July 11, 2011

Penduduk Seksyen Tiga Tambahan Perlukan Kawasan Rekreasi

BBB, 6 Syaaban = 8 Julai (Jumaat):

Seorang pengusaha bengkel kereta berdekatan dengan Pejabat Adun Bangi saudara Uda Kamal membuat aduan kepada Adun, bahawa kawasan lapang di hadapan rumahnya di Seksyen Tiga Tambahan BBB yang dihias dengan pokok-pokok dan bunga-bungaan selama ini, apabila beliau mahu dirikan wakaf untuk penduduk dan anak-anak berehat beliau didatangi oleh pihak MPKj dan melarang beliau meneruskan membina wakaf rehat di kawasan lapang berseberang rumahnya. Beliau melahirkan rasa dukacita, beliau banyak mengeluarkan peruntukan bagi membina dan menghiasi taman berkenaan untuk kegunaan penduduk, khususnya anak-anak muda bermain dan berehat waktu petang. Saudara Uda Kamal sebenarnya fobia dengan larangan sedemikian. Kerana sebelum ini beliau pernah membeli rumah intermediate di kawasan berkenaan. Beliau buat hiasan tambahan binaan di bahagian depan rumahnya. Pihak MPKj datang meruntuh dan beliau kerugian belasan ribu ringgit. Kekecewaan itu menyebabkan beliau menjual rumah berkenaan dan membeli rumah sekarang sebuah rumah tepi berhadapan dengan tanah lapang memanjang sebagai reserve sungai. Di atas tanah lapang inilah dibersih dan dijadikan kawasan rekreasi.

Adun cuba buat telahan, ``Mungkin dianggap pembinaan wakaf batu, walaupun tidak berdinding dianggap enta mahu mengawal dan memiliki tanah berkenaan.`` Beliau menafikan telahan berkenaan. Beliau menekankan bahawa beliau membuatnya untuk orang ramai dari kalangan penduduk setempat dan binaan bukan bersifat kekal. Adun membuat telahan lagi, ``Mungkin ada kalangan penduduk setempat irihati dan tidak senang melihat enta menguasai tanah, lebih-lebih lagi berhadapan rumah enta.`` Apapun, Adun beritahu Adun akan turun pada pagi esok (Sabtu) untuk menilaikan apa yang sebenarnya telah dilakukan oleh saudara Uda Kamal (juga isterinya di kawasan berkenaan). Bengkel beliau dekat pejabat Adun adalah maju dan setiap hari dikunjungi ramai pemilik kereta untuk diperbaiki. Dari rezeki yang melempah itulah beliau bermurah hati membina taman untuk kegunaan penduduk setempat.

Pagi Sabtu, Adun turun dengan saudara Azizi bagi melihat kawasan yang diarah oleh MPKj menghentikan kerja-kerja pembangunan. Kesampaian Adun disambut bukan saja oleh saudara Uda dan isterinya, tetapi juga oleh AJK Persatuan yang terdiri dari Tuan Haji Zainol Pengerusi Persatuan Penduduk, En. Shamri AJK Keselamatan dan seorang dua dari kalangan penduduk tempatan. Dengan ketibaan Adun dapat melihat bahawa berhadapan bagi perumahan tepi memanjang tanah reserve sungai lebih kurang 3 ekar. Tanah ini sebenarnya telah dibersihkan oleh penduduk setempat. Tanah ini Adun diberitahu oleh En Zainol diguna penduduk untuk kepentingan awam penduduk dan tidak dikuasai oleh mana-mana penduduk. Termasuk taman yang dibina oleh saudara Uda Kamal. Cuma apabila dinaikkan tiang bagi wakaf agak besar dan berkedudukan bertentang dengan rumahnya. Mungkin dijangka pemilik rumah sebagai hendak mengawal kawasan depan rumah. Sebenarnya selepas dari bahagian taman, penduduk membina padang futsal berumput dan berpagar keliling dan digunakan terutama oleh anak-anak muda bermain futsal. Taman dibina oleh Uda juga digunakan oleh penduduk setempat.

Adun maklumkan tanah reserve sungai tidak boleh dimiliki dan tidak boleh dibina binaan kekal. Kalaupun dibenar atas nama tanah tol – sementara sahaja. Memandangkan kawasan ini kosong dan daripada terbiar memang wajar ianya digunakan oleh penduduk sebagai padang Futsal di samping adanya kawasan taman dengan ada kerusi-kerusi batu dan wakaf batu yang bakal didirikan. Bahkan bahagian yang luas sebelah kanan dapat digunakan sebagai padang bola yang boleh diperbaiki dan dinaiktaraf. Ini lebih baik dari dimonopoli oleh orang perseorangan misalnya dijadikan bahagian tanaman yang dipecahkan kepada bahagian masing-masing. Bagi pihak MPKj yang tidak menyediakan sebarang taman permainan dan tiada kawasan rekreasi, dan penduduk sedia memajukannya sebagai kawasan permainan adalah wajar dibenarkan penggunaan, bahkan peruntukan dan kerjasama dari MPKj dapat diminta membaiki kawasan bagi mengadakan padang bola.

Untuk tidak timbul perebutan kawasan kawalan, eloklah tempat ini digunakan untuk kepentingan orang ramai. Terbaik perkara ini dimaklumkan kepada MPKj dan juga JPS. Jika perlu kepada surat sokongan dari Adun, kita sedia menyediakannya. Pokoknya kemudahan dan tempat kegunaan awam jangan dimusnahkan, bahkan hendaklah dipelihara. Ianya hendaklah diletak di bawah Persatuan Penduduk Tiga Tambahan bagi menjaga dan memajukannya sebagai kawasan sukan dan rekreasi penduduk setempat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment