September 24, 2011

Simbolisme Keberangkatan Pulang DYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Dari Lawatan Ke Selangor Negeri Maju

Shah Alam, 25 Syawal = 23 September 2011 (Jumaat):

DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibn al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah yang melawat secara rasmi ke negeri Selangor bersama Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Raja Permaisuri Agung Tuanku Nur Zahirah sejak 21 September pagi ini berangkat ke Dataran Dewan Negeri, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam bagi Istiadat Keberangkatan Balik Baginda dari Negeri Selangor Darul Ehsan. DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Selangor berangkat ke Majlis Istiadat meraikan Keberangkatan Pulang DYMM Seri Paduka Baginda dan Permaisuri..

Bagi menyertai acara Istiadat di atas Adun tiba lebih awal sedikit dari acara yang bermula jam 8.30 pagi itu. Mereka yang menyertai Istiadat di atas ialah Menteri Besar Selangor, Exco-Exco, Adun-Adun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai-Pegawai Daerah, Dato` Bandar, YDP-YDP Majlis Perbandaran, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan Pejabat SUK.

Dari pemerhatian Adun majlis amat ringkas (Majlis sebenar dari jam 9.00-10.00 pagi) Tanpa Kata, kecuali doa, tapi Penuh Simbolisme. Keberangkatan DYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dari segi simbolisme adalah kehadiran Kekuasaan dan Kedaulatan Puncak Negara ke satu bahagian dari Negara Malaysia – Selangor. Simbolisme lengkap bagi pemerintahan pada puncak seharusnya disertai Perdana Menteri atau Wakil, tetapi tiada Perdana Menteri. Ini simbolisme bahawa Negeri Selangor bukan berada di bawah kekuasaan politik Perdana Menteri yang mengetuai Kerajaan Federal. Ini bererti Perdana Menteri tidak lengkap menguasai politik Negara Malaysia. Beliau bukan saja tidak menguasai Selangor, tetapi beberapa negeri yang lain.

Dari segi simbolisme Selangor sebagai sebuah negeri yang diperintah Pakatan Rakyat mempunyai keunggulan tersendiri. Simbolisme Kekuasaan Tertinggi negeri ialah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong diraikan secara istiadat dan protokol selepas ketibaan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor dan kemudian sambutan Istiadat ketibaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dengan perbarisan hormat. Puncaknya ialah Istiadat menyambut ketibaan DYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke pekarangan yang penuh dengan simbolisme . Pekarangan berhadapan dengan Dewan Negeri yang dari Dewan Negeri ini Dewan Bersidang merangkakan perundanagn, pemerintahan dan peruntukan. Bersebelahan ialah Bangunan Pentadbiran Kerajaan negeri, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang diketuai oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor, Exco-Exco, pentadbir-pentadbir dan pegawai-pegawai yang mentadbir negeri. Mereka adalah mekanisme pemerintahan negeri.

Penampilan istiadat Keberangkatan Balik penuh keunggulan Kerajaan Negeri yang diperintah oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang lain dari pemerintah pada peringkat Pusat. Selangor sebagai sebuah negeri yang menjunjung DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menampilkan keunggulan dan kewibawaannya sebagai sebuah negeri maju yang tiada negeri lain di Malaysia standing dengannya. Misalnya Selangor mencatatkan jumlah pelaburan bernilai RM5.2 bilion dalam tempoh enam bulan pertama untuk tahun 2011 ini. Bajet tahunan adalah mencapai RM1.7 bilion. Dan Selangor adalah adalah negeri maju yang menjadi idaman bagi yang mengintai peluang.

Selangor menerima kunjungan DYMM Seri Paduka Yang Dipertua Agong dan Raja Permaisuri Agong dengan penuh takzim tanpa rendah diri, bahkan menampilkan keunggulan dan kewibawaan sebagai Negeri Maju yang boleh dijadikan contoh oleh negeri-negeri yang lain. Walau bagaimana penegakan simbolisme bergantung pada realiti. Keunggulan Selangor sebagai Negeri Maju adalah fakta dan realiti. Simbol kemakmurannya dapat dilihat dari segi kekayaan, bangunan, infra-struktur, gaya hidup dan bermacam-macam. Simbolisme dari segi kekuatan misalnya dengan perbarisan tentera yang cekap dan tangkas. Walau bagaimana Selangor sebagai negeri maju tidak kering dari sifat ehsan dan kasih sayang. Ini dapat dihayati dari simbolisme pilihan lagu-lagu yang indah dan evergreen yang dimainkan oleh Pasukan Pancaragam Diraja. Dengan sekalian ini menjadi simbol kekuatan, keunggulan dan keehsanan pemerintahan di negeri Selangor..

Simbolisme selalunya berasaskan kepada realiti. Orang tidak boleh menonjolkan kekuatan simbolisme tanpa realiti. Perjuangan menguasai realiti semestinya lebih dahulu dicapai sebelum mampu menonjolkan imej dan simbolisme. Pilihanraya adalah satu-satunya mekanisme yang dihalalkan bagi menguasai realiti. Kerancakan kempen memberi erti kerancakan bagi merebut kekuasaan. Ini dilakukan oleh musuh politik Kerajaan Pakatan. Mereka kini sedang rancak menggempur negeri Selangor melalui kubu-kubu mereka di institusi-institusi milik kerajaan Pusat. Di dalam hal ini Selangor perlu waspada memepertahan realiti pemerintahan, bahkan meningkatkan kualiti pentadbiran, kepimpinan dan ekonomi agar musuh yang cuba masuk dari pintu belakang dapat dikekang dari menguasai realiti dan Simbolisme kekuasaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment