September 13, 2011

Yang Kumakan Buah-Buah Fikiran Lebih Dari Hidangan Makanan

(Buat Keluarga Nurul Yang Menerima Kami Dengan Senang Hati)

Bermula dari hanya gurauan
Kepada tenaga kerja Jabatan
Bahawa pada Hariraya nanti
Kami mau adakan mesra kunjungan
Mengiratkan silaturrahim dari berkenalan
Sambil makan dari air tangan masakan kalian.

Demikianlah gurauan menjadi realiti
Kami serombongan – termasuk isteriku
Tiba di rumah Nurul staf di pejabatku
Kami disambut ibubapa Nurul sekeluarga
Wakil Rakyat Ampangan dan jiran kebetulan ada
Selepas menginjak ke jalan dan memberi salam
Aku membuka gurauan – `Eh jalan baru diturapkan`
`Ya semalam secara kebetulan` – Bapa Nurul beri jawapan
`Agaknya mereka tahu program kunjungan kami`, gurauku,
`Walaupun kami rahsiakan` – berderai ketawa mengiring jawapan.

Sebagaimana biasa berhariraya sebelum duduk berbicara
Dijemput menjamah hidangan menurut pilihan
Nasi impit, mee goreng, kek, martabak & minuman
(Difahamkan Nurul & Adiknya semalaman menyediakan)
Tapi dalam memilih hidangan kami tersudut membincang
Tentang minat bapa Nurul – tertumpu pada Kajian Al-Qur`an
Significant penemuan menyumbang pada pengukuhan iman
Sumber ilmu, konsep wahyu, bersifat syahadah & ghaibiyah
Perbincangan dipuncaki Kehebatan Susunan Al-Qur`an
Manifestasi mengisyarat tersirat kandungan alam
Menjadikan perbincangan menyentuh Prinsip dan Inti Keislaman
Menyebabkan aku menjamah makanan secara ringan
Tapi lebih tertumpu pada memamah idea berat dikemukakan.


Namun di hari lebaran sedemikian
Dengan tamu bersama di kelilingan
Tidak manis tanpa memberi perhatian pada semua
Lebih lagi mereka datang meraikan kehadiran
Setelah bersimbang mengenai situasi semasa
Aku mengenali mereka pendukung YB Paroi
Menghidupkan Pusat Khidmat setia bergiat
Duduknya tidak berjauhan dari kunjungan setempat.


Oleh asyik perbincangan
Kami melewati masa diperuntukkan
Apa yang lebih bermakna dari kunjungan
Sebelum memohon diri menghargai layanan
Aku diberi hadiah dengan tiga cenderaminda
(Hasil kajian bapa Nurul yang diterbitkan)
Buku Pengukuhan Akidah Menerusi Sains Al-Qur`an
Kedua Buku Kehebatan Susunan Al-Qur`an
Ketiga Sebuah Diagram Surah-Surah
Membentuk Kalimah Allah dan Muhammad

Dengan hadiah bermakna semua ini
Menambah bahan untuk kumengkaji-hayati
Memperluas wawasan mendalami Al-Qur`an
Sesungguhnya kunjungan ke rumah Nurul
Membuka ruang pengenalan
Menambah ilmu pengetahuan
Kita bukan sekadar beraya
Tetapi berwacana minda.


Shafie Abu Bakar,
Taman Tasik Jaya, Senawang
12 Syawal 1432
10 September 2011.

No comments:

Post a Comment