July 4, 2011

Insentif Terhadap Pembela Ibu Tunggal ?

Pejabat Daerah Hulu Langat, 29 Rajab = 01 Julai (Jumaat):

(Anekdot):

Bagi kali ke 2 Tuan Pegawai Daerah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Hulu Langat Bil. 6/2011 selepas beliau bertukar ke Daerah Hulu Langat. Memulakan mesyuarat beliau memaklumkan beberapa perkembangan berlaku di Daerah Hulu Langat, termasuk melalui mesyuarat-mesyuarat lain yang dihadiri dan juga program-program yang mendatang yang dianggap penting dimaklumkan kepada ahli-ahli mesyuarat.

Untuk menceriakan ahli-ahli mesyuarat beliau menyebut, `Saya menghadiri mesyuarat di Melaka baru-baru ini, satu yang menarik, Kerajaan Melaka menawarkan insentif kepada sesiapa yang sanggup mengambil ibu tunggal menjadi isteri bagi mengurangkan beban hidup dan masalah sosial !`, Mendengar maklumat sedemikian semua ketawa dan ada yang sengaja menjolok, `Ada peluang !`. Seorang ahli dari kalangan perempuan memberi respond, `Kalau tak takut kena kejar dengan penyapu dan mogok cubalah !` Seorang ahli lelaki mencelah, `Bagaimana nak tolong, Tuan Pegawai Daerah, belum apa-apa dah kena amaran.` Seorang yang lain berkata , `Betul !` Semua ketawa.

Kata Adun, `Melaka bukan negeri pertama menawarkan insentif sedemikian, Kelantan lebih awal. Persatuan Muslimat di sana menggalakkan kalangan suami mengambil ibu-ibu tunggal sebagai isteri dengan ganjaran insentif.` Kata seorang ahli,
`Hebat tu, kalangan isteri menggalakkan suami berkahwin dengan ibu tunggal !`
Kata seorang lain, `Jangan-jangan cakap saja dalam jamaah, tapi bila kena kepada suami sendiri, belum tentu beri kebenaran.`

Seorang ahli melontarkan pertanyaan, `Tuan Pegawai Daerah, itu di Melaka dan Kelantan, bagaimana dengan Selangor ?`
Tuan Pegawai Daerah menjawab, `Tanyalah Pentadbir Jabatan Agama Islam Hulu Langat yang sama hadir dalam mesyuarat.` Semua ahli mengarah pandangan kepada Tuan Pentadbir yang kadang-kadang dipanggil Tuan Kadhi sahaja. Belum sempat Tuan Kadhi memberi respond, seorang menambah, `Selangor terlampau ketat, syarat pendapatan lumayan dan keizinan dari isteri !`
Mencelah seorang yang lain, `Pendapatan mungkin boleh dilepasi bagaimana dengan izin isteri ?` semua ketawa.
Setelah beberapa ketika, Tuan Kadhi menjawab bagi mematikan persoalan,
``Pergi ke Pejabat Kadhi dulu untuk kita bincang.` Seorang ahli yang lain menambah, `Pergilah sesiapa yang berminat.`

Seorang ahli yang hadir mengeluarkan pendapat secara lebih serius, ``Masalah kemasyarakatan yang dihadapi, terutama oleh ibu tunggal, tidak dapat diatasi dengan hanya dijadikan calon isteri tambahan. Perlu ada perancangan teratur yang melibatkan bukan saja kahwin ibu tunggal, tetapi masalah perkahwinan dan sosial secara menyeluruh. Walaupun ada yang berniat baik, adakah antara kita sanggup mengambil ibu tunggal yang melahirkan anak tak tau bapa dan disekolahkan di Sekolah Ibu Mengandung yang sebagaimana di wujudkan di Melaka ?.

Lantas ahli ini mencadang pihak berkuasa, termasuk JAIS menyenaraikan ibu tunggal melalui Pejabat-pejabat agama Daerah, mereka ini diberi kursus dan bimbingan, Latarbelakang mereka dikenalpasti dan tawaran dibuat kepada mereka yang mau membela mereka. Barangkali tidak semestinya berkahwin, tetapi menyara tanggungan kepada ibu dan anak.

Seorang yang lain menambah, `Bagi mewujudkan keluarga bahagia atau sakinah, kursus-kursus berumahtangga sewajarnya tidak saja dijalanai oleh pasangan yang mau kahwin, tetapi usaha bimbingan dan kursus pemantapan rumahtangga diberi kepada banyak peringkat seperti:

1) Kursus bagi pasangan yang mau kahwin
2) Kursus Keluarga Sakinah berkala bagi yang sudah berkahwin bagi mengekalkan kebahagian rumah tangga
3) Kursus kepada ibu tunggal
4) Kursus bagi yang mau membela ibu tunggal
5) Berbagai kursus yang difikirkan sesuai.

Dengan demikian diharap dapat mengurangkan masalah yang dihadapi keluarga masyarakat Islam.

Selepas itu Tuan Pegawai Daerah memulakan mesyuarat menurut agenda yang sedia diatur.

Sekian.

No comments:

Post a Comment