July 22, 2011

Merasmikan Sukan Kafa Integrasi Manbaeil-Uloom & Ke Gotong Royong Taman Kajang Impian, Seksyan 7, BBB

Cheras Jaya & BBB, 15 Sya`ban = 17 Julai (Ahad):


Program Sukan Tahunan di atas merupakan program pertama Adun pagi minggu ini. Sejak 8.00 pagi Adun berada di Padang Fasa 5, Taman Cheras Jaya bagi merasmikan sukan berkenaan.Selepas perbarisan dan perarakan murid-murid Perasmian dilakukan oleh Adun yang mengucap terima kasih dan tahniah di atas kejayaan Sekolah mengadakan sukan tahunan. Beliau juga berterima kasih di atas kehadiran ibu bapa yang prihatin dan memberi sokongan terhadap anak-anak mereka. Sesungguhnya sukan bukan saja menanamkan semangat perlumbaan yang sihat, tetapi mengeratkan hubungan kalangan ibu bapa. Sebelumnya Guru Besar Ustaz Ibrahim bin Ab. Rahim berucap mengalu-ngalukan kehadiran semua pihak. Turut berucap Encik Mat Zin bin Hussein Pengerusi PIBG yang menyatakan bahawa sukan adalah merupakan sebahagian daripada pendidikan menyeluruh yang dapat memperkembangkan mental dan jasmani murid-murid. Berikut dari itu acara sukan bermula. Namun Adun tidak dapat mengikuti acara sukan sepenuhnya kerana terpaksa bergerak ke program yang lain. Tahniah di atas kejayaan dan kerjasama semua pihak.



Pada sebelah pagi ini juga Adun sepatutnya merasmikan Program Gotong Royong Perdana anjuran Pertsatuan Penduduk Islam, Taman Kajang Impian, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, tetapi oleh kerana pada masa yang lebih kurang sama Adun mempunyai program yang lain, Adun hadir juga, tetapi agak lewat, iaitu lebih kurang jam 11.00 pagi, ketika mereka yang bergotong royong sudah rehat dan mulai hendak makan. Adun bergurau,

``Kehadiran Adun memang tepat pada waktunya, ketika jamuan dimulakan dan terus dapat makan !`

Tapi menurut Encik Azli bin Yusuf Pengerusi Persatuan Penduduk, bahawa penduduk tak kisah, walaupun Adun tiba lewat.. Yang penting Adun datang, sudah cukup bagi kami, katanya. Tapi menurutnya, sebelum makan, kerana Adun datang lewat dan tak sempat bergotong royong bersama, kita denda dia sebelum makan, kena bercakap!


Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan memohon maaf kerana lewat. Adun memang terpesona di atas kerjasama erat antara penduduk, termasuk mendirikan surau yang mulai naik binaannya. Kerjasama dapat dilihat, pada pagi ini kaum wanita juga turun padang, termasuk menyediakan makan tengahari.


Sememangnya menu makan tengahari pada hari itu istimewa lazat. Menurut En. Azli semua lauk nasi makan tengahari pada hari itu dipungut dari pokok yang di tanam di kawasan berdekatan dengan surau, iaitu pucuk ubi kayu dan sayur pelbagai daun yang dipetik ditambah dengan menu sambal belacan dan ikan masin. Oleh kerana lapar, makan di situ sungguh menyelerakan.


Selepas kenyang dalam keadaan mesra dan riang kami memohon diri bergerak ke program yang lain.

Sekian.

No comments:

Post a Comment