May 19, 2011

Sambutan Tahun Baru India

Jalan Reko, 10 Jamadil Akhir = 14 Mei (Sabtu):


Tradisi mengadakan Sambutan Tahun Baru India telah kami adakan sejak dua tahun yang lalu. Ini adalah kali ketiga. Tujuan diadakan bagi mengimbangi sambutan Tahun Baru bagi setiap kaum di samping bertujuan merapatkan hubungan dengan kaum India dalam rangka mesra rakyat. Setiap tahun diubah lokasi dan pada tahun ini kami memilih Dewan Orang Ramai Jalan Reko.

Majlis bermula dari jam 8.00 malam, tetapi kehadiran VIP tidak secara serentak, sebaliknya berterusan, mulai dari Adun Bangi, Hari Krishnan Tores Ketua Dewan Penyokong Pas Dun Bangi, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Dr. Subra, Guna Segaran dan En. Sem yang mana mereka bertiga selaku AJK Dewan Penyokong. Turut sama hadir ialah M.R.S. Prera President World Federation of Tamils Malaysia, En. Selle Durai Setiausaha World Federation of Tamils. Selepas sebahagian majlis berjalan tiba Y.B.Ravi Adun Port Dickson, Senator Raman dari Klang, Ahli-ahli PKR dari kalangan orang Tamil seperti En. Visakumar, En. Murugum dan En, Murali. Dewan dipenuhi orang ramai yang kebanyakannya dari kalangan masyarakat India.

Majlis bermula dengan ucapan selamat datang dari Ahli MPKj Ustaz Shafie Ngah yang mengharapkan sokongan dari kalangan masyarakat India dapat diteruskan. Adun berterima kasih dengan kehadiran ramai pemimpin-pemimpin dari kalangan orang India dan memaklumkan tentang jasa-jasa Kerajaan Pakatan Rakyat seperti Skim Usia Emas, Bantuan Pelajaran, Air percuma, pinjaman Small Credit, pemeriksaan pesakit kenser percuma, bantuan kepada Sekolah Tamil, Cina dan Sekolah Agama Rakyat dan berbagai-bagai lagi. Adun juga memaklumkan permohonan pemilikan tanah tetap di Taman Mas, dekat Taman Seroja yang dipohon kalangan masyarakat India – 30 lot yang telah tinggal di situ lebih dari 30 tahun sedang diproses dan interview akan dijalankan tak berapa lama lagi. Majlis diseri dengan tarian anak-anak dari Sekolah Tamil dan penyampaian bantuan kepada lebih kurang 50 fakir miskin. Jamuan Rakyat juga bermula selepas penyampaian bantuan.

Ramai dari pemimpin India yang hadir mengambil kesempatan berucap di samping diadakan cabutan bertuah. Majlis berterusan hingga jam 11.30 malam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment