July 18, 2011

Lo`lo` Permata Berharga Di Langit Zaman, Gemerlap Cahayanya Diminta Lebarluaskan

Dia bukan semata mutiara tetapi
Sebiji Permata Lo`lo` Di Langit Zaman
Sedang sinar gemerlapnya bercahaya
Takdir gugur di bumi persada
Tafakkur menghormatinya umat
Di atas kehendak telah tersurat
Dia adalah Srikandi Islam
Mujahidah cekal berjuang
Menegakkan daulah Islam
Di tengah Kota Kosmopolitan
Dia diberi mandate kepercayaan
Melaksanakan misi-visi keislaman.

Sedang lantang suaranya bergema di Parlimen
Tegas dan berwawasan
Dia diuji serentak berjuang
Melaksana misi-visi umat
Melawan kanser perlu dirawat
Di penghujung hayat
Masih lagi dia mengulang amanat
Tentang kepercayaan rakyat perlu diharga
Tentang khidmat pada rakyat terus dijaga
Tentang tegaknya Islam perlu dilaksana
Dan wasiat itu minta diteruskan.

Malam tadi dalam ketabahan
Dia masih tetap tidak mengalah
Membisikkan kuatnya tekad azam
Harapan meneruskan perjuangan
Hingga dia menyerahkan hayatnya
Tenang kembali menemui Ilahi
Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun.

Pagi ini kami berbondong
Hadir ziarah bersolat jenazah
Dan melepasmu ke kuburan
Menyerahmu ke rahmat Allah
Di ketinggian darjat kalangan beriman.

Sebiji Permata Lo`lo` di langit zaman
Meskipun jasadnya sudah berpulang
Gemerlapnya terus bercahaya di langit zaman
Diminta terus dilebarluaskan.


Shafie Abu Bakar,
Masjid Al-Akram, Dato` Keramat.
16 Sya`ban 1432
18 Julai 2011.

1 comment:

  1. salam Yb Dr,

    al fatihah buat almarhumah Dr Lo'lo...
    permata yang gemerlap telah kembali Hadirnya biarpun seketika
    namun nama nya kan tetap bersemadi
    dirimu srikandi misali,
    tunggak dalam perjuangan
    tak ampuh dik serangan
    damailah dirimu
    kami tetap merinduimu
    al fatihah dan salam takziah

    ReplyDelete