Bangi Bandar Ilmu.

Keterlibatan Adun di dalam politik tidaklah sangat memberi kesenangan, berbanding semasa menjadi pensyarah di universiti, tapi sesuatu yang amat berharga bagi Adun ialah dapat menimba banyak pengalaman – terutama dari masyarakat di Kajang dan Bangi, terima kasih di atas kepercayaan mereka. Pengalaman berkenaan adalah kekayaan sebenar yang menjadi asset bagi Adun mencurah dan akan terus mencurahnya sebagai rakaman di dalam penulisan - Insya Allah.

Sekian.

October 27, 2011

Hari Menziarah: Simpati Dan Takziah

BBB, 28 Zulkaedah = 26 Oktober (Rabu):

Hari ini pejabat tutup pada peringkat Persekutuan dan Negeri. Tiada agenda utama pada hari ini. Sebab itu AJK Kebajikan mengatur program khas - menziarah. AJK Kebajikan mulai turun jam 10.00 pagi diketuai Tuan Haji Rushdi bersama iseterinya (Puan Mariah AJK), sdr. Izwan Setiausaha, Sdr. Harun AJK. Turun sama ke beberapa tempat terhad saudara Tuan Haji Sukaimi Setiausaha Pas Serdang, dan Sdr. Shahrum kakitangan di Pejabat:

1. Kematian di Taman Jasmin

Kematian berlaku ke atas Encik Habibullah bin Kamaruddin (49) di Taman Jasmin Bekas Pegawai Human Resources di The Star di PJ. Dua bulan yang lepas kami pernah melawat En. Habibullah sempena Sukan Pasti (Jasmin dan Kajang Utama) di sini. Beliau mengidap kanser dan pagi kelmarin beliau meninggal.En. Habibullah meninggalkan seorang isteri (Puan Nor Azidah) dan tiga anak lelaki yang sulung bakal mengambil peperiksaan SPM di Sains Mara Gemencih. Seorang berada di tingkatan Dua dan seorang di Darjah lima Sekolah di sini. Setibanya Adun ke rumah Arwah, Adun memimpin tahlil, mengucapkan Takziah dan menyampaikan sedikit bantuan. Takziah dan banyak bersabar kepada keluarga Arwah En. Habibullah dan ingatkan Allah. Semoga En. Habibullah dirahmati Allah – Amin.

2. Menziarah En. Nasaruddin bin Mohd. Nasir di Pangsapuri Damai Mewah, Kajang

Dari Taman Jasmin kami bergerak berkonvoi tiga kenderaan melawat En. Nasaruddin Mohd Nasir (58) di Pangsapuri Damai Mewah. Beliau adalah Bekas Tentera, pernah bekerja di Syarikat Shell dan mulai mengalami penyakit kencing manis pada tahun 1992. Berhenti kerja dari Shell beliau menjadi Pemandu Bas. Oleh kerana matanya makin kelabu akibat dari kencing manisnya beliau terpaksa berhenti kerja. Mutakhir penyakit merebak ke kaki dan terpaksa dipotong satu jari kakinya. Beliau dikehendaki berterusan menggunakan insulin. En. Nasaruddin yang ditemani isterinya mempunyai 6 orang anak. Tiga sudah berumah tangga dan tiga masih bersekolah. Kami menghulurkan simpati kepada En. Nasaruddin dan keluarga.


3. Fatimah Zahrah binti Amiruddin Digigit Anjing Liar!

Pagi Isnin dua hari lepas Fatimah Zahrah (8) dihantar ke Sekolah Agama Bandar Seri Putera tidak jauh dari rumahnya. Sesudah ditinggalkan dalam kawasan Sekolah beliau diserang 6 ekor anjing liar yang menyelinap masuk ke kawasan Sekolah. Anjing-anjing ini biasa menyelongkar lebihan makanan di apartment tidak jauh dari Sekolah. Bila dikejar anjing Fatimah Zahrah terjatuh dan digigit dua ekor anjing liar dikedua belah betisnya. Selain dari itu beliau luka di belakang kerana terjatuh. Beliau segera diberi rawatan dan segera dibawa ke HUKM, Cheras, tempat ibunya bekerja sebagai Doktor di HUKM. Semasa kami tiba Fatimah Zahrah agak ceria sambil menunjukkan tempat luka di kedua belah betisnya digigit anjing. Bila ditanya masih sakit, jawabnya, `Tidak.`. Bila ditanya kepada ayahnya yang sama menunggu Fatimah, kemungkinan anjing membawa kuman berbahaya, ``Dr. beri perhatian dengan menyuntik dose yang agak tinggi, bagi mengelak kemungkinan anjing membawa kuman yang berbahaya. Kami berbincang dan berharap pihk Sekolah dapat beri perhatian lebih dari segi keselamatan. Menurut En. Amiruddin, ``Jaga Sekolah hanya bertugas waktu malam, dan tidak waktu siang. Pihak Sekolah perlu memberi pengawasan bagi keselamatn murid-murid waktu siang.

Sementara itu, Ahli MPKj di sini Tuan Haji Mazwan Johar yang telah dibuat aduan mengenai kejadian, telah meminta Unit Anjing Liar MPKj bertindak menangkap anjing liar berkenaan. Respond segera diberi oleh pihak MPKj.

Agak lucu pihak MPKj menghantar tiga Trak dengan pekerja-pekerja untuk menangkap anjing liar tersebut. Setelah berjam beroperasi akhirnya hanya seekor anjing dapat ditangkap. Bersama tiga trak dan pekerja-pekerja membawa anjing ini untuk dilupuskan.

Walau apa pun kita ucap tahniah di atas respond segera diberi oleh MPKj. Usaha hendaklah terus dilakukan bagi membasmi ancaman anjing liar kepada penduduk, terutama bagi anak-anak Sekolah.

4. Ke Sungai Buluh Menziarah Kematian Ibu kepada Saudara Mokhtaza

Selepas menziarah ke HUKM, kami meneruskan ziarah ke Sungai Buluh dengan dua buah kenderaan. Beberapa yang mengikuti bersama peringkat awal makin berkurang sejak dari Pangsapuri Damai Mewah dan selepas ke HUKM tinggal dua buah kederaan. Tuan Haji Rushdi bersama isterinya dan saudara Izwan, manakala Adun bersama saudara Azizi dan saudara Harun Aminurrashid.. Kami menuju ke Kg. Baru, Sungai Buluh. Tapi untuk sampai ke Kg. berkenaan melalui jalan-jalan yang berliku-liku. Kami perlu segera kerana kami bertujuan menziarah kematian Ibu kepada saudara Haji Murtadha bin Mukhtaruddin Timbalan Ketua Penerangan Pas Serdang yang juga AJK Pemuda Kawasan Sedang, isterinya Sdr. Hamzatul Azura adalah AJK Pas Kawasan dan juga AJK Muslimat Pas Serdang. Ibu saudara Murtadha meninggal pada malam tadi dan dijangka disembahyangkan di masjid selepas solat zohor. Dalam perjalanan kami dimaklumkan jenazah disembahyangkan dirumahnya. Kami dengan dua buah kereta ke rumahnya. Setibanya kami, jenazah sedang disembahyangkan dan kami berkesempatan mengucap takziah kepada saudara Haji Murtadha, isterinya dan ayahnya. Beberapa ahli dari Pas Serdang kelihatan ada bersama seperti saudara Adram Musa, Abang Ahmad Kerdee dan beberapa yang lain. Kami mengiringi jenazah ke perkuburan, tetapi pada pertengahan jalan berlaku ketidakpastian jalan, kerana berpecahnya kereta-kereta yang mengiringi. Akhirnya membawa kami ke masjid bersolat zohor di situ. Beberepa yang lain yang datang juga hilang arah untuk ke kubur. Selepas makan tengahari di hadapan Masjid Pekan Sungai Buluh kami bertolak pulang berasingan. Tuan Haji Rushdi bersama isterinya pulang ke Seri Kembangan dan kami berempat (sdr. Izwan berpindah kenderaan) pulang ke Bangi dan tiba jam 4.00 petang.

Sekian.

October 26, 2011

Makan Malam & Sumbangan Kebajikan Sempena Deepavali: MGR Menjelma Di Pekan Bangi ?

Dewan Orang Ramai, Pekan Bangi, 25 Zulkaedah = 23 Oktober (Ahad):

Antara acara bagi Jamuan Makan Dan Sumbangan Kebajikan anjuran Adun Bangi beserta Ahli Parlimen dan Kawasan Serdang ialah penyampaian beberapa lagu yang dipetik dari nyanyian Seniman Agung India terkenal MGR. Nyanyian ini disampaikan oleh Penyanyi Kacak tempatan iaitu Mr. Siger. antara lagunya ` Nou Amisitar` dan beberapa buah lagu yang lain. Semasa didendangkan lagu, Adun bertanya dengan kawan-kawan dari kalangan India yang hadir akan maksud nyanyian.

`MGR ialah seniman (film dan lagu) terkenal di India sejak 1980an. Popularnya bukan setakat di India, tetapi di seluruh dunia. Dengan kemasyhurannya sebagai bintang film dan penyanyi, beliau mencebur diri dalam politik dan mencapai kemenangan besar – hampir mensifarkan lawan. MGR dilantik menjadi Ketua Menteri di Tamail Nadu dan berterusan mendapat sokongan dan berkekalan sebagai Ketua Menteri Negeri Tamil Nadu, di India. Beliau meninggal akhir 1990an setelah 19 tahun memerintah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu. Dalam nyanyiannya Mr. Siger mau kemenangan berterusan MGR di Tamil Nadu berlaku juga bagi Pakatan Di Negeri Selangor. Harapan bahawa Pakatan Rakyat berterusan menang dan memerintah Negeri dan juga menguasai Peresekutuan. Anjurannya disambut gemuruh yang hadir sebagai persetujuan dan sokongan !

Jamuan dan Sumbangan Kebajikan pada malam ini dihadiri selain dari Adun Bangi, ialah YB Sdr. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang. Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, Haji Zakaria Ketua Kampong Pekan Bangi, En, Chong Yong, Ketua Dap Kajang Baru, saudara Hari Krishnan Ketua Dewan Himpunan Pas Serdang, saudara Chologore. Sebagaimana biasa majlis bermula dengan ucapan-ucapan mulai dari Wakil saudara Hari Krishnan yang berterima kasih di atas pemilihan Bangi sebagai tempat sambutan . Beliau memaklumkan jemputan kepada kaum India adalah menyeluruh, bukan dari Pekan Bangi sahaja, tetapi dari seluruh Dun Bangi- termasuk dari Jasmin, Bukit Mewah dan Bukit Mahkota. Manakala Ustaz Shafie Ngah mengharapkan

Sambutan dapat memberi kepuasan kepada semua, terutama komuniti India. Tahun ini Pekan Bangi dipilih setelah sebelumnya di buat di West County dan Bukit Mewah. YB Teo Nie Ching menyebut, kami prihatin terhadap semua kaum. Jamuan dan penyampaian sumbangan pada malam ini menandakan eratnya kami dengan penduduk di sini. Menurut YB Teo Nie Ching, petang tadi beliau dan Adun Bangi bersama-sama turun menziarah masyarakat di Bangi dengan beberapa kumpulan. Kami dapati ada lagi yang belum mendaftar mengundi dan Skim Warga Emas, maka hendaklah mereka yang belum mendaftar mendaftar. Ambillah faedah dari Skim Warga Emas dan berilah sokongan terhadap Pakatan Rakyat.`

Adun Bangi dalam ucapan Perasmian mengucapkan selamat sejahtera kepada semua pihak, khususnya dari kalangan orang India, Adun menyebut tentang prihatin Kerajaan negeri Selangor terhadap rakyat tanpa membezakan kaum. Kerajaan negeri memperuntukkan Skim Warga Emas dan kita di Bangi menganjurkan Jom Shopping sebanyak tiga siri. Lebih 400 orang telah menyertai Jom Shopping daripada 500 yang dijemput- termasuk sebahagiannya adalah dari

kaum India, termasuk dari Bangi. Pada malam ini juga kita menyediakan bantuan kepada lebih dari 80 orang yang sebahagian dari mereka juga dari warga emas.Adun juga menyebutkan sejak beberapa hari ini jalan-jalan di Pekan Bangi diturapkan , termasauk di Kampong Bahagia Bangi. Ini adalah merupakan peruntukan RM sejuta bagi jalanraya di bawah Adun Bangi. Kita akan terus menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan dari masa ke masa. Kita harap rakyat berpuashati dan terus memberi sokogan kepada Pakatan Rakyat. Apa yang berlaku di Tamil Nadu pada zaman MGR diharap akan terus berlaku di Selangor diikuti tepukan bergemuruh dari hadirin tanda bersetuju !

Selepas penyampaian ucapan, Jamuan Rakyat diadakan dan diikuti dengan penyampaian sumbangan kepada 80 orang yang terpilih. Kemudian diikuti dengan penyampaian `duit raya` kepada semua anak-anak yang hadir.

Sekian.

October 25, 2011

Gema Fenomena Abdul Aziz Bari Menggugat !

Dia yang Pakar Perlembagaan
Lantang bersuara dan kritikan
Disanjung musuh dan kawan
Keluar ke medan terbuka
Berpancak idea secara intelektual
Berperisai Hak Asasi Manusia
Disember 10, 1948 Universal Deklarasi
Artikal 10(1)(a) Perlembagaan Negara
Kebebasan Akademik ketelusan maklumat
Dia dengan tangkas dan berani
Memanah isu-isu kontroversi
Tabu, larangan dan realiti
Tepat terus pada sasaran
Mendebar dan mengancam.

Mereka yang berlindung
Di sebalik rumah tua BN yang usang
Bimbang oleh retak dan keruntuhan
Sebagaimana berlaku pada lain pengajian tinggi
Warga akademiknya disekat dan disepi
Demikian di UIAM dia menghadapi tindakan
Dari tangan ghaib dia dimangsakan
Lantas mendung berarak di langit perlembagaan
Gerimis turun meratapi kematian kebebasan.

Itu suara protes spontan
Pernyataan rasa tidak puas hati
Menuntut bijaksana pengurusan
Ada cara lain bagi mengatasi
Mencetus fenomena Abdul Aziz Bari
Gemanya melangkaui sempadan
Batas Negeri dan Persekutuan
Dengan gema itu kita dituntut bersama
Dengan semangat, akta dan peruntukan
Mempertahan negeri menguasai Persekutuan
Memperkukuh perlembagaan
Kebebasan akademik dan ketelusan.


Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
26 Zulkaedah 1432
24 Oktober 2011.

October 24, 2011

Analisa Warga Emas Mengambil Bahagian `Jom Shopping` Di Bangi: Tiga Beranak Sama-Sama Warga Emas

Bandar Baru Bangi, 25 Zulkaedah = 23 Oktober (Ahad):

Setelah tiga siri mengadakan program `Jom Shopping` di kawasan Dun Bangi, maka jumlah jemputan penawaran menyertai `Jom Shopping`, penerimaan dan ketidakhadiran adalah sebagaimana berikut:

TARIKH

JEMPUTAN TERIMA BAUCER

TERIMA BAUCER

UZUR

TAK HADIR

18.8.11

100

82

14

4

17.9.11

200

153

14

33

16.10.11

200

174

15

11


Bagi siri pertama penerima Cina 8 orang dan penerima India juga 8 orang

Bagi siri kedua penerima Cina 24 orang dan penerima India 50 orang

Bagi siri ketiga penerima Cina ialah 38 dan penerima India 54 orang.

Bagi penerima baucer, tetapi tidak dapat datang menyertai Jom Shopping di Econsave Jalan Reko, kerana uzur, maka kami membeli barang-barang standard dari beras, gula, susu, minyak masak, sardine, minuman cordial dan lain-lain sejumlah harga RM100/= dan pada hari-hari kelapangan, kami keluar menyampaikan barang-barang berkenaan, sambil mengunjungi warga-warga emas yang uzur dan bertanya khabar tentang mereka.

Pemilihan warga emas dari segi jantina agak seimbang. Misalnya bagi siri pertama 43 lelaki, siri kedua 81 lelaki dan ketiga 78 lelaki. Majoriti yang hadir ke Jom Shopping ialah mereka yang lahir selepas 1940, iaitu yang berumur 70 hingga 60 tahun. Umumnya mereka masih sihat dan masih boleh bergerak secara bebas dan ada yang tidak memerlukan pengiring. Yang lahir sebelum 1940 makin mengurang. Misalnya yang menerima boucer untuk datang bagi Jom Shopping pertama lahir sebelum 1940 ialah 37 orang. Bagi Jom Shopping kedua 64 orang, manakala bagi Jom Shopping ketiga ialah 61 orang.

Paling tua dari keseluruhan penerima Jom Shopping (secara ziarah), ialah Puan Timah Binti Sinong dilahirkan pada tahun 1919 dari kumpulan Jom Shopping Ketiga. Beliau adalah dari Sungai Ramal Luar. Dua anaknya juga adalah warga emas yang menerima tawaran ke Jom Shopping. Anak-anak beliau yang juga warga emas ialah Puan Asmah Marzuki dan Encik Mohd Nazam bin Marzuki. Kami bercadang mengadakan majlis istimewa bagi meraikan ketiga-tiga beranak warga emas ini.

Selepas Puan Timah didapati yang lahir:

TAHUN

RAMAI

NAMA

1920

1

KHALIJAH BT. DANGAR

1923

3

KASMINAH BT HASRAH

SAWAL BIN KARAT @KARATO

RAMNAH BT. RAZAK

1924

2

EMBUN BT. ABDUL KARIM

JARIAH BT. MOHD SOH

1925

3

GOH KEE SU

MOHD SALAH BIN ABDULLAH

CHE NAP BT. REJAB

1927

4


1928

2


1929

3


1930

3






















Jumlah kelahiran mulai 1931 ke atas makin membanyak.

Dapat diambil kesimpulan juga bahawa orang perempuan nampaknya lebih ramai dari lelaki yang mencapai umur begitu lanjut. Dari ziarah yang dibuat bahawa warga-warga emas ini dijaga dengan baik dan kasih sayang oleh biasanya anak-anak perempuan. Kami tertarik bila menziarah sebuah rumah warga emas di Sungai Ramal Luar, bahawa anak-anak (tiga orang anak) membuat giliran datang menjaga, memandi dan menyediakan makanan bahkan tidur bersama di rumah ibu mereka. Pada masa kami datang adalah giliran anak lelaki datang memandi, membersih dan menjaga makan minum ibu mereka. Waktu datang kami menunggu mereka bersiap dan bila keluar di atas sorongan beroda ibu warga emas ini bersih dan tersenyum dengan anak lelaki termasuk juga cucu-cucu yang hadir.

Jom Shopping semakin popular. Ramai yang sebelum ini belum mendaftar sebagai warga emas mulai mendaftar untuk sama ber Jom Shopping. Keceriaan terbayang di wajah warga-warga emas bila bersama Jom Shopping. Untuk lebih memberi kepuasan kepada warga emas hendaklah difikirkan mekanisme agar warga emas dapat menggunakan RM1,000 daripada peruntukan RM2,500 itu, agar mereka dapat menikmatinya sebelum mereka meninggal.

Sekian.