July 5, 2011

Karnival Di Masjid Al-Ikhwaniah Meriah

Taman Cheras Utama, 30 Rajab = 02 Julai (Sabtu):


Kini adalah makin popular diadakan kegiatan perniagaan di kawasan atau berdekatan masjid melalui karnival, aktiviti sukan, sambutan, hari keluarga dan sebagainya. Aktiviti sedemikan dapat menambahkan dana bagi pihak penganjur terutama masjid, kerana kehadiran para jamaah di masjid merupakan pasaran yang baik bagi peniaga-peniaga. Amalan sedemikian tidak bercanggah dengan Islam. Bahkan Islam menyuruh penganutnya keluar mencari rezeki selepas menunaikan salat. Kegiatan sedemikian berlaku di sekitar Masjidil Haram, Makkah dan juga di sekitar Masjid An-Nabawi di Madinah. Adalah lebih baik kewangan yang ada pada tangan orang Islam itu dibelanjakan bagi peniaga-peniaga di pekarangan masjid daripada dibelanjakan di luar, sedangkan barangan adalah sama.


Demikianlah antara Masjid yang menganjur karnival, ialah Masjid Al-Ikhwaniah, Taman Cheras Utama, Hulu Langat. Pihak Penganjur mengadakan karnival selama tiga hari berturut-turut mulai 1 hingga 3 Julai 201l (Jumaat hingga Ahad). Adun Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar dan Ahli Parlimen Serdang YB Teo Nie Ching. Mereka berdua dijemput menyertai karnival pada pagi Sabtu 2 Julai. Program bermula dari hari Jumaat dengan solat Jumaat yang Khatib menyampaikan khutbah ialah YB Dato` Dr. Hassan bin Mohd Ali Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infra-Struktur dan Kemudahan Awam diikuti pada petangnya ialah Pertandingan Nasyid dan pada sebelah malamnya diadakan forum bertajuk ``Islam Untuk Semua`` yang ahli panelnya terdiri dari Ustaz Norazman bin Mohamad, Ustaz Azrul Azlan bin Iskandar Mirza dan Prof. Madya Dr. Harlina Halijah bt. Hj. Siraj. Forum dimoderatorkan oleh Ust. Duraibi bin Haji Mohd. Amin.


Pada hari kedua pada hari Sabtu selain Majlis Perasmian diisi dengan Pertandingan mewarna, Program Kenali Anak Ku, Pertandingan Khutbah dan Tilawah, Sukanika Rakyat di padang berdekatan, bacaan Yasin, Solat Hajat dan Malam Kesenian Islam bersama kumpulan Diwani serta Cabutan Bertuah. Manakala pada hari Ahad ialah Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ust. Dr. Zulkifli Ahmad. Merentas Desa, Pertandingan Gubahan dan Lipatan untuk muslimat, Ceramah Khas Muslimat bertajuk Keanggunan Mengikut Perspektif Islam. Penyampaian Hadiah dan diakhiri dengan ceramah pada malamnya oleh Ustaz Halim Din. Pendeknya karnival dianjur dengan bersunguh-sungguh dan berjaya menarik khalayak yang ramai.


Pada Majlis Perasmian jam 10.0 pagi, Adun mengucapkan tahniah di atas jemputan yang disampaikan kepada Adun. Adun merasa gembira dan bahagia di atas jemputan dan dapat sama-sama menyertai karnival yang diadakan. Adun bergembira dengan interaksi berlaku antara masyarakat dengan pemimpin-pemimpin setempat melalui sama ada yang bersifat agama dan kemasyrakatan seperti berbagai jenis sukan dipertandingkan.


Sesungguhnya melalui kaernival seperti yang diadakan antara lain memberi peluang bagi mereka yang berminat berniaga dapat berniaga yang mungkin antara mereka merupakan jejak awal bagi mereka terlibat di dalam perniagaan dan dari penyewaan tapak perniagaan di sini akan memberi semangat kepada mereka untuk terus berniaga. Sesungguhnya perniagaan merupakan sumber rezeki utama yang mana Rasulullah s,a.w bersabda bermaksud bahawa 9 persepuluh sumber rezeki adalah melalui perniagaan. YB Teo Nie Ching menyebutkan, bahawa ini bukanlah kali pertama kehadirannya ke kawasan Masjid Al-Ikhwaniah, kerana semasa sambutan Hari Raya lebih kurang setahun yang lalu beliau pernah hadir ke Jamuan Raya berkenaan, termasuk turut hadir pada masa itu Adun Bangi. Beliau memuji sifat bermuafakat penduduk di sini sehingga dapat mengadakan Karnival yang begitu besar. Beliau berharap penduduk setempat dapat terus memberi kerjasama di atas usaha yang diadakan terutama oleh AJK Masjid. Sesungguhnya kemeriahan sambutan menandakan kejayaan Karnival yang diadakan. Beliau menyebutkan bahawa beliau tidak dapat berucap panjang oleh kerana selepas ini beliau dan juga Adun Bangi akan bersegera ke Pekan Bangi, kerana ada kebakaran di Pekan tersebut.


Selepas itu dalam perjalanan pulang Adun bersama YB Teo berkesempatan melawat gerai-gerai yang dibuka. Sepanjang dalam majlis Perasmian Pembukaan oleh Adun disertai YB Teo Nie Ching, mereka diraikan oleh Pengerusi Masjid yang juga Pengerusi Sambutan iaitu Tuan Haji Abdul Karim bin Md. Nor, Timbalan Tuan Haji Helmi Azhar bin Harun, Setiausaha Ustaz Abdul Halim bin Azam, Bendahari En. Badrul Hisham bin Mohd. Zahir dan Ajk-Ajk yang lain.


Sekian.

No comments:

Post a Comment