June 26, 2011

Rumah Mampu Milik; Najib Tiru Selangor

BBB, 23 Rajab = 25 Jun (Sabtu):

Pengumuman Datuk Seri Najib Razak semalam, bahawa pihak kerajaan Persekutuan akan melancarkan Projek `Perumahan Mampu Milik` di atas tapak lapangan terbang TUDM Sungai Besi, apabila Tentera Udara Diraja dipindahkan ke tapak Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja yang baru di Sendayan Negeri Sembilan kelak.

`Projek Rumah Mampu Milik` untuk rakyat ini bukan sesuatu yang baru. Projek yang sedemikian telah dirancang oleh pihak Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor sejak dua tahun yang lepas, bahkan `Projek Perintis` pertama telah dilancarkan pada 3 Jun 2011 dan upacara Pecah Tanah dilakukan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim pada petang itu bertempat di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi.

Perumahan mampu milik ini dibangunkan di atas keluasan tanah 3.99 ekar. Sejumlah 124 unit rumah pangsapuri 6 tingkat berlif jenis mampu milik yang mempunyai keluasan lantai, iaitu 700kp,750kp dan 800kp akan disiapkan. Adapun yang dicadangkan oleh Perdana Menteri masih jauh dari menjadi reality kerana menunggu perpindahan lapangan terbang TUDM terlebih dahulu, walaupun dijangka dilancarkan pada bulan depan.. Semetara menunggu rumah mampu milik Kerajaan Persekutuan, dijangka Selangor pergi lebih jauh menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat. Kerana selepas Bangi akan didirikan di Antargapi, Kota Puteri, Taman Putera, Bernam Jaya dan Gombak.

Untuk siapakah didirikan rumah mampu milik Kerajaan Persekutuan ? Sebagaimana rumah mampu milik di Selangor ditujukan kepada rakyat berpendapatan rendah, maka demikianlah dikatakan rumah mampu milik yang akan didirikan oleh Kerajaan Persekutuan. Tahukah berapa harga rumah mampu milik Kerajaan Persekutuan ? Harga satu unit ialah RM220,000 atau kurang daripadanya. Harga ini amat tinggi jika dibandingkan dengan harga rumah mampu milik di Bangi iaitu antara RM60,000 hingga RM99,000 bergantung pada keluasan dan kedudukan. Rumah mampu milik kerajaan Persekutuan tidak mampu dimiliki oleh rakyat jelata, tetapi ianya memberi peluang kepada mereka yang berada memiliki rumah berkenaan. Tawaran oleh kerajaan Selangor kepada rakyat membeli rumah ialah bagi mereka yang menerima gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM5,000, ia adalah praktikal, tetapi tawaran bagi Rumah Mampu Milik Kerajaan Persekutuan ialah bagi mereka yang dikatakan berpendapatan RM3,000 sebulan, dengan harga rumah yang begitu mahal, ianya tidak praktikal, kerana di dalam keadaan harga semua barang dan perkhidmatan naik, sebenarnya dengan pendapatan RM3,000 sebulan sukar bagi rakyat membeli rumah, apa lagi bagi yang berkeluarga besar. Kita berharap pihak Kerajaan Persekutuan tidak semata-mata meniru Selangor tanpa memikirkan kemampuan rakyat sebenarnya. Harga yang ditawarkan seharusnya praktikal. Peniruan kerajaan Persekutuan nampaknya tidak terhad kepada Rumah Mampu Milik, tetapi apabila Kerajaan Negeri Selangor mengecualikan bayaran bil air yang digunakan di bawah 20 kubik meter, maka kerajaan Persekutuan menawarkan pengecualian bagi mereka yang terpilih secara gimik di bawah Syabas. Untuk menunjukkan prihatin Kerajaan Persekutuan mengecualikan pembayaran mereka yang menggunakan letrik di bawah daripada RM20.00. Tapi dalam keadaan tariff letrik naik siapakah yang hanya menggunakan di bawah RM20.00 ?

Kerajaan perlu memikirkan beban rakyat dalam mana harga rumah sekarang ini melambung tinggi dan kenaikan berlaku antara 200% hingga 500%, sedangkan gaji hitung panjang kenaikan tahunan hanya sekadar 2.6% sahaja. Kerajaan Persekutuan menetapkan garis kemiskinan ialah mereka yang berpendapatan RM700 sebulan. Ini menjadikan 34% rakyat negeri ini di bawah garis kemiskinan. Adakah rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan sedemikian mampu membeli rumah Mampu Milik Kerajaan Persekutuan ? tetapi apakah rakyat di bawah garis kemiskinan tidak berhak mendapat lindungan ?

Kerajaan Persekutuan wajar memikirkan kemampuan rakyat membeli rumah, jangan semata-mata meniru Selangor, tetapi tidak praktikal dari segi kemampuan rakyat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment